Tuesday, July 31, 2012

Yang Beriman itu Lebih Layak!




Lihatlah kesan yang cukup baik apabila seorang yang bertaqwa diberikan kuasa.


Pada hari-hari awal Ir Dr Muhammad Morsi dipilih rakyat sebagai Presiden :


1) Beliau mengarahkan pihak keselamatan mengurangkan jumlah kereta yang mengiringi pergerakannya agar tiada kesesakan lalu lintas awam. Beliau tidak mahu rakyat menyampah dan membenci Presiden kerana itu.


2) Beliau menolak untuk tinggal di istana Presiden, sebaliknya kekal di rumahnya di kelilingi rakyat.


3) Beliau mengisytiharkan gajinya adalah untuk rakyat.


4) Basyar Asad dalam ucapannya merakamkan tahniah kepada Dr Muhammad Morsy sebagai Presiden Mesir yang baru. Respon Dr Morsy terhadap ucapan tahniah tersebut :


"Kami menolak ucapan tahniah kamu dan tidak pernah mengiktiraf kamu" (Sumber : El-Arabiya)


5) Beliau telah mengarahkan agar gambarnya tidak digantung, malah telah menggantikan tempat gambar presiden sebelum ini dengan kalimah Allah


Kita punya tanggungjawab yang besar untuk menggantikan kepimpinan sekarang dengan pemimpin yang lebih adil dan bertaqwa. Maka, marilah sama-sama bekerja untuk memenangkan parti Islam, bukan sekadar melontarkan kritikan dan pandangan tapi mendidik ummah tentang kepentingan memilih pemimpin Islam serta terlibat secara langsung dalam kerja-kerja jihad pilihanraya.


Mereka mampu, kita juga mampu membuat perubahan!

Isu Haji dan PRU - Musnahkan Kejahilanmu




1. Pernahkah anda dengar kisah Tsaqifah Bani Sa'idah? Tahukah anda apabila Nabi Muhammad s.a.w wafat, semua sahabat berkumpul di Tsaqifah Bani Sa'idah untuk melantik khalifah yang baru menggantikan baginda dan meninggalkan urusan jenazah baginda kepada Ahlul-Bait (keluarga Nabi)?


2. Bagi yang tidak memahami akan kepentingan imamah yakni kepimpinan dalam Islam akan menuduh bahawa sahabat Nabi gila kuasa sehingga tergesa-gesa hingga sedemikian rupa. Sedangkan tindakan mereka ini menunjukkan bahawa mereka cukup faham apa yang awlawiyat (lebih utama) pada ketika itu.


3. Bagi umat Islam yang faham bahawa menegakkan Islam sebagai sistem pemerintahan sebagaimana konsep 'Iqamatuddin wa siyasatu dunya bih' iaitu menegakkan agama dan memerintah dunia dengan agama' maka mereka tidak akan melihat soal pilihanraya sesuatu yang bersifat keduniaan. Jika tidak, mereka termasuk dalam golongan sekular, golongan yang memisahkan agama dan siyasah (politik)


4. Bagi membuat pertimbangan bagaimana kita patut menilai isu ini, fiqh awlawiyat (keutamaan) dan fiqh muwazanat (pertimbangan) perlu ada dan sewajarnya isu dibicarakan oleh orang-orang yang ahli. Tindakan media milik Parti Kerajaan meminta pandangan orang bukan ahli adalah tidak patut sama sekali dan inilah antara punca-punca kepada fitnah (huru hara agama) yang makin menular.




5. Dengan kreadibiliti buruk yang ada pada Utusan Malaysia, TV3 dan seangkatan dengannya, maka wajib dinilai dahulu apa sahaja yang datang dari mereka sebagaimana arahan yang telah diperintahkan kepada kita dalam menerima berita. Mereka seumpama gembala biri-biri yang berkali-kali menipu yang mana kalaupun berkata benar, tiada siapa lagi yang akan mempercayainya lagi. Dapatkanlah penjelasan daripada para ulama' dan asatizah yang mempunyai latar belakang pendidikan agama yang boleh dipercayai sebelum kita mengeluarkan pandangan yang berasaskan akal semata-mata.


6. Dalam amalan demokrasi negara lain, tarikh pilihanraya diumumkan awal supaya parti-parti yang akan bertanding serta rakyat dapat membuat persediaan. Merahsiakan tarikh ini sehingga sebegini rupa menyusahkan rakyat dalam merencana kerja, malah lebih teruk jika ia bertindih dengan tarikh musim haji. Pilihanraya pastinya tidak akan berlaku semasa Aidilfitri, umat Islam mula berangkat ke Makkah pada akhir Syawal, selesai Zulhijjah, maka musim tengkujuh pun bermula. Teka-teki terus akan berlaku dan yang patinya banyak tarikh dilihat tidak sesuai.


Maka bukankah penyelesaian mudah bagi masalah ini adalah dengan diumumkan sahaja tarikh keramat itu?

Olimpik : Ubah dari Negatif kepada yang Positif





1. Beberapa hari ini saya memerhati bagaimana pandangan dan kritikan muslim kepada kejohanan olimpik yang baru berlangsung di London 2012. Timbul isu-isu freemason dan zionis berdasarkan 'bukti-bukti' bentuk prasarana dan acara yang berlangsung semasa majlis pembukaan kejohanan tersebut.


2. Sejujurnya, saya tidak menolak kemungkinan ia benar, walaupun saya tidak berminat untuk bercakap tentangnya ataupun menyebarkannya kerana ia masih berbentuk spekulasi dan konspirasi. Kita telah diingatkan oleh Allah dalam kalamNya yang agung agar tidak mengikuti jejak langkah Yahudi dan Nasrani untuk terus kekal sebagai hamba Allah. Ya, ini penting!


3. Walaubagaimanapun, kita perlu bertanya kepada diri kita faedah daripada membesar-besarkannya? Apakah tindakan yang perlu kita ambil? Boikot Olimpik itu perlu? Atau sebenarnya ada perkara yang lebih positif yang boleh kita lakukan dalam menyebarluaskan Islam kepada dunia?


4. Kita lihat makin ramai muslim yang bertanding mengenakan pakaian yang menutup aurat. Walaupun mungkin masih ada ruang yang boleh diperbaiki untuk menyempurnakannya. Keberadaan mereka dalam kejohanan seperti ini akan memberi banyak mesej yang baik kepada Islam, antaranya menutup aurat bukan penghalang untuk bersukan dan muslim boleh 'hidup' dalam komuniti bukan Islam tetapi masih boleh mengekalkan identiti Islamnya. Keunikan ini boleh menjadi da'wah bil hal kepada orang-orang bukan Islam yang hadir. Mungkin ia boleh menjadi asbab kepada mereka untuk lebih kenal dengan Islam. Hidup dalam dunia di mana Islam dilihat sebagai agama yang jumud dan tertutup, suasana seperti ini mampu mengubah persepsi seperti itu. Apatah lagi Olimpik ditonton oleh billion manusia seluruh dunia!


5. Isu puasa juga tidak wajar dipergaduhkan. Kita mengetahui bahawa perbezaan pandangan itu sesuatu yang telah berlaku, dan akan terus berlaku. Dalam keadaan pihak penganjur menyediakan juadah sahur dan berbuka kepada atlet yang berpuasa, apakah respons kita? Nak tuduh mereka ada 'udang di sebalik mee'? Atau berterima kasih atas penghormatan mereka kepada kita? Berpuasa ketika di temasya ini sahaja mampu memberi banyak bentuk da'wah kepada bukan Islam. Perbincangan mungkin boleh berlaku dengan atlet bukan Islam dan mesej agama kita boleh disampaikan walaupun mungkin kepada bilangan yang tidak ramai.


6. Saya pernah membaca beberapa potong ayat Al-Quran dalam sebuah gereja di Cork kira-kira 8 tahun lalu sempena dengan mengingati tragedi tsunami. Saya puas dan gembira. Ia satu peluang da'wah yang besar bagi saya. Maka, saya tidak nampak mana salahnya kita menggunakan peluang di 'medan' freemason dan zionis ini untuk berda'wah. Bertelingkah tentang perkara-perkara yang tidak pasti dan ada perbezaan pandangan padanya hanya akan melemahkan kita. Kenapa tidak menunjukkan kekuatan kita di sana?


Jadilah muslim yang oportunis untuk menyampaikan mesej Islam! Islam itu rahmat buat sekalian alam!


Boleh layari laman sesawang ini untuk mengambil pengajaran bagaimana sewajarnya muslim bertindak dalam situasi sebegini.


Abu Hafiy
28 Julai 2012

Hudud : Karpal Singh Mangsa atau Pemangsa?



1. Sudah lama saya ingin memberikan pandangan berkenaan hal ini. Isu yang 'evergreen' yang belum nampak akan reda. Ia datang sesekali, menghangat dan kemudian menyejuk sebentar. Apapun, setiap kali isu ini disebut-sebut, nama Karpal Singh tidak pernah lekang di bibir rakyat Malaysia.


2. Respons YB Karpal Singh kepada PAS pada tahun 1990 'Langkah Mayat Saya Dahulu' apabila negara Islam diutarakan. Ungkapan sehingga hari dibugarkan terutamanya penyokong dan ahli UMNO, lebih-lebih lagi sejak PAS bertahaluf dengan DAP. Pada tahun 2010, YB Karpal Singh semasa Konvensyen Pakatan Rakyat telah menyebut bahawa beliau bersedia untuk berbincang berkenaan isu ini semula dan menolak pandangan beliau sendiri pada 1990 kerana ia sudah 'out of context'. Semua boleh tonton sendiri di sini




3. Namun, semasa debat antara Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi (PAS) dan Ustaz Fathul Bari (UMNO), apabila disebut bahawa YB Karpal juga telah bersedia untuk berbincang, YB Karpal telah membidas kenyataan Ustaz Nasruddin dengan mengatakan bahawa beliau masih berprinsip bahawa dia menolak hudud dilaksanakan di Malaysia, menekankan bahawa ia tidak sesuai di negara majmuk seperti Malaysia dan ia tidak 'compatible' dengan perlembagaan negara.


4. Kita juga pernah dikejutkan oleh kenyataan-kenyataan anti-hudud oleh kepimpinan UMNO yang beragama Islam dan berbangsa Melayu. Anataranya :

"Hukum rejam kepada penzina adalah primitif." - Tun Dr. Mahathir, 3 Mac 1994, dalam kenyatannya kepada wartawan di Nilam Puri, Kelantan Darul Naim.

“Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan.Ini sangat memalukan ummat Islam, kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja.” - Tun Dr. Mahathir Mohamad, 14 Julai 1992, dalam temubualnya dengan media massa.

"Kerajaan Kelantan harus dipertanggungjawab jika berlaku huru hara, ketidakstabilan politik, perpecahan di kalangan umat Islam dan kegelisahan rakyat apabila hukum hudud dilaksanakan di negeri itu.rakyat harus menyoal perlaksaaan hukum itu menguntungkan atau menyebabkan perpecahan pertentangan dan ketidakstabilan politik. Tidak semua negara Islam mengamalkan hukum hudud, bahkan ada negara Islam lebih makmur tanpa hukum itu.” - Datuk Seri Najib Tun Razak, 20 April 1992, ketika bercakap kepada wartawan.


5. Terbaru Tun Mahathir Mohamad juga telah membuat satu kenyataan bahawa hudud hanyalah rekaan ahli feqah. Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak secara terbuka menyatakan bahawa hudud tidak akan dilaksanakan seperti dalam video ini. Lebih malang lagi, Dato' Mashitah Ibrahim yang merupakan bekas pensyarah kuliyah ilmu wahyu UIAM dan kini sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana pernah secara terbuka pernah menghina hudud dalam satu perjumpaan dengan para pelajar di timur tengah. Boleh tonton di sini


6. Sejujurnya, saya tidak pernah dan tidak akan terkejut atau marah berlebihan kepada bukan Islam jika mereka menyatakan ketidaksetujuan kepada ajaran Islam. Malah ia adalah sesuatu yang pasti berlaku memandangkan mereka tidak mengimani aqidah Islam. Lebih malang lagi, masih ramai orang bukan Islam hidup dengan persepsi dan maklumat yang salah tentang Islam, samada kerana maklumat itu didapati dari sumber-sumber yang tidak benar seperti TV, surat khabar, majalah ataupun ia dibina setelah memerhati perilaku umat Islam sendiri.


7. Bayangkan jika kita sebagai seorang bukan Islam yang tinggal di Malaysia. Setiap hari kita disajikan bahawa orang Islam paling ramai di pusat pemulihan dadah, ribuan anak luar nikah Muslim dibuang di merata-rata tempat dan ratusan masalah sosial yang lain. Mereka hidup di bawah pemerintahan orang Islam yang berslogan membawa Islam tetapi bertindak sebaliknya. Bagaimana munasabah jika pemimpin Islam menentang hudud tapi tiba-tiba kita mengharapkan orang bukan Islam mudah menerima hudud? Kita secara tidak sedar menerusi perilaku kita, telah mendidik orang bukan Islam ajaran 'sesat' dan menyimpang dari Islam. Peliknya apabila orang bukan Islam menyatakan ketidaksetujuannya kepada Islam, kita melenting dan marah-marah mendabik kitalah pejuang Islam yang sebenar.


8. Saya sendiri tidak pasti mengapa YB Karpal menafikan kenyataannya sendiri. Jika saya bersangka baik dengan YB Karpal yang semestinya bukan Islam, dan pada masa yang sama beliau merupakan seorang ahli politik dan peguam, ada beberapa perkara yang saya boleh jangkakan sebab kepada ketegasan beliau. Beliau berpegang bahawa perlembagaan tidak membenarkan ia berlaku, yang mana ada kebenarannya. Tambahan daripada beliau, bahawa hudud hanya akan boleh dilaksanakan jika 2/3 ahli Parlimen bersetuju, yang ini juga benar. Dari segi politik, beliau takut bahawa isu ini boleh menakutkan orang bukan Islam untuk memberi kepercayaan kepada PR untuk memerintah negara. Ini juga sebenarnya boleh diterima memandangkan kita meyakini bahawa masih ramai orang bukan Islam yang tidak faham apa itu hudud. Namun, saya juga perlu juga meletakkan dalam diri saya kemungkinan tentangan ini adalah tentangan kepada Islam keseluruhannya walaupun ketika ini ia tidak nampak sedemikian.


9. Ada juga sebahagian muslim yang secara mudahnya mengatakan bahawa PAS perlu berpisah dengan DAP atas kenyataan YB Karpal. Percayalah ulama' dalam PAS bukan golongan yang lemah dan longlai untuk bermudah-mudahan untuk bertahaluf 'in the first place' dan pastinya mereka tidak bodoh untuk tidak menilai isu seperti ini. Kerja da'wah dan siyasah itu bukan seperti 1+1=2, ia penuh dengan rintangan dan cubaan, ia panjang dan perlu banyak musyawwarah dan strategi. Gopoh-gapah dan gelojoh bukan sikap gerakan Islam. Di kala banyak perubahan persepsi pimpinan bukan Islam dalam PR terhadap Islam berlaku sejak tahaluf ini bermula, sehingga ada yang kerap menghadiri kuliyah dan usrah, jangan kita mudah terngadah. Letakkan kepercayaan kepada para ulama' dan umara' yang ada selagi mana mereka tidak menyanggahi Al-Quran dan Sunnah.


9. Sebagai orang Islam, kita berkeyakinan bahawa hudud itu adalah undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah. Ia wajib dilaksanakan. Kita berkeyakinan bahawa Islam akan kembali memerintah dan pastinya undang-undang Islam akan kembali terpakai. Jika ada orang Islam yang tidak mempunyai keyakinan 100% bahawa ini adalah undang-undang terbaik, maka ia boleh membatalkan iman. Apatah lagi jika mereka menentangnya.


10. Meneliti isu ini, ada beberapa perkara penting yang perlu diambil perhatian oleh orang Islam daripada memfokuskan diri bertelagah sesama muslim :

a) Umat perlu melebar luaskan ajaran Islam yang benar. Ia tidak sewajarnya hanya fokus kepada hudud semata-mata tapi keseluruhan ajaran Islam. Jutaan muslim yang keliru apa itu Islam, apatah lagi bukan Islam

b) Orang Islam, terutamanya para ahli undang-undang perlu peka dan tahu bagaimana dari sudut situasi undang-undang yang sedang digunakan sekarang, untuk kita melaksanakan perkara ini. Kita tidak boleh hanya melaung nak buat hudud jika kita sendiri tidak tahu bagaimana nak laksanakannya. Keyakinan perlu disusuli dengan tindakan. Jika tidak, kita akan digelakkan sahaja.

c) Kita perlu terus bertegas dengan prinsip kita dalam soal ini, disampaikan dengan bahasa dan cara yang baik dan disertai dengan penerangan demi penerangan. Ingat, da'wah Islam itu wajib dan penuh rintangan. Sabar itu sangat perlu.

d) Muslim yang tidak mahu, tidak mengendahkan dan tidak bersungguh-sungguh berusaha untuk menjadikan hukum Allah sebagai undang-undang negara tidak wajar diangkat. Tugas kita menggantikan mereka dengan yang lebih bertaqwa


11. Saya tidak menjawab tajuk yang saya paparkan, saya serahkan kepada teman-teman untuk menilai sendiri. Banyak kerja kita mendidik ummah tentang apa itu Islam. Meletakkan kesalahan kepada orang bukan Islam secara berlebih-lebihan tidak menyelesaikan masalah malah memberikan lebih banyak kesan negatif kepada Islam.


Akhir kata, soalan saya kepada pejuang-pejuang hudud sekalian, adakah benar kita yakin dengan hudud Allah? Jika ia dilaksanakan nanti, adakah kita akan teragak-agak untuk menerimanya? Atau kita ketika ini sekadar berslogan kerana kita Islam?


Wallahu a'lam


Abu Hafiy
Ditulis pada 29 Julai 2012

Pupuklah Sekurang-kurangnya Rasa Benci!




1. Pupuklah sekurang-kurangnya rasa benci apabila jelas pemimpin Islam berbuat maksiat. Benci akan tindakan bukan pada orangnya. Dia gagal menyempurnakan auratnya, bersalaman dengan bukan mahram bersahaja apatah lagi merendah-rendahkan hukum Allah, terlibat dalam korupsi dan rasuah dan mencerca Ulama'


2. Janganlah sekali-kali menggunakan kebaikannya yang lain untuk memujuk hati supaya tidak membenci perbuatannya itu - dia membawa pembangunan dan kemodenan, banyak membantu orang miskin dan sebagainya. Maksiat tetap maksiat. Batil tetap batil.


3. Kita benci akan perbuatannya kerana kita tahu akan kesannya kepada rakyat diperintah, terutama sekali golongan yang jahil, tidak mampu membezakan antara haq dan batil. Pemimpin yang Islam akan mentadbir dengan Islam, berakhlak dengan Islam, berbicara kepada syurga Allah, maka lebih mudah melahirkan rakyat yg Islam.


4. Jika lebih mampu, perbaikilah dengan kata-kata. Ungkaplah dengan bicara atau tulisan sekalipun. Berda'wahlah kepada saudara, teman-teman dan masyarakat agar mereka jelas akan kebatilannya dengan ilmu-ilmu yang sahih.


5. Jika kemudaratannya tidak lagi dapat dibendung, janganlah dibiarkan kuasa yang ada pada kita untuk menggantikan pemimpin yang maksiat itu dengan pemimpin yang lebih baik. Apabila kita gagal menyerapkan iman padanya, maka adalah lebih baik memindahkan pemimpin yang beriman menggantikannya.


6. Bahaya menjadi manusia yang bernama Melayu adalah kelebihan sopan santun kita disalah guna pada tempat yang salah. Kita mudah terhutang budi hingga persoalan agama diketepikan, hal duniawi diutamakan.


Tambahlah ilmu! Moga kita lebih jelas tentang agama yang cukup hebat ini.


Abu Hafiy
5 Jun 2012

Kerana Banjir Aku Jadi Lebih Manusia


1. Tengah hari tadi, saya bersama-sama isteri, anak, ibu mertua dan adik ipar saya telah berkunjung ke hospital di Ampang menziarahi bapa saudara isteri saya. Pulang dari hospital kira-kira jam 130 petang, kelihatan hujan sudah mula turun. Perjalanan kami ke Jaya Jusco untuk membeli sedikit barang memang agak perlahan kerana hujan yang tidak henti-henti. Begitu juga apabila bergerak pulang ke rumah. Kepenatan, saya tertidur sebentar apabila tiba di rumah.


2. Tiba-tiba saya menerima satu SMS dari teman saya jika saya berkelapangan untuk membantu mangsa banjir di Hulu Klang. Ya Allah, banjir rupanya. Disampaikan kepada saya bahawa tempat yang akan kami bantu ini telah mengalami banjir hingga paras pinggang. Tanpa berlengah saya pun membuat keputusan untuk sama-sama turun membantu.


3. Saya mengambil masa yang agak lama untuk tiba walaupun sebenarnya tidak jauh dari rumah. Kesesakan jalan raya di samping ketidak biasaan saya dengan jalan-jalan di Hulu Klang. Tiba saya di tempat kejadian, kelihatan ramai yang sedang membersihkan rumah masing-masing. Lumpur mengotori jalan malah lantai rumah-rumah yang terlibat.


4. Dengan ves khas sukarelawan Selangorku, saya memulakan langkah ke rumah yang dikatakan paling teruk terkena bencana itu. Allahu Akbar. Memang benar air masuk ke rumah sampai ke paras pinggang, jelas kelihatan pada tanda lumpur di dinding rumah. Lantai berlumpur, perabot-perabot basah, banyak barangan elekrik yang tidak dapat diselamatkan. Tuan rumah memberitahu saya bahawa dia tiada di rumah semasa kejadian.




5. Maghrib menjelang masuk, saya dan teman-teman pun berjalan ke surau berdekatan. Kelihatan trak bomba telah tiba membantu memancutkan air deras untuk membersihkan lumpur-lumpur yang mengotori kawasan perumahan berkenaan. Tiba di surau, solat berjamaah baru sahaja selesai. Sambil membersihkan diri daripada kekotoran dan berwudhu' kedengaran pengumuman berkenaan dengan banjir berkenaan. Jama'ah surau dimaklumkan bahawa jiran kita telah dilanda musibah petang tadi. Kecewanya saya, kemudian pengumuman itu disusuli dengan kuliyah maghrib.


6. Kami berjalan pulang ke tempat kejadian dengan perasaan agak keliru. Mengapakah jamaah surau tidak boleh menangguhkan sahaja kuliyah berkenaan dan turun sama-sama membantu jiran mereka? 'Ah, aku tak perlu serabutkan fikiranku dengan hal ini sekarang, baik kufokuskan tenaga aku membantu saudaraku yang cukup memerlulkan bantu', saya bermonolog.


7. Bantuan kuteruskan dari rumah ke rumah. Membersihkan lantai dari lumpur, memindahkan perabot, membuang sampah dan apa sahaja yang diperlukan oleh tuan rumah. Kelihatan beberapa muslimat pelbagai usia yang juga turun membantu. Makanan yang sudah dibungkus serta air diedarkan kepada mangsa-mangsa banjir. Kami tamat kerja-kerja kami sekitar jam 11 malam. Sukarelawan dijamu dengan sedikit juadah sebagai pengubat letih.


8. Ada beberapa cerita menarik yang berlaku sepanjang pengalaman yang cukup bermakna ini. Ketika saya dan beberapa teman membantu rumah yang pertama, tiba-tiba datang seorang perempuan Cina ke rumah berkenaan untuk memberikan makanan kepada tuan rumah (sepasang suami isteri) yang baru sahaja dibeli beliau. Perempuan Cina itu rupanya jiran kepada tuan rumah yang sedang kami bantu. Hampir menitis air mata saya melihatkan mahabbah yang ditunjukkan oleh perempuan Cina itu. Allah.


9. Dari jauh, kelihatan sebuah rumah tiba-tiba menaikkan 2 bendera Barisan Nasional dan diletakkan di pagar hadapan. Kemudian tuan rumah menutup pintu pagar itu. Saya agak terpinga-pinga maka saya pun bertanya kepada seorang abang yang hadir di situ. Maka tahulah saya. Kerana sukarelawan yang hadir ini datang atas 'banner' Selangorku yang kini di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, maka tuan rumah tersebut yang saya yakin merupakan penyokong atau mungkin pendokong Barisan Nasional itu tidak mahu mendapatkan bantuan dari kami. 'Sampai begini sekali ye?', bisik saya kepada abang berkenaan.


10. Tidak jauh dari rumah itu, ada sebuah rumah yang lebih besar yang penuh dengan bendera BN sehingga ada beberapa tiang bendera itu diletakkan melintang di hadapan pagar rumah. Beberapa individu berbaju merah, semuanya berumur lingkungan 40 ke 50-an sedang membantu sebuah rumah juga. Tiada sebarang provokasi atau pergaduhan yang berlaku. Cuma saya senyum sendiri melihat gelagat manusia sedemikian. Fanatik kepartian di tanah airku memang sampai sebegini rupanya. Ingatkan cerita-cerita yang saya dengar sebelum ini hanya rekaan semata-mata =)


11. Letih memang letih tapi saya puas, saya senang hati. Pengalaman seperti ini tidak akan saya hilangkan dari diari hidup saya. Saat-saat manis masih terbayang-bayang di minda walaupun jami sudahpun menunjukkan pukul 2 pagi.


Sisi pandang Saya


1. Sebagai seorang doktor, saya pernah melalui zaman mahasiswa. Saya sebagaimana ramai mahasiswa-mahasiswa yang lain, tidak melepaskan peluang untuk menghadirkan diri dalam usrah-usrah, tamrin-tamrin dan ratusan program yang lain yang mana berobjektifkan membina manusia untuk menjadi lebih baik. Saya berprinsip bahawa menjadi doktor yang cemerlang tidak hanya lulus peperiksaan kedoktorran dengan cemerlang tapi perlu juga dilengkapkan dengan skil-skil lain seperti perhubungan antara manusia, keyakinan, ilmu-ilmu agama dan banyak lagi


2. Menghadirkan diri dalam program-program seperti membantu mangsa banjir adalah salah satu daripada cara kita mengaplikasikan ilmu yang telah kita pelajari daripada pelbagai program yang telah dihadiri. Zaman pelajar penuh dengan idea tapi miskin dengan praktikaliti. Di sinilah kita diuji dengan keikhlasan dan pengorbanan, bagaimana kita mahu mengaplikasikan sifat menyayangi saudara kita melebihi diri kita, sifat tekun atau itqan dalam membantu saudara kita yang dilanda musibah dan sebagainya.


3. Saya sebagaimana yang saya sebut dalam cerita di atas, agak kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh komiti surau. Bagi saya, inilah satu contoh daripada kegagalan memahami dan menghayati fiqh awlawiyyat atau fiqh keutamaan. Kita pastinya tidak menafikan akan kepentingan ilmu dalam membina hamba Allah yang lebih cemerlang, namun di saat-saat saudara kita malah jiran kita memerlukan bantuan, bagaimana mungkin kita tidak menghulurkan bantuan. Jiran yang datang membantu pasti akan mengubati keresahan hati merapati musibah yang melanda. Kami orang luar, tidak tinggal di situ, pasti kesannya berbeza jika jiran sendiri yang datang membantu.






4. Dalam situasi ini, saya teringat dengan kisah seorang 'abid atau ahli ibadah yang terkenal iaitu Fudhail bin Iyadh. Beliau merupakan seorang perompak yang telah memeluk Islam dan banyak menumpukan masa beribadah kepada Allah. Kehebatan ibadah beliau sehingga beliau digelar 'Abidul Haramaiin' iaitu ahli ibadah dua Tanah Haram. Satu ketika, seorang ulama' terkenal Abdullah bin Al-Mubarak telah menghantar satu syair buat Fudhail menegur akan tindakan beliau terus beribadah dalam keadaan ramai umat Islam yang sedang berjihad di medan perang. Begini syairnya :

Wahai para ahli ibadah di al-Haramain kalau kamu menyaksikan kami,
Maka kamu akan mengetahui bahawa sesungguhnya kamu bermain-main dalam ibadah.
Kalau orang-orang membasahi pipinya dengan air mata yang mengalir deras,
Maka dengan pengorbanan kami, kami mengalirkan darah yang lebih deras.
Kalau kuda-kuda orang kepenatan dalam perkara yang batil,
Maka sesungguhnya kuda-kuda kami penat dalam melakukan penyerbuan dan peperangan dipagi hari.
Bau wangi-wangian menjadi milikmu,
Sedangkan bau wangi-wangian kami, adalah dari debu-debu jalanan dan debu-debu itu lebih wangi.

Telah datang kepada kami sabda Nabi kami.
Sabda yang benar, jujur dan tidak bohong.
Tidak sama debu kuda-kuda Allah di hidung seseorang dan asap api yang menyala-nyala.
Inilah kitab Allah yang berbicara kepada kami.
Bahawa orang yang mati syahid tidak diragukan lagi, tidak sama dengan orang yang mati biasa.

5. Tidaklah saya menyamakan Fudhail dengan jama'ah masjid itu, cukuplah ia sebagai satu hikmah yang saya pelajari daripada apa yang saya saksikan dengan mata dan dengar dengan telinga saya sendiri. Semoga Allah memberikan barakah kepada hamba-hambaNya yang bekerja untuk agama-Nya.


6. Jelas, Malaysia sebuah negara yang dirahmati dengan kepelbagaian kaum yang memberikan kita peluang untuk berkenalan, berukhuwah, berkasih sayang dan berda'wah. Saya cukup terkilan dengan pelbagai kenyataan terutamanya ahli politik yang tidak sudah-sudah berbaur perkauman. Tidak cukup dengan itu, ada masalah yang timbul ditimpakan kepada bangsa atau agama lain sebagai punca. Saya pernah bersekolah di sebuah sekolah campur di mana saya telah melihat akan kekuatan hubungan antara kaum, dan pada hari ini, saya telah melihat bagaimana kekuatan yang datang daripada sifat kasih-sayang antara kaum yang berbilang. Subhanallah!


7. Kita pasti pernah dengar dengan kisah 2 imam surau dengan 2 jama'ah yang berbeza atas sebab perbezaan fahaman politik. Ada kes penafian kenaikan pangkat kerana menyokong parti politik yang berbeza. Walaupun duduk setaman, hanya jiran-jiran yang sama fahaman politik sahaja yang dijemput ke kenduri perkahwinan. Kisah-kisah ini bukan dongengan! Jelas, fanatisme kepada fahaman politik telah mengaburi intelektual kita! Kita lupa Rasulullah cukup menekankan tanggungjawab terhadap jiran dan kita lalai bahawa bersikap asabiyah sehingga menafikan haq saudara kita adalah berdosa. Dan inilah antara sebab mengapa agaknya ada yang menolak ditolong hanya kerana perbezaan fahaman politik. Berat nanang ni!


8. Bagi saya, inilah antara perkara yang perlu orang muda ubah. Adalah sesuatu yang tidak menjadi masalah malah wajib bagi seseorang untuk berpegang satu-satu fahaman politik. Boleh baca satu artikel dari Al Fadhil Ustaz Hasrizal Abdul Jamil buat yang masih ingin terus berdiri atas pagar. Namun, berpegang kepada satu fahaman politik tidak ,membolehkan kita bersikap 'double standard' kepada saudara, sahabat mahupun jiran kita yang mempunyai fahaman politik yang berbeza. Sebagai contoh, saya sebagai doktor tidak boleh memilih kasih dalam merawat pesakit saya, tidak boleh sama sekali memberikan rawatan yang lebih baik kepada pesakit yang sama fahaman politik dengan saya dan memberikan rawatan sambil lewa kepada orang lain. Ini namanya tidak profesional!


9. Ingatlah kisah baju besi Saidina Ali bin Abu Talib Karamallahu Wajhah. Diceritakan oleh Syarieh (Hakim Zaman Saidina Ali di Kufah):

Apabila bergerak tentera Saidina Ali ke peperangan dengan Muawiyah di Siffin, terjatuh baju perisainya. Apabila beliau pulang dari peperangan tersebut ke Kufah, didapati bahawa baju besi tersebut berada di tangan seorang Yahudi yang menjual baju besi tersebut di pasar Kufah.

Maka berkata Saidina Ali kepada Yahudi tersebut : “Wahai orang yahudi, ini baju perisai saya, tidak pernah saya menjualnya atau menghadiahkannya”.

Berkata Yahudi itu: “Ini baju perisai ku dan ia berada di tangan ku”.

Berkata Saidina Ali: “Kita bawa perkara ini kepada hakim”.

Maka perkara ini dibawa kepada hakim Syarieh, maka duduklah Saidina Ali sebelah hakim dan duduklah orang yahudi tersebut di depan hakim tersebut.

Berkata Syarieh: “Katakanlah wahai Amirul Mukminin”.

Berkata Saidina Ali: “Ya. Bahawa baju besi yang ada di tangan Yahudi ini adalah baju besi ku dan tidak pernah ku menjual atau menghadiahkannya kepada sesiapa”.

Syarieh: “Ada buktikah wahai Amirul Mukminin?”

Saidina Ali: “Ada. ‘Qunbar’(hamba Saidina Ali), Hasan dan Husain adalah saksi bahawa baju besi itu memang milik ku”.

Syarieh: “Kesaksian anak tidak diterima pakai bagi bapanya”.

Saidina Ali: “Lelaki daripada ahli syurga tidak boleh dijadikan saksi? Aku pernah mendengar Nabi Muhammad bersabda bahawa Hasan dan Husain adalah ketua kepada para pemuda di syurga”.

Berkata si Yahudi itu: “Amirul Mukminin telah membawa saya berjumpa dengan hakim, dan hakim tersbut memutuskan hukuman ke atasnya!!! Maka sesungguhnya ini adalah kebenaran. Aku naik saksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Dan sesungguhnya baju besi ini memang baju besi mu (Ali). Pada ketika itu, saya sedang menaiki unta dan kamu sedang menuju siffin, maka terjatuh baju besi kamu pada belah malam. Maka saya ambil baju besi tersebut”.

Berkata Yahudi itu lagi: “Sekiranya saya katakannya, maka ianya milik kamu”.

10. Dalam kisah di atas, jelas sifat profesionalisme hakim yang mengadili kes tersebut. Walaupun yang hadir itu adalah Khalifah sendiri dan dia ditentang oleh seorang yahudi, hakim masih bersifat adil. Beliau menilai tanpa dikaburi oleh agama mahupun status manusia yang diadilinya. Seorang 'boss' dalam membuat keputusan siapa yang layak dinaikan jawatan sepatutnya dilempar jauh-jauh perbezaan fahaman politik. Sewajarnya kompetensi pekerja diberikan keutamaan! Dengan sikap inilah, kita tidak pernah sunyi mendengar kisah orang-orang yang naik jawatan tapi tidak layak!


11. Saya dengan ini mengajak teman-teman dan adik-adik untuk sentiasa mencari peluang untuk turun ke medan 'amal. Zaman mahasiswa kita dihidangkan dengan teori-teori dan idea-idea. Dan sewajarnya segala bentuk teori ini perlu dipraktikkan. Sungguh, dengan hanya pengalaman beberapa jam ini, saya sudah boleh merasa bagaimana sebenarnya banyak teori-teori yang dipelajari cukup berbeza dalam amalinya. Maka saya ulang ungkapan saya dalam artikel sebelum ini : Orang yang turun ke medan 'amal lebih mengetahui daripada orang yang 'mengkritik'. Kita sudah cukup ramai yang mengeluh mendengar berita musibah banjir di TV dan radio, kita sudah cukup ramai yang hanya mengkritik agar sistem perparitan diperbaiki, kita sudah cukup ramai yang menyumbang sedikit buat mangsa-mangsa, tapi yang kita tidak cukup adalah manusia yang terjun ke medan!


12. Akhir kata, pengalaman hari ini telah menurunkan sikap ego yang ada dalam diri saya. Dikurniakan Allah kelebihan mental hingga berjaya belajar ke luar negara. Tidak cukup dengan itu, status sebagai seorang doktor mendapat keistimewaan di mata masyarakat. Melihat sikap teman-teman yang bersungguh-sungguh memartabatkan Islam di atas bumi Allah walaupun mereka tidaklah berada atau punya kerja yang profesional malah pasti tidak belajar tinggi. Pengalaman hari ini adalah satu teguran daripada Allah, sesungguhnya darjat hamba di sisiNya adalah berdasarkan 'amal dan iman bukan status diri kita di mata masyarakat. Allahu rabbi.


Abu Hafiy
Ditulis pada 2 Mei 2012

Da'wah : Keluarlah dari Kelompokmu!


1. Pernah satu pagi saya bersembang agak panjang dengan ibu mertua saya berkenaan pentingnya golongan profesional turun bersama-sama masyarakat 'bawahan' dalam kerja-kerja da'wah.


2. Saya sebagaimana ramai profesional dan bakal-bakal profesional, banyak melibatkan diri dalam program-program da'wah dan tarbiah sejak sekolah lagi. Usrah, tamrin, daurah, seminar, bengkel dan sebagainya dihadiri dan dikelolakan untuk melahirkan para du'at atau penda'wah yang berjaya dunia dan akhirat.




3. Masalah utama yang melanda golongan ini apabila terjun ke dalam masyarakat adalah kekekokan untuk menyesuaikan diri dengan ribuan perbezaan termasuk cara berfikir, gaya hidup, personaliti dan sebagainya. Mereka akhirnya lebih selesa untuk terus bekerja dengan teman-teman satu 'wavelength' dengan mereka. Lebih teruk lagi, ada kumpulan da'wah yang hanya dianggotai oleh golongan profesional sahaja, maka memaksa mereka untuk hanya bekerja dengan golongan yang sama sahaja.


4. Bekerja dengan golongan 'bawahan' tidak bermaksud menjadikan mereka peserta sesuatu program tapi bersama-sama menjayakan da'wah yang pelbagai bagi memenuhi tuntutan kepelbagaian masyarakat. Bermesyuarat, berusrah, bersukan, mengadakan kenduri, gotong-royong dan banyak lagi.


5. Antara manfaat besar yang diperoleh daripada kerja-kerja da'wah sedemikian adalah ia berupaya menurunkan ego kita sebagai orang-orang dipandang tinggi masyarakat. Kita sentiasa lupa bahawa Allah menaikkan darjat hamba-Nya berdasarkan taqwa bukan atas kehebatan intelektual mahupun banyaknya harta. Percayalah, di sebalik amalan merokok yang cukup merimaskan, aurat yang tidak sempurna - tidaklah berstokin, mungkin berbaju lengan Kedah apatah lagi nak berstokin tangan, ada di kalangan orang kampung yg hartanya cukup-cukup sahaja tapi pengorbanannya seribu kali lebih baik daripada kita.


6. Lebih penting, dengan usaha seumpama ini, golongan profesional yang lebih suka berteori dan berbincang hal-hal polisi dan seumpama dengannya akan lebih sedar akan realiti masyarakat. Natijahnya, perbincangan akan lebih matang, tidak hanya berideologi ataupun mengkritik tanpa tahu hujung pangkal. Kita akan lebih adil dalam bersuara, atas ilmu dan pengalaman yang ada.






7. Kesan-kesan lain antaranya sikap sabar akan lebih menapak dalam hati, kita akan lebih mudah untuk mempunyai rasa empati dan simpati kepada mereka serta menyuburkan rasa syukur atas kurniaan nikmat Allah. Sebagai seorang doktor, sikap-sikap ini cukup penting untuk saya menjadi seorang pengamal perubatan yang cemerlang.


8. Ini tidaklah bermakna kita meninggalkan kawan-kawan satu 'intelektual' dengan kita, malah mungkin masa dengan mereka kadang-kadang perlu diutamakan. Ada banyak perkara yang memerlukan kepada kelebihan-kelebihan kita.


9. Bagi mereka yang masih menebalkan dalam diri mereka rasa takut, rimas, fobia dan sebagainya untuk menjerumuskan diri dalam masyarakat, percayalah, segala kekurangan dan kelemahan yang ada pada mereka sebenarnya adalah nikmat dan rahmat bagi mereka yang benar-benar ingin berjuang - ketidaksempurnaan itu mampu menyempurnakan. Kita akan rasa puas dan gembira walaupun penat fizikal, emosi dan mental, insyaAllah.


10. Sesungguhnya, pasti ramai yang rimas dengan mentaliti penyokong-penyokong gerakan da'wah yang masih ramai tidak menjaga akhlak, amal islaminya masih lemah, merokok masih kebiasaan. Yang mereka tahu, Islam itu perlu didaulatkan walaupun jauh dari sempurna didirikan dalam diri. Inilah kelebihan sifat 'Aalamiyah atau membenarkan kepelbagaian golongan manusia bersama gerakan da'wah. Bagi yang hanya ingin melihat yang buruk, buruklah yang dilihatnya tapi bagi yang ingin mencari kebenaran, yakinlah bahawa kita akan berjumpa 1001 kehebatan di sebalik keburukan yang ada.


Selamat terus istiqamah dengan da'wah!


Abu Hafiy
Ditulis pada 4 Jun 2012

K-Pop : Hedonisme yang Membunuh!


1. Tiga hari lepas, Menteri Belia dan Sukan mengeluarkan kenyataan bahawa pembelanjaan besar untuk membawa masuk kumpulan K-Pop melakukan persembahan di konsert sempena Himpunan Jutaan Belia bukan isu. Apa yang saya faham adalah, ia bukan isu jika bukan Kerajaan yang mengeluarkan perbelanjaan. Maka isu menggunakan 'duit rakyat' tidak timbul.


2. Bagi saya, inilah jawapan yang cukup banyak ketempangannya. Benar, jika perbelanjaan besar yang dikeluarkan daripada kewangan kerajaan untuk membawa hiburan seumpama itu, rakyat pasti akan mempersoalkannya tapi mudarat yang lebih besar bukan faktor kewangan tapi adalah idea membawanya 'in the first place' samada ditaja atau tidak.





3. Rakyat kini dijamu dengan ribut hedonisme dengan kencang. Tidak cukup dengan ribuan rancangan hiburan yang tidak henti-henti, siang dan malam, rancangan pertandingan nyanyian yang tumbuh bagaikan cendawan dari si kecil hingga ke tua bangka, drama dan filem yang menyediakan aksi-aksi yang meruntuhkan akhlak manusia dan lebih teruk disiarkan pada waktu-waktu genting umat Islam perlu untuk memberikan fokus kepada ibadah.


4. Tidak cukup dengan media elektronik dan majalah-majalah, konsert-konsert tidak pernah pudar, malah segar di program-program anjuran kerajaan seperti Hari Kemerdekaan dan Sambutan Tahun Baru. Apatah lagi konsert-konsert anjuran pihak-pihak lain yang saban hari berlangsung sehingga ada kes yang dilangsungkan dalam bulan mulia Ramadhan.


5. Kerajaan tidak pernah luntur melaungkan slogan ingin membina modal insan. Guru-guru terutamanya berpenat lelah siang dan malam, kerja mereka bukan hanya di sekolah tapi berlarutan di rumah dan masa cuti sekolah, memikirkan dan berusaha mendidik anak-anak murid mereka. Para asatizah merantau surau ke surau dan masjid ke masjid memberikan kuliyah dengan pelbagai cara untuk menarik anak-anak muda kepada Islam. Banyak program-program dianjurkan oleh kerajaan sendiri dan badan bukan kerajaan untuk melahirkan anak-anak muda yang lebih baik demi masa depan negara. Tapi akhirnya, yang merosakkan kerja-kerja ini adalah orang mendabik dada kami telah berjaya melahirkan generasi yang lebih baik. Gila!


6. Antara kesan besar hedonisme berleluasa di minda anak-anak muda sekarang adalah lahirnya generasi yang malas berusaha. Mereka mahukan keputusan dengan cepat dan tidak mahu bersusah payah. Kesan terpengaruh dengan kehidupan senang-lenang di drama-drama dan filem-filem. Jika ditanya penemuduga untuk ke institut pengajian tinggi dan kerja, tahap pengetahuan am anak-anak muda kini sungguh membimbangkan, mereka tidak kenal siapa pimpinan negara apatah lagi isu-isu semasa. Remaja lebih kenal siapa artis K-Pop dari tarikh lahirnya, hobinya, warna kesukaannya daripada pemimpin negara, apatah lagi ulama'-ulama' dan Rasulullah sendiri. Musibah besar sedang melanda!


7. Mereka juga tidak suka bersosial dengan jiran tetangga, tidak kenal saudara-mara, kawan se'hobi' sahaja pilihan mereka. Mereka lebih suka menonton drama bersiri Korea daripada berborak dengan ibu saudara ataupun menghadiri walimah jiran. Mereka berpakaian mencolok mata, mengikut peredaran fesyen semasa, ikutan model dan artis-artis. Solat mereka dipercepatkan kerana tidak mahu terlepas walaupun sesaat filem yang sedang ditonton. Waktu maghrib dahulu dihiasi dengan bacaan al-quran kini diisi dengan muzik dan lawak jenaka drama. Ini antara ribuan masalah yang timbul akibat hedonisme yang melampau.






8. Barat juga menyedari betapa negatifnya kesan daripada hedonisme yang sedang bermaharaja lela. Kerja kurang produktif, intelektual menurun dan banyak lagi. Sebab itu, saya cukup kesal dengan alasan yang diberikan oleh anak-anak muda Melayu Islam yang mengatakan bahawa kita perlu membernarkan konsert K-Pop ini demi menghormati hak orang bukan Islam. Ini bagi saya satu penghinaan bagi orang bukan Islam. Samada muslim atau tidak, hedonimse yang keterlaluan itu lebihnya mudarat dari manfaat. Jika pihak penganjur Himpunan Jutaan Belia telah menyediakan lebih 500 aktiviti untuk membina belia, adakah konsert K-Pop sahaja yang mampu menarik mereka ke sana? Jika kita mendakwa belia kita sudah pandai berfikir, maka sepatutnya jika aktiviti yang lebih bermanfaat diberikan tumpuan, target 2 juta juga pasti akan sampai bukan?


9. Ramai yang behujah bahawa mengapa dibesar-besarkan sangat isu konsert ini sedangkan banyak lagi program bermanfaat yang berlangsung. Di sinilah bukti kejahilan sedang melata, sedihnya ia berpunca dari golongan yang berkuasa. Apabila yang haq bercampur batil, maka batillah jawabnya. Ia sepatutnya jelas dan tidak perlu lagi beralasan dan berpusing-pusing fakta.


10. Saya tidak membangkang sepenuhnya konsert, tapi perlu ada garis panduan yang jelas supaya tujuan melahirkan belia yang cemerlang tercapai. Dari pakaiannya, lirik lagunya, percampuran lelaki dan perempuan dan banyak lagi. Jika ada bukan Islam yang tidak berpuas hati, kesimpulan saya hanya satu, pihak penganjur selama ini yang sebenarnya menyebabkan sahabat-sahabat bukan Islam keliru dengan ajaran kita. Asatizah kita bercerita di radio, TV dan kuliyah-kuliyah bahawa kita perlu jaga hubungan lelaki dan perempuan tapi berapa banyak konsert anjuran kerajaan yang tidak menjaga hal ini, apatah lagi apabila kepimpinan bersahaja bersalam sesama jantina berbeza dan banyak lagi. Maka, tidaklah perlu kita pelik kenapa teman bukan Islam kita masih tidak faham-faham ajaran Islam. Lebih memilukan, masih ramai orang Islam sendiri yang keliru!


11. Pengalaman hidup di luar negara, apabila seseorang muslim jelas dan berpegang dengan satu-satu prinsip, orang bukan Islam sebenarnya mudah untuk menerima dan menghormati ajaran kita. Umat Islam perlu dididik agar berasa 'izzah atau bangga dikurniakan Islam oleh Allah. Kita tidak patut sama sekali berasa malu apatah lagi mengorbankan prinsip Islam dengan alasan menghormati orang bukan Islam. Dalam banyak situasi, kita yang beranggapan sedemikian terlebih-lebih berbanding kawan bukan Islam kita.


12. Ada yang mendakwa negeri Pakatan Rakyat juga pernah menganjurkan konsert keterlaluan seperti yang berlaku di Shah Alam tahun lepas. Tidak kira BN atau PR, yang batil tetap batil. Setahu saya DPPM memang membantah keras konsert yang dimaksudkan. Isu ini timbul bukan kerana siapa penganjurnya tapi apakah kandungan yang dibawa.


13. Salah satu faktor besar yang menyebabkan Islam itu tersebar luas semasa Kerajaan Melayu Melaka adalah apabila pemimpinnya memeluk Islam. Itu yang kita belajar di sekolah dahulu. Islamnya pemimpin bermakna Islamlah undang-undang, Islamlah sistem pendidikan dan segala macam bentuk sistem pentadbiran kerajaan. Samada kita memindahkan iman kepada pemimpin kita atau kita pindahkan pemimpin yang beriman bagi menggantikan pemimpin yang sedia ada. Pilihan di tangan kita.


Wallahua'lam


Abu Hafiy
Ditulis pada 3 Jun 2012

Menelusuri Isu WWW


1. Isu pembelian plat kereta agak hangat ketika ini. Ada yang mempertikaikan tindakan DYMM Sultan Johor berbelanja setengah juta untuk mendapatkan plat WWW1. Semua boleh rujuk senarai lelongan nombor plat itu daripada beberapa sumber.


2. Respons negatif ini telah dibalas semula dengan hujah bahawa tindakan Sultan Johor berkenaan mempunyai kesan positif terhadap pembangunan ekonomi negara. Tambahan pula, dimaklumkan oleh DYAM Tengku Mahkota Johor bahawa wang yang diperuntukkan kepada Sultan dan TMJ setiap bulan dimasukkan ke dalam Yayasan Iskandar dan Yayasan Ibrahim yang bertujuan untuk membantu rakyat dan Kerajaan Negeri Johor. Di samping itu, banyak yang menceritakan kebaikan-kebaikan yang telah DYMM Sultan Johor telah lakukan selama ini.



(Gambar diambil dari laman web Malaysiakini)


3. Ini adalah respons saya :


a) Reaksi rakyat yang marah adalah sesuatu yang boleh dijangka. Apabila sejumlah wang yang besar dibelanjakan oleh seseorang pemimpin dalam keadaan masih ramai rakyat yang masih miskin (pendapatan sebulan masih ratusan ringgit) pastinya menimbulkan tanda tanya bagaimanakah pemimpin boleh berbelanja sedemikian rupa dalam suasana rakyat sedemikian. Maka, bagi saya tidak wajar untuk menyalahkan emosi rakyat ini.


b) Saya berpandangan bahawa pihak yang melakukan lelongan perlu memberikan penerangan kepada rakyat bagaimana wang yang diperoleh sebenarnya membantu pembangunan negara. Saya tidak pasti bagaimana ini berlaku kerana kurangnya arif dalam soal ini. Jika tiada penjelasan boleh dibuat, bagi saya adalah lebih baik tidak langsung dipopularkan perkara ini. Tindakan ini penting untuk mengelakkan fitnah kepada pemimpin.


Satu kata-kata Saiyidina Umar Al-Khattab : 'Barangsiapa menempatkan dirinya di tempat yg menimbulkan persangkaan maka janganlah menyesal kalau orang menyangka buruk padanya.'


c) Saya sama sekali tidak bersetuju dengan kenyataan pemimpin apabila ditanya mengapa berbelanja sebegitu rupa 'Itu wang saya, maka saya boleh berbuat apa yang saya suka'. Harta kepunyaan kita, ada hak manusia lain ke atasnya. Lagi-lagilah kita masih di kelilingi manusia lain yang cukup miskin dan lebih-lebih lagi mereka adalah manusia yang di bawah pemerintahan mereka. Kenyataan seumpama ini hanya memburukkan lagi suasana fitnah yang berlaku.


d) Banyak kisah-kisah yang boleh kita ambil pengajaran dari soal pengurusan harta di kalangan pemimpin, yang terkenal antaranya adalah kehidupan Khalifah Umar Abdul Aziz. Satu lagi kisah menarik adalah kisah seorang gabenor di zaman pemerintahan seorang Khalifah Ar Rasyidin yang bertindak menyembunyikan anggur yang dimakan di bawah katil apabila ada rakyat yang datang ke rumahnya kerana takut dilihat terlalu bermewah-mewahan.


e) Soal pengurusan harta ini tidak hanya perlu disabitkan kepada pimpinan semata-mata kerana sudahpun ramai rakyat yang kaya. Rumah kita besar, kereta kita banyak, makan kita berlebihan. Tapi kita masih dikelilingan saudara-saudara kita yang tak cukup duit untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak, rumah bocor, pakaian lusuh dan hanya berbasikal tua. Maka, banyakkanlah infaq kepada golongan ini kerana takutnya kita pada hisab Allah di Mahsyar kelak.


f) Kepada teman-temanku yang lain, janganlah menyebarkan sesuatu tanpa usul periksa. Kawallah kemarahanmu dan dahulukan dengan sabar. Ingat firman Allah


“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” [Al Hujuraat:6]


Wallahua'lam


Ditulis pada 29 Mei 2012

Paradigma Sang Monyet?


1. Pada akhir ucapan DS Najib Tun Abdul Razak di Stadium Bukit Jalil di hadapan ribuan ahli dan penyokong UMNO, beliau ada melaung bertanya kepada hadirin, antaranya :


"Siapa yang menepati janji?" "UMNO!!" Jawab hadirin
"Siapa yang berikan 200 ringgit?"
"Siapa yang berikan duit untuk pelajar-pelajar sekolah?"
"Siapa yang tubuhkan kedai 1Malaysia?"
"Siapa yang tubuhkan klinik 1Malaysia?"


Dan banyak lagi soalan-soalan yang ditanya, semuanya berkaitan sumbangan berbentuk 'harta-benda' dan dijawab dengan semangat oleh hadirin dengan 'UMNO' atau 'Barisan Nasonal'






2. Kita sering dimomokkan bahawa semua kekayaan, pembangunan dan bantuan adalah wang kerajaan, maka rakyat terutamanya pegawai kerajaan perlu bersyukur dengan nikmat ini. Rakyat diajar bahawa nikmat kekayaan ini adalah datang dari UMNO. Sebarang ketidak setujuan atau bangkangan terhadap kerajaan adalah suatu sikap tidak syukur dengan nikmat yang ada. Ini paradigma yang telah dibentuk oleh BN selama mereka memerintah.


3. Lebih teruk lagi, disebabkan paradigma yang cukup tempang ini, mana-mana rakyat atau pegawai kerajaan yang dilihat tidak bersama dengan parti kerajaan dikenakan pelbagai tindakan yang tidak adil seperti diberhentikan, dinafikan kenaikan jawatan, dipindahkan serta merta, dihentikan tajaan dan banyak lagi. Paradigma telah melanda pemikiran sebilangan besar rakyat terutamanya orang Melayu, hingga timbul hina-menghina terhadap pegawai kerajaan yang tidak menyokong BN.


4. Apa sebenarnya wang kerajaan? Wang kerajaan sumbernya antara yang besar datang dari cukai yang dibayar rakyat. Sebagai kerajaan (mana-mana kerajaan sekalipun) mereka perlu memerintah dan memberikan kebajikan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun fahaman politik. Perbezaan fahaman politik tidak boleh sama sekali melebihi profesionalisme dalam menjalankan tugas. Jika orang itu menyokong PR tapi kerjanya cemerlang, beliau perlu diberikan hak yang sama dengan pekerja yang menyokong BN.


5. Wang kerajaan adalah hak rakyat, rakyat yang datangnya dari cukai yang dibayar oleh semua rakyat samada penyokong BN, PR atau atas pagar sekalipun. Maka mendabik dada, mereka yang memberikan wang ini adalah kenyataan tempang yang hanya bertujuan untuk bermain politik dengan rakyat. Silapnya, permainan ini semakin tidak berkesan kerana rakyat kini lebih terpelajar dari dahulu.


6. Lihat slaid persembahan yang disertakan di sini, bagaimana paradigma dibina. Dalam situasi ini, dengan kuasa yang ada, melalui media, sistem pendidikan dan banyak medium-medium kerajaan yang lain, parti pemerintah telah berjaya membentuk paradigma yang perlu kita perbetulkan kembali. Ingat, jika diizinkan Allah PR memerintah sekalipun, jika mereka masih bermain dengan kata-kata 'wang kerajaan' sebagaimana Parti pemerintah kini, mereka juga perlu diperbetulkan!


Jika anda ingin menjadi kumpulan monyet yang akhir itu, persilakanlah tapi saya memilih untuk tidak menjadi sedemikian! Ayuh perbetulkan paradigma yang salah ini!


Ditulis pada 12 Mei 2012

BERSIH 3.0 : Sisi Pandang Seorang Doktor Muda


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,





Ramai sahabat bertanya kepada saya bagaimana perhimpunan tadi. Banyak kisah gembira dan mendukacitakan dihebahkan melalui media dan laman FB. Saya cuba untuk menulis berdasarkan pengalaman saya di lokasi Masjid Jamek dari jam 11 pagi ke 5 petang. InsyaAllah saya akan cuba untuk memberikan padangan dari semua segi agar adil buat semua pembaca nota ini.


Ini adalah pertama kali saya turun dalam demostrasi di Malaysia. Saya pernah ada pengalaman turun dalam beberapa siri demostrasi di Ireland termasuk BERSIH 2.0, demonstrasi menentang 'occupation of Gaza' dan penindasan rakyat Syria. Kali ini saya turun sebagai sukarelawan pegawai perubatan yang mempunyai misi membantu mana-mana insan yang memerlukan bantuan tak kira bangsa, agama, umur mahupun peserta ataupun polis sendiri. Kami berpakaian biasa dengan ves berwarna hijau dengan tulisan Medical Team yang cukup mudah dikenali awam.


Saya dan isteri tiba dalam pukul 11 pagi di Stesen Putra Masjid Jamek. Ramai polis kelihatan mengawasi stesen berkenaan. Polis tidak menghalang atau melakukan sebarang tindakan provokasi terhadap orang awam yang turun walaupun ramai yang jelas memakai baju BERSIH. Apabila kami keluar dari stesen berkenaan, kami disapa oleh seorang mak cik lingkungan 40-an yang mengatakan bahawa nampaknya perhimpunan kali jauh lebih aman berbanding BERSIH 2.0 dengan kerjasama yang sangat baik dari pihak polis.


Kami menuju ke Masjid India di mana kumpulan kami diminta berkumpul untuk sesi 'briefing'. Masa menunggu kawan-kawan yang lain digunakan mengambil gambar, beramah mesra dengan kawan-kawan yang hadir, membeli air di gerai yang tak putus-putus dengan pembeli. Kumpulan yang berada di persekitaran Masjid India saya boleh katakan semudahnya mencecah 2000 orang minimum dalam keadaan kawasan berkenaan tidaklah begitu besar. Kelihatan mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik lingkungan umur 60 - 70 yang turut sama hadir. Kagum! Ada juga anak-anak kecil yang dibawa oleh ibu dan bapa. Suasana meriah seperti ada sambutan besar sedang berlangsung.


Setelah solat zuhur di Masjid India, kelihatan Dr Dzulkilfi Ahmad, AJK PAS Pusat telah tiba dan bermulalah sesi ucapan ringkas daripada beliau diikuti oleh laungan BERSIH, takbir dan sebagainya. Ketika kumpulan kami diminta bergerak ke kawasan berhadapan Stesen Putra Masjid Jamek di mana ketua kumpulan kami sedang menunggu.


Subhanallah!


Kumpulan yang agak kecil pada awal tadi telah bertambah bilangannya. Saya tidak dapat mengagak bilangan yang hadir memandangkan tidak berada pada tempat yang tinggi untuk melihat. Tapi sejujurnya, minimum 20,000 orang berada di kawasan berkenaan. Kami mengambil masa yang sangat lama untuk tiba di tempat berkenaan kerana perlu menempuhi lautan manusia.


Tiba kami di tempat Medical Unit, saya berkenalan dengan doktor-doktor dan pengamal perubatan yang ada. Kata mereka perhimpunan kali nampaknya jauh lebih baik. Kami menunggu di sana hingga jam 3 petang tanpa ada apa-apa masalah. Suasana cukup baik, selang seli dengan sorakan dari demonstran yang hadir. Kelihatan beberapa figur berada di atas pentas, antaranya Ambiga dan DSAI.






Tiba-tiba, kami melihat kumpulan besar itu mula bergerak menjauhi arah Dataran Merdeka. Bau gas mula terasa, kemudian disusuli rasa pedih di muka. Face mask dipakai dan garam dikunyah. Seorang doktor kelihatan menyembur muka-muka demonstran dengan air bercampur antasid untuk mengurangkan rasa sakit. Ada yang berdarah di bahagian muka terkena canister daripada semuburan gas. Seorang demostran menghampiri saya, katanya Unit Amal baru sahaja menghebahkan agar demonstradi bersurai atas arahan pimpinan. Belum sempat beredar, polis telahpun mula menyembur kumpulan demonstran dengan air asid dan gas pemedih mata tanpa memberikan sebarang amaran.Kami mula berjalan perlahan-lahan menjauhi kawasan yang disembur.


Tatkala ramai yang sudah bergerak, kami ternampak seorang lelaki tua dalam lingkungan umur 70 tahun sedang duduk kepenatan. Saya dan kawan-kawan memimpin dia perlahan-lahan menjauhi kawasan semburan. Ada lagi beberapa insiden di mana ada di kalangan peserta yang hadir pengsan, sesak nafas, cederan bahagian kaki dan sebagainya. Setiap daripada mereka dirawat sebaiknya dengan alatan perubatan yang ada.


Kami berjalan agak jauh daripada kawasan Masjid Jamek menjauhi asap yang pedih itu. Kami sentiasa disapa dengan baik dengan senyuman daripada peserta. Bajunya mungkin terlalu menawan =). Sampai di satu tempat berdekatan dengan Menara Maybank, kami duduk berehat. Kelihatan para peserta sudah berjalan menuju pelbagai arah, menandakan perhimpunan hampir tamat.


Jam 430 petang, kami bergerak semula ke arah Stesen Putra Masjid Jamek dengan tujuan mengambil tren pulang ke rumah. Tiba-tiba kedengaran teriakan manusia dan kepulan asap. Oh, masih belum tamat rupanya. Saya dimaklumkan provokasi berlaku antara polis dan beberapa demonstran. Sesiapa yang memulakannya, saya tidak pasti. Tapi saya tidak menolak kemungkinan bahawa ada demonstran yang memulakan provokasi di samping tindakan polis yang tidak henti-henti menyembur gas dan air asid.


Kami berjalan ke arah bahagian hadapan kumpulan peserta itu melalui jalan-jalan tepi sehingga masuk ke dalam Stesen Putra. Alhamdulillah tiada apa-apa masalah. Kami menuju ke arah Masjid India untuk bertemu dengan ahli keluarga yang lain, tiba-tiba disapa oleh seorang peserta yang terkena canister pada badannya. Iodin disapu pada kawasan yang luka dan diletakkan plaster. Tiada kecederaan serius insyaAllah.


Disebabkan ahli keluarga telahpun bergerak pulang setelah lama menunggu kami tiba, kami pun mengambil keputusan untuk terus mengambil tren pulang ke rumah. Pegawai polis ramai berkeliaran dalam stesen berkenaan. Mereka kelihatan bekerjasama dengan baik dengan peserta yang ada. Tiada provokasi berlaku. Alhamdulillah. Kami akhirnya tiba di rumah hampir jam 6. Penat memang penat tapi saya tidak menafikan saya puas kerana dapat hadir bersama ratusan ribu manusia membanjiri Bandaraya Kuala Lumpur hari ini.


Saya agak kecewa kerana tidak dapat memberikan rawatan kepada pihak polis dan FRU jika ada yang cedera. Walaupun pandangan sisi politik kita berbeza, insyaAllah disiplin profesionalime seorang doktor saya akan jaga sepenuhnya. Teringin untuk bersama peserta melaung slogan-slogan tapi atas dasar profesionalisme, Alhamdulillah saya dapat mengekalkan 'non-partisan' saya dalam himpunan hari ini.


Pandang sisi saya :


1. Saya cukup kecewa kerana demonstrasi ini tidak dibenarkan untuk masuk ke Dataran Merdeka. Bagi saya, jika ia dihalalkan oleh pihak berkuasa, banyak perkara yang tidak diingini tidak akan berlaku.


2. Sewajarnya pihak berkuasa memberikan sahaja permit berkumpul dan bagi saya wajar diletakkan syarat-syarat berdasarkan perbincangan dengan pihak penganjur. Sebagaimana di luar negara, di samping anggota polis yang cukup membantu, tanpa provokasi langsung, syarat-syarat seperti masa yang dibenarkan untuk demonstrasi, tanggungjawab penganjur terhadap apa-apa kesalahan peserta termasuk mengotorkan tempat dan sebagainya.


3. Keadaan aman di lokasi-lokasi tadi menyebabkan saya hairan akan keamanan perhimpunan hari ini sehinggalah polis mula menyembur gas dan air asid. Bagi saya, walaupun perhimpunan kali masih dikategorikan sebagai haram oleh pihak berkuasa, kalaulah polis meminta dengan baik daripada pimpinan perhimpunan untuk bersurai, saya meyakini ia tidak akan berakhir sedemikian rupa.


4. Apabila polis mula menyembur air asid dan gas pemedih mata, bermula bibit-bibit provokasi dan keganasan. Saya tidak menolak bahawa ada kemungkinan demonstran yang terlibat dalam aksi keganasan ini mungkin diupah untuk berbuat demikian untuk memburukkan keadaan namun saya juga tidak menolak kemungkinan yang lebih besar iaitu ia memang aksi demonstran pro BERSIH. Saya difahamkan ada dikalangan mereka yang tidak mahu menuruti arahan pimpinan agar tidak terlibat dalam perihal berkenaan. Siapa mereka? Wallahua'lam. Apa-apapun jika benar demonstran berkenaan memulakan provokasi, pimpinan BERSIH wajar bertanggungjawab.






5. Saya tidak boleh memberikan sebarang komen berkenaan beberapa insiden yang berlaku di lokasi lain seperti insiden kereta polis merempuh demonstran disusuli demonstran menterbalikkan kereta berkenaan. Komen dalam poin ke-4 saya rasa boleh merumuskan pandangan saya. Yang bersalah adalah bersalah, tidak kiralah dari kelompok mana. Dan janganlah dituding kesalahan kepada ratusan ribuan yang lain yang datang dengan cukup aman.


6. Saya tidak boleh menyimpan rasa kecewa melihat kekotoran yang berlaku dalam perjalanan pulang saya ke rumah, banyak botol-botol kosong yang berlemparan. Saya tidak tahu samada mungkin selepas saya pulang akan ada kumpulan khas di bawah BERSIH atau dari Unit Amal yang terkenal dengan disiplin yang baik, yang akan melakukan pembersihan. Jika tiada, ia sesuatu yang perlu diambil kira dalam mana-mana demonstrasi pada masa akan datang dan untuk kali ini BERSIH wajar bertanggungjawab sepenuhnya.


7. Bagi yang tidak bersetuju dengam BERSIH in the first place, saya boleh katakan begini. Ramai antara mereka adalah golongan pro Parti Kerajaan yang fanatik. Mereka sudah selesa dengan kehidupan di bawah pemerintahan parti berkenaan. Mereka 'beriman' bahawa rezeki itu datang dari UMNO BN dan rakyat perlu bersyukur dengan apa yang ada. Mereka kelihatan tidak ambil peduli dengan kes-kes penindasan ke atas rakyat yang tidak bersama parti pemerintah, mereka diugut, dipenjara, dipindahkan kerja serta merta malah ada yang dibunuh seperti kes Memali. Tidak termasuk lagi dengan corak pemerintahan yang tidak Islamik dengan kenyataan-kenyataan menghina hukum Islam dan Ulama'. Bagi golongan ini, saya hanya mampu berdo'a. Semoga Allah membuka hati mereka seluas-luas melihat kezaliman demi kezaliman yang berlaku.


8. Suka saya ingatkan para pembaca bahawa masalah-masalah yang berlaku dalam sistem pilihanraya kita cukup membimbangkan termasuk dakwaan memberikan kerakyatan sewenang-wenangnya, perpindahan tempat mengundi tanpa pengetahuan pengundi, pengundi yang mustahil seperti orang yang sangat tua, bilangan pengundi yg mustahil dalam satu-satu kediaman dan banyak lagi. Baru-baru ini kita dikejutkan bahawa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR adalah ahli UMNO. Tempangnya sistem pilihanraya kita!


9. Ada di kalangan yang tidak bersetuju itu merasakan BERSIH 3.0 itu bukan penyelesaian terbaik buat ketika ini. Pandangan ini mungkin betul, mungkin tidak. Apa yang saya perhatikan, golongan ini banyaknya datang dari kumpulan yang tidak langsung terlibat dalam menyelesaikan masalah yang ada. Mereka ada di tebingan, memberikan pandangan dan kritikan. Melihat kepada usaha yang telah dilakukan oleh pihak yang berkenaan dalam menyelesaikan masalah ini dengan baik, saya berpandangan bahawa parti pemerintah kelihatan tidak serius dalam menanganinya. Jelas, tempangnya sistem pilihanraya akan memberikan kelebihan yang cukup tinggi kepada mereka untuk terus berkuasa. Golongan 'amal' lebih tahu selok belok bekerja daripada golongan 'pengkritik', begitulah dapat saya simpulkan. Walau bagaimanapun, kritikan dari pihak luar bagi saya perlu dialu-alukan untuk mematangkan segala bentuk keputusan.


10. Ada di kalangan mereka yang tidak langsung ambil peduli. Mereka mungkin pening dengan mainan politik yang sedang berlaku. Mereka hidup untuk diri mereka dan keluarga mereka sahaja, makan, tidur, makan, kerja, berhibur. Kitaran hidup tidak menggambarkan diri mereka mahu melakukan sebarang perubahan pada masyarakat dan negara. Golongan ini bagi saya, memang sungguh menguntungkan kerajaan yang memerintah. Jikalau mereka mendaftar diri sebagai pengundi sekalipun, undi buat parti pemerintah hampir pasti berlaku.


11. Tuntutan BERSIH adalah wajar dan mustahak! Rakyat yang turun hari ini adalah sebagai usaha kecil dalam mengembalikan negara kepada keadaan yang lebih baik. Pemerintah mesti disedarkan bahawa rakyat marah dengan kerosakan-kerosakan yang telah mereka lakukan. Jika dalam keadaan perhimpunan ini sudah dari awal diharamkan, dan begini sokongan yang datang, saya tidak boleh mengagak bagaimana jika ia dibenarkan. Kita perlu ingat, masih ramai lagi di luar sana yang ingin hadir tapi tidak berkesempatan, dan masih ramai yang menyokong tapi tidak cukup kuat untuk turun bersama. Sesungguhnya, saya percaya jika pilihanraya kali ini benar-benar bersih, parti pemerintah pasti akan tumbang!


12. Saya mengimpikan sebuah negara yang mampu mewujudkan suasana yang lebih baik pada masa akan datang, khasnya untuk generasi muda. Dan saya pasti melihatkan prestasi kepimpinan negara, mereka gagal melaksanakan dengan baik malah dalam perkara-perkara tertentu menjahanamkan kehidupan rakyat. Semoga nukilan ini memberikan manfaat buat teman-teman yang membaca.


Nota tambahan : Saya menulis pandangan ini beberapa jam selepas saya pulang dari perhimpunan berkenaan. Saya menulis apa saya lihat dan dengar. Saya tidak mengulas berdasarkan informasi lain ketika ini samada dari video, cerita-cerita orang lain. Sebarang kekurangan adalah kelemahan saya.


Selamat malam buat teman di Malaysia.


Ditulis pada 28 April 2012