Sunday, December 30, 2012

Kisah Aku Dengan Mereka


Aku berasa cukup bertuah. Apabila aku diuji Allah, dengan tiadanya kelulusan UPSR kerana pada ketika itu, aku mengikut keluargaku ke UK kerana abah menyambung Masters. Aku hampir dimasukkan ke sebuah sekolah yg cukup terkenal masalah sosialnya. Aku sedih, runsing, takut. Akhirnya permohonan aku ke Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra (SMKJ) diluluskan. Aku diletakkan dlm kelas paling corot. Sejujurnya, dalam syukur aku masih rasa sedih kerana jika dibangdingkan rakan-rakanku yg berada di top class malah ramai yg sudah ke sekolah primer, berasrama penuh dsb. Apatah lagi, ketika aku di sekolah rendah, dari tahun 1 ke tahun 5, hanya sekali sahaja aku tidak mendapat tempat pertama. Anak kecil yg dikurniakan kejayaan demi kejayaan kemudian diuji dengan sedikit 'kegagalan'





Aku tak pernah kecewa diletakkan di kelas tersebut malah cukup bersyukur kerana terlalu banyak aku belajar dari pengalaman tersebut. Ketika itulah aku mula belajar berinteraksi dengan kawan-kawan Cina dan India walaupun semasa di sekolah rendah ada seorang Cina perempuan dlm kelas aku.

Aku naik ke kelas paling atas semasa di tingkatan 2 dan kekal di tingkatan 3. Alhamdulillah aku dapat bangkit kembali. Antara faktor penting adalah suasana kompetitif yg ada sejak di tingkatan 1 lagi, dan meningkat dengan jelas di tingkatan 2 dan 3. Dan suasana ini banyak datang dari teman-teman berbangsa Cina. Keputusan peperiksaan aku cemerlang kerana semangatku cukup kuat didorong oleh kawan-kawan yg hebat semangat ingin berjaya.

Antara pengalaman manis belajar dalam sebuah kelas yg terdiri daripada pelbagai bangsa, adalah pernah ada seorang kawan berbangsa Cina yg cukup suka lagu-lagu kumpulan Raihan. Siap hafal lirik. Hubungan di antara kami cukup baik. Terasa bagai sebuah keluarga walaupun berlainan bangsa dan agama.

Aku mendapat 8A semasa PMR. Guru aku menyarankan dengan tegas agar aku keluar ke sekolah berasrama penuh. Abah menyuruh aku memohon MRSM tapi aku buat-buat lupa. Aku terlalu sayang SMKJ. Akhirnya aku akur. Aku dihantar ke Sekolah Menengah Sains Pokok Sena (SAINA)





Ketika aku di SAINA, aku masih mampu untuk memberikan saingan akademik kepada kawan-kawan tapi aku perlu jujur, suasana kompetitif berkurang dengan agak signifikan. Keputusan biasa-biasa sahaja tapi masih berada di posisi atas di antara 5 kelas yg ada. Aku tak pernah menyesal berada di SAINA selama 2 tahun kerana terlalu banyak pengalaman lain yg aku cukup menghargainya tapi aku terlalu rindu untuk lebih kuat belajar dengan dorongan semangat belajar kawan-kawanku.

Aku tidak begitu bersedia untuk menghadapi beberapa subjek SPM. Kesannya aku mendapat A2 dalam Sejarah dan B3 dlm English. Lebih teruk lagi, gred 1119 aku adalah D7. Guru Englishku agak kecewa. Namun, ada satu perkara yg cukup meruntun jiwa aku selepas kami menerima keputusan SPM ini.

Seperti bagaimana biasa, seusai SPM, masing-masing memohon untuk melanjutkan pelajaran, ada yg memohon ke matrikulasi, ada yg memohon terus ke universiti tempatan dan ada yg memohon biasiswa ke luar negeri. Ada seorang kawan berbangsa India di SAINA yg mendapat gred SPM sama dengan aku malah jauh lebih baik kerana gred 1119 nya adalan A1. Aku memohon untuk melanjutkan pelajaran ke dalam bidang perubatan, dia pula mahu ke Jerman untuk mendalami bidang jurutera. Kami sentiasa berhubung untuk memaklumkan update masing-masing. Meruntunnya hati ini, tatkala aku mendapat berita gembira, dia pula terpaksa berduka. Allahu Rabbi.

Ada lagi kisah sedih. Ketika aku berpuas hati dengan 7A1, 1A2 dan 1B3, aku kemudiannya mendapat kawan-kawan lama aku di SMKJ ramai yg mendapat keputusan cemerlang. Namun, ia hanya sementara. Ada seorang kawan dengan keputusan 9A1 dan 1A2, dia hanya ditawarkan dengan diploma. Aku terkedu. Sedih.

Aku melanjutkan pelajaran ke KMYS (kini KYUEM). Hidup yg cukup mewah. Aku ditempatkan di sebuah chalet bersama 2 kawan Melayu dan 1 kawan Cina. Kawan Cinaku itu sejak kecil sehingga SPM belum pernah belajar sekelas dengan Melayu. Namun aku cukup kagum dengan perubahan pada dirinya.

Aku dilantik sebagai Presiden Musolla Committee, pertubuhan da'wah seperti BADAR. Pada suatu petang, ketika azan asar berkumandang, aku ketika itu tertidur di bilikku. Dia masuk dan mengejutkan aku supaya ke surau. Teruja sungguh aku. Dia juga memberitahu aku dia banyak membaca tentang Islam supaya lebih faham dan mengurangkan salah faham. Perhubungan kami baik, sehingga beliau antara yg tak pernah melupakan hari jadiku. Beliau pernah datang melawat aku di Cork untuk beberapa hari. Ah, rindu pula aku pada beliau. Sudah bertahun juga kami tak bersua.





Semasa di KYUEM, pernah ada suatu ceramah berkenaan dengan da'wah kepada bukan Islam yg diberikan oleh Saudara Fitri Abdullah. Kisahnya menganut Islam cukup menyentuh hati ini. Dia dahulu belajar di Sekolah kebangsaan. Majoriti kawan sekelas adalah Melayu muslim. Semasa mendapat keputusan STPM, ramai yg berjaya dan mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke universiti. Sedihnya, beliau pada ketika seorang Hindu, tidak mendapat peluang yg sama. Kata beliau, pada ketika itu beliau cukup benci dengan Islam kerana merasakan tiadanya keadilan dlm sistem pendidikan. Beliau cukup rapat dengan kawan Melayunya dan beliau juga berusaha bersungguh-sungguh sebagaimana mereka. Aku ketika itu terimbau kembali kenangan di sekolah. Aduh.

Hidupku hampir 9 tahun di Cork tidak banyak interaksi dengan kawan-kawan Cina dan India Malaysia, punca utama adalah mereka tak ramai belajar di sana. Tak banyak cerita menarik yg dapat aku kongsikan.

Pulangnya aku ke Malaysia beberapa bulan lepas membuka lembaran baru terhadap bagaimana aku berinteraksi dengan bukan Islam. Dengan status sebagai seorang doktor, aku banyak terlibat dlm kerja-kerja kemasyarakatan, memberikan pemeriksaan kesihatan percuma. Antaranya adalah dengan membuka kaunter kesihatan di Pasar Cina Kuala Ampang dan di Sri Gombak. Berinteraksi dengan mereka, berkongsi cerita-cerita politik dan isu semasa dan sebagainya adalah satu nikmat. Terasa kesepakatan yg jitu, masing-masing mahu negara menjadi lebih baik. Senyuman mereka membuktikan mereka mahu hidup sejahtera dengan kita. Nikmat sungguh suasana seperti ini.

Namun, pengalaman yg paling aku tidak mungkin lupa sampai bila-bila adalah apabila aku diamanahkan untuk mengadakan satu pertemuan dengan kawan-kawan bukan Cina dan India dari DHPP. Subhanallah. Benarlah tarbiah dan da'wah itu juga boleh Allah datangkan dari bukan Islam.

Mr Kong adalah bekas guru, kini ketua DHPP Gombak. Kini membantu Pusat Khidmat Masyarakat Dun Gombak Setia. 'InsyaAllah', 'ana', 'assalamualaikum' dan banyak lagi sudah biasa di bibirnya. Tapi yg aku cukup kagum adalah penghayatannya dalam perjuangan. Pernah beliau ditanya mengapa beliau sanggup membantu PAS tanpa sebarang bayaran. Katanya :

"Kalau kita semua tak buat, siapa nak buat?"
"Saya berjuang sekarang kerana saya mahu kehidupan generasi akan datang akan menjadi lebih baik"
"Dalam memperjuangkan kebenaran, cabaran kewangan itu biasa. Kalau nk wang, saya boleh memilih wadah lain"





Beliau menceritakan kisah-kisah beliau memberikan penerangan kepada masyarakat bukan Islam tentang salah faham tentang Islam. Beliau menghadiri banyak kelas agama supaya mudah beliau memberi penerangan. Allahu Rabbi. Ketika ramai da'ie dan ahli gerakan beralasan dlm melaksanakan kerja-kerja islami, Allah jelmakan seorang bukan Islam yg cukup cekal menghadapi 1001 cabaran dlm memperjuangkan kebenaran atas wadah parti Islam.

Itulah sedikit kisah aku dengan orang bukan Islam Malaysia. Yang aku rasa bnyk memberi kesan kepada bagaimana aku melihat dunia. Kalau ditanya aku tentang 'ketidakadilan' sistem pendidikan, aku boleh katakan bahawa bnyk faktor lain yg mempengaruhi dlm memberikan keistimewaan kepada melayu namun aku tetap mahu yg berusaha dan beroleh kejayaan wajib diberikan peluang yg baik.




Aku tidak sekali-kali boleh menerima sangkaan buruk terhadap bangsa dan agama lain hanya kerana pengalaman kurang baik kita dengan orang lain. Banyak lagi perkara baik yg boleh kita pelajari. Sesungguhnya aku cukup bersyukur kerana ditempatkan dlm gerakan Islam yg kini mengambil pendekatan tahaluf siyasi. Peluang berukhuwah dan berda'wah cukup luas. Amat rugi bagi yg masih bersama dengan parti yg berasaskan kaum mahupun organisasi Islam yg masih melaung-laung slogan bangsa. Mereka pasti tidak dapat merasai nikmat seumpama ini. This is too priceless

Moga aku terus istiqamah.

No comments:

Post a Comment