Sunday, December 30, 2012

Kisah Aku Dengan Mereka


Aku berasa cukup bertuah. Apabila aku diuji Allah, dengan tiadanya kelulusan UPSR kerana pada ketika itu, aku mengikut keluargaku ke UK kerana abah menyambung Masters. Aku hampir dimasukkan ke sebuah sekolah yg cukup terkenal masalah sosialnya. Aku sedih, runsing, takut. Akhirnya permohonan aku ke Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra (SMKJ) diluluskan. Aku diletakkan dlm kelas paling corot. Sejujurnya, dalam syukur aku masih rasa sedih kerana jika dibangdingkan rakan-rakanku yg berada di top class malah ramai yg sudah ke sekolah primer, berasrama penuh dsb. Apatah lagi, ketika aku di sekolah rendah, dari tahun 1 ke tahun 5, hanya sekali sahaja aku tidak mendapat tempat pertama. Anak kecil yg dikurniakan kejayaan demi kejayaan kemudian diuji dengan sedikit 'kegagalan'





Aku tak pernah kecewa diletakkan di kelas tersebut malah cukup bersyukur kerana terlalu banyak aku belajar dari pengalaman tersebut. Ketika itulah aku mula belajar berinteraksi dengan kawan-kawan Cina dan India walaupun semasa di sekolah rendah ada seorang Cina perempuan dlm kelas aku.

Aku naik ke kelas paling atas semasa di tingkatan 2 dan kekal di tingkatan 3. Alhamdulillah aku dapat bangkit kembali. Antara faktor penting adalah suasana kompetitif yg ada sejak di tingkatan 1 lagi, dan meningkat dengan jelas di tingkatan 2 dan 3. Dan suasana ini banyak datang dari teman-teman berbangsa Cina. Keputusan peperiksaan aku cemerlang kerana semangatku cukup kuat didorong oleh kawan-kawan yg hebat semangat ingin berjaya.

Antara pengalaman manis belajar dalam sebuah kelas yg terdiri daripada pelbagai bangsa, adalah pernah ada seorang kawan berbangsa Cina yg cukup suka lagu-lagu kumpulan Raihan. Siap hafal lirik. Hubungan di antara kami cukup baik. Terasa bagai sebuah keluarga walaupun berlainan bangsa dan agama.

Aku mendapat 8A semasa PMR. Guru aku menyarankan dengan tegas agar aku keluar ke sekolah berasrama penuh. Abah menyuruh aku memohon MRSM tapi aku buat-buat lupa. Aku terlalu sayang SMKJ. Akhirnya aku akur. Aku dihantar ke Sekolah Menengah Sains Pokok Sena (SAINA)





Ketika aku di SAINA, aku masih mampu untuk memberikan saingan akademik kepada kawan-kawan tapi aku perlu jujur, suasana kompetitif berkurang dengan agak signifikan. Keputusan biasa-biasa sahaja tapi masih berada di posisi atas di antara 5 kelas yg ada. Aku tak pernah menyesal berada di SAINA selama 2 tahun kerana terlalu banyak pengalaman lain yg aku cukup menghargainya tapi aku terlalu rindu untuk lebih kuat belajar dengan dorongan semangat belajar kawan-kawanku.

Aku tidak begitu bersedia untuk menghadapi beberapa subjek SPM. Kesannya aku mendapat A2 dalam Sejarah dan B3 dlm English. Lebih teruk lagi, gred 1119 aku adalah D7. Guru Englishku agak kecewa. Namun, ada satu perkara yg cukup meruntun jiwa aku selepas kami menerima keputusan SPM ini.

Seperti bagaimana biasa, seusai SPM, masing-masing memohon untuk melanjutkan pelajaran, ada yg memohon ke matrikulasi, ada yg memohon terus ke universiti tempatan dan ada yg memohon biasiswa ke luar negeri. Ada seorang kawan berbangsa India di SAINA yg mendapat gred SPM sama dengan aku malah jauh lebih baik kerana gred 1119 nya adalan A1. Aku memohon untuk melanjutkan pelajaran ke dalam bidang perubatan, dia pula mahu ke Jerman untuk mendalami bidang jurutera. Kami sentiasa berhubung untuk memaklumkan update masing-masing. Meruntunnya hati ini, tatkala aku mendapat berita gembira, dia pula terpaksa berduka. Allahu Rabbi.

Ada lagi kisah sedih. Ketika aku berpuas hati dengan 7A1, 1A2 dan 1B3, aku kemudiannya mendapat kawan-kawan lama aku di SMKJ ramai yg mendapat keputusan cemerlang. Namun, ia hanya sementara. Ada seorang kawan dengan keputusan 9A1 dan 1A2, dia hanya ditawarkan dengan diploma. Aku terkedu. Sedih.

Aku melanjutkan pelajaran ke KMYS (kini KYUEM). Hidup yg cukup mewah. Aku ditempatkan di sebuah chalet bersama 2 kawan Melayu dan 1 kawan Cina. Kawan Cinaku itu sejak kecil sehingga SPM belum pernah belajar sekelas dengan Melayu. Namun aku cukup kagum dengan perubahan pada dirinya.

Aku dilantik sebagai Presiden Musolla Committee, pertubuhan da'wah seperti BADAR. Pada suatu petang, ketika azan asar berkumandang, aku ketika itu tertidur di bilikku. Dia masuk dan mengejutkan aku supaya ke surau. Teruja sungguh aku. Dia juga memberitahu aku dia banyak membaca tentang Islam supaya lebih faham dan mengurangkan salah faham. Perhubungan kami baik, sehingga beliau antara yg tak pernah melupakan hari jadiku. Beliau pernah datang melawat aku di Cork untuk beberapa hari. Ah, rindu pula aku pada beliau. Sudah bertahun juga kami tak bersua.





Semasa di KYUEM, pernah ada suatu ceramah berkenaan dengan da'wah kepada bukan Islam yg diberikan oleh Saudara Fitri Abdullah. Kisahnya menganut Islam cukup menyentuh hati ini. Dia dahulu belajar di Sekolah kebangsaan. Majoriti kawan sekelas adalah Melayu muslim. Semasa mendapat keputusan STPM, ramai yg berjaya dan mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke universiti. Sedihnya, beliau pada ketika seorang Hindu, tidak mendapat peluang yg sama. Kata beliau, pada ketika itu beliau cukup benci dengan Islam kerana merasakan tiadanya keadilan dlm sistem pendidikan. Beliau cukup rapat dengan kawan Melayunya dan beliau juga berusaha bersungguh-sungguh sebagaimana mereka. Aku ketika itu terimbau kembali kenangan di sekolah. Aduh.

Hidupku hampir 9 tahun di Cork tidak banyak interaksi dengan kawan-kawan Cina dan India Malaysia, punca utama adalah mereka tak ramai belajar di sana. Tak banyak cerita menarik yg dapat aku kongsikan.

Pulangnya aku ke Malaysia beberapa bulan lepas membuka lembaran baru terhadap bagaimana aku berinteraksi dengan bukan Islam. Dengan status sebagai seorang doktor, aku banyak terlibat dlm kerja-kerja kemasyarakatan, memberikan pemeriksaan kesihatan percuma. Antaranya adalah dengan membuka kaunter kesihatan di Pasar Cina Kuala Ampang dan di Sri Gombak. Berinteraksi dengan mereka, berkongsi cerita-cerita politik dan isu semasa dan sebagainya adalah satu nikmat. Terasa kesepakatan yg jitu, masing-masing mahu negara menjadi lebih baik. Senyuman mereka membuktikan mereka mahu hidup sejahtera dengan kita. Nikmat sungguh suasana seperti ini.

Namun, pengalaman yg paling aku tidak mungkin lupa sampai bila-bila adalah apabila aku diamanahkan untuk mengadakan satu pertemuan dengan kawan-kawan bukan Cina dan India dari DHPP. Subhanallah. Benarlah tarbiah dan da'wah itu juga boleh Allah datangkan dari bukan Islam.

Mr Kong adalah bekas guru, kini ketua DHPP Gombak. Kini membantu Pusat Khidmat Masyarakat Dun Gombak Setia. 'InsyaAllah', 'ana', 'assalamualaikum' dan banyak lagi sudah biasa di bibirnya. Tapi yg aku cukup kagum adalah penghayatannya dalam perjuangan. Pernah beliau ditanya mengapa beliau sanggup membantu PAS tanpa sebarang bayaran. Katanya :

"Kalau kita semua tak buat, siapa nak buat?"
"Saya berjuang sekarang kerana saya mahu kehidupan generasi akan datang akan menjadi lebih baik"
"Dalam memperjuangkan kebenaran, cabaran kewangan itu biasa. Kalau nk wang, saya boleh memilih wadah lain"





Beliau menceritakan kisah-kisah beliau memberikan penerangan kepada masyarakat bukan Islam tentang salah faham tentang Islam. Beliau menghadiri banyak kelas agama supaya mudah beliau memberi penerangan. Allahu Rabbi. Ketika ramai da'ie dan ahli gerakan beralasan dlm melaksanakan kerja-kerja islami, Allah jelmakan seorang bukan Islam yg cukup cekal menghadapi 1001 cabaran dlm memperjuangkan kebenaran atas wadah parti Islam.

Itulah sedikit kisah aku dengan orang bukan Islam Malaysia. Yang aku rasa bnyk memberi kesan kepada bagaimana aku melihat dunia. Kalau ditanya aku tentang 'ketidakadilan' sistem pendidikan, aku boleh katakan bahawa bnyk faktor lain yg mempengaruhi dlm memberikan keistimewaan kepada melayu namun aku tetap mahu yg berusaha dan beroleh kejayaan wajib diberikan peluang yg baik.




Aku tidak sekali-kali boleh menerima sangkaan buruk terhadap bangsa dan agama lain hanya kerana pengalaman kurang baik kita dengan orang lain. Banyak lagi perkara baik yg boleh kita pelajari. Sesungguhnya aku cukup bersyukur kerana ditempatkan dlm gerakan Islam yg kini mengambil pendekatan tahaluf siyasi. Peluang berukhuwah dan berda'wah cukup luas. Amat rugi bagi yg masih bersama dengan parti yg berasaskan kaum mahupun organisasi Islam yg masih melaung-laung slogan bangsa. Mereka pasti tidak dapat merasai nikmat seumpama ini. This is too priceless

Moga aku terus istiqamah.

Saturday, September 29, 2012

Tak Nak Kawen Dengan Doktor?


1. Satu cabaran besar buat kami suami isteri dalam menjalankan amanah membantu teman-teman dan adik-adik mencari pasangan adalah betapa ramainya lelaki yang tidak mahu memperisterikan seorang doktor. Sebabnya biasa, sibuk, tidak sempat nak menjaga keluarga, mahu yang lebih masa dengan anak-anak dan sebagainya. Yang memeningkan kami lagi, sindrom ini telah melanda semua jenis profesion.


2. Pernah berlaku dalam satu perjumpaan di mana sekelompok pelajar perubatan perempuan telah bangun menyuarakan kesedihan mereka dengan sikap lelaki yang menyisihkan mereka daripada dijadikan isteri kerana kerjaya yang dipilih. Satu contoh betapa makin meruncingnya masalah ini. Pengalaman peribadi, saya perlu memujuk dan memberikan penerangan panjang tentang realiti kerjaya doktor berserta kepentingan menekankan aspek agama dalam proses mencari pasangan. Kadang-kadang sampai boleh menyebabkan marah dan kekecewaan yang cukup mendalam.


3. Seseorang yang mengambil tanggungjawab untuk menjadi seorang doktor, telah menyempurnakan satu fardhu kifayah. Apatah lagi, jika muslimah berkenaan mahu menjadi seorang pakar dalam bidang sakit puan. Saya yakin, semua suami (termasuk yang tidak mahu memperisterikan doktor) mahu isterinya diuruskan seorang doktor wanita. Tugas mereka penting dan mulia. Bangun awal pagi dan balik lewat malam. Makan pun kadang-kadang tidak sempat. Solat terkejar-kejar. Maka, adakah manusia semulia ini tidak layak diperisterikan?




4. Terlalu banyak contoh di mana doktor wanita yang telah berjaya mendidik anak-anak mereka dengan baik. Masa dengan anak-anak mungkin tidak banyak tapi ia digunakan sebaiknya. Masa sedikit tapi berkualiti. Kesannya, anak-anak 'menjadi', berjaya dalam akademik dan menjadi 'ikon' masyarakat. Juga terlalu banyak contoh di mana wanita yang banyak masa di rumah, malah sepenuhnya di rumah, anak-anak masih tidak dapat merasai kasih sayang yang diperlukan, terlibat dengan pelbagai masalah sosial di luar. Bukanlah saya menafikan akan keruncingan masalah anak-anak kini kerana terlalu banyak pendidikannya diambil oleh bibik dan guru, tapi ia bukanlah 'the only factor'. Ramai ibu yang sibuk berjaya melunaskan amanah dengan cemerlang!


5. Perlu juga diketahui bahawa menjadi doktor tidak semestinya perlu oncall, tidak semestinya kena masuk dewan bedah dan tidak semestinya bekerja di hospital. Ada doktor yang hanya bekerja di klinik yang masanya hanya 9 pagi hingga 5 petang, ada yang hanya menjadi pensyarah, ada yang kerja di pejabat, ada yang kerja dengan syarikat farmasutikal, dan banyak lagi. Ramai yang saya berjumpa, asalnya mahu menjadi pakar perubatan tapi terpaksa mengubah haluan dengan pelbagai cabaran termasuk keluarga. Maka, berbincang dan bertukar-tukar pandangan dan harapan adalah satu cara untuk memahami kehendak dan keperluan suami dan isteri.


6. Yang sangat menyedihkan, faktor kerjaya terlalu diberikan penekanan tapi bila datang perihal agama diambil mudah pula. Cukup jauh dengan apa yang telah disaran Rasulullah. Muslimat yang bertahun-tahun ditarbiah, malah sudah sampai tahap mampu mentarbiah, ilmu dan akhlaknya baik dan menyenangkan, akhirnya ditolak hanya kerana dia seorang doktor. Satu kerugian maha besar. Ketahuilah bahawa, seorang isteri yang telah lama ditarbiah untuk menjadi penggerak kerja-kerja da'wah, kesannya berbeza dengan yang tidak ditarbiah walaupun masanya dengan keluarga tidak banyak. Syaratnya, perancangan yang baik dan kerjasama antara pasangan.


7. Memperisterikan seorang doktor bererti suami juga telah berkorban, 'meminjamkan' isteri mereka kepada masyarakat. Percayalah setiap titik peluh yang dicurahkan oleh isteri, pastinya ada juga habuan buat suami. Kesusahan yang bakal dihadapi sesuatu yang pasti ada penyelesaiannya. Sukar tapi boleh dilakukan. Ramai contoh teman-teman yang telah menghadapi pengalaman ini dan masih bertahan malah cukup 'enjoy' dengan pahit manisnya.


8. Harapan saya kepada teman-teman dan adik-adik muslimin sekalian, berlakulah dengan adil, dapatkan maklumat yang benar, bergaullah dengan abang-abang yang sudah mengharungi pengalaman itu dan letaklah agama sebagai keutamaan.

Wednesday, September 26, 2012

Seutas Nota Buat Muslimat Yang Baru Berhijrah


1. Kita sedang merasai ombak perubahan manusia kembali kepada fitrah. Di Malaysia, makin ramai artis muslimat yang mengenakan tudung, menutup aurat kerana sedar akan suruhan Allah. Saya juga sedar akan perubahan-perubahan sahabat-sahabat terdekat, ada yang berubah setelah berumah tangga, ada yang berubah setelah makin dekat dengan usrah dan banyak lagi kisah-kisah lain. Alhamdulillah.


2. Ketahuilah wahai muslimat yang amat kukagumi sekalian, syaitan akan selalu mengunjungi kalian, mereka akan cuba menyisipkan kesangsian, menyampaikan bisikan-bisikan agar berpatah balik. Kuatkanlah iman, sentiasalah dekati majlis ilmu dan orang-orang soleh, agar kalian dapat iltizam dan istiqamah hingga akhir hayat.


3. Pasti ada yang mengata dan mencerca. Itu sesuatu yang hampir pasti. Sebagai ujian dan cabaran menguji keimanan kalian. Fokuslah kepada kata-kata pujian dan motivasi yang diberikan kepada kalian, agar terus bersemangat, tidak rebah. Kami doakan kalian terus gagah. Biarkan yang buruk itu pergi bagaikan angin.


4. Sedikit peringatan dariku, menutup aurat itu bukan sekadar menutupi kepala; tetapi ia hanya sebahagian daripadanya. Hendaklah dilabuhkan tudung kalian menutupi dada, dilonggarkan baju kalian, ditutupi tangan kalian, jaga pergaulan kalian, dan peliharalah maruah kalian.




5. Janganlah sekali-kali gambar lama disebar-sebarkan lagi. Simpanlah ia hanya untuk tatapan peribadi. Jika terlalu teruk dan mampu menggugat iman, mungkin lebih baik dibuang atau dilupuskan. Mulakan hidup baru, langkah ke hadapan dan lupakan kejahilan yang telah berlalu pergi.


6. Buat teman-teman, petugas-petugas media, para peminat; hormatilah perubahan mereka. Janganlah disiarkan lagi gambar-gambar mereka berpakaian mencolok mata, walaupun hanya terdedah seurat rambut. Mereka pasti akan berduka dan bersedih. Dan kalian juga berdosa kerana perbuatan membuka aib mereka. Letakkan iman dan taqwa melebihi keuntungan dan perjanjian-perjanjian dulu. Moga Allah merahmati.


7. Akhir kata, mendekati majlis ilmu itu wajib bagi kalian. Carilah usrah. Lazimilah bersama kuliyah. Jadikan orang soleh sebagai teman rapat. Kalian hebat kerana mampu membugar iman kami dengan kisah penghijrahan kalian, tapi dada kalian juga wajib disuburkan dengan ilmu. Moga dengan ilmu itu, iman makin bangkit. Doa kami agar kalian makin dekat dengan Allah. Jangan lupa doakan kami. Kami juga nak jadi baik sebagaimana kalian. Moga syurga Allah destinasi akhir kita.

Monday, September 24, 2012

Hujjah, Akhlak, Syi'ah dan Al-Arqam


1. Pernahkah anda terfikir bagaimana boleh ribuan muslim terpengaruh untuk bersama kumpulan Al-Arqam walaupun sungguh jelas kesesatannya? Walaupun pengasasnya sudah lama pergi, kumpulan mereka masih lagi aktif, bertukar nama, menjelajah ke serata dunia. Lagi pelik, ada juga manusia yang boleh menerima ajaran yang terlalu 'obvious' kesesatannya seperti ajaran Ayah Pin. Bagaimana pula dengan yang telah mengimani Syi'ah walaupun cukup jelas penghinaan mereka kepada isteri Rasulullah, cercaan kepada para sahabat dan layanan mereka terhadap ahlul sunnah wal jama'ah? Ya, memang pelik. Mengapa agaknya ia berlaku?


2. Saya tidaklah arif tentang ajaran-ajaran ini tapi cukup sekadar dengar-dengar cerita, kuliyah-kuliyah dan perbincangan-perbincangan ilmiah. Didapati bahawa antara metodologi yang cukup efektif dalam mengkaderkan pejuang Al-Arqam adalah melalui akhlak Asha'ari Muhammad yang diceritakan sanggup makan setalam dan menghabiskan sisa-sisa makanan ahli dan mad'unya. Beliau juga dikatakan cukup mengambil perhatian jika ada 'orang baru' yang menghadiri kuliyahnya, dilayannya dengan sungguh baik, menziarahi rumah mereka dan meminta untuk tidur di rumah itu walaupun kondisinya tidak baik. Kesannya, ramai yang cukup teruja dengan akhlak beliau sehingga akhirnya ramai yang bersama dengan Al-Arqam.


3. Kumpulan ini juga dikenali sebagai jemaah ekonomi. Memang agak jelas kekuatan ekonomi yang dibawa mereka. Mereka yang hidup pada era 80 dan 90-an pasti sedar akan kebanjiran kedai-kedai mereka. Mereka juga mempelopori arena nasyid yang cukup mengesankan masyarakat ketika itu. Setelah pengharaman Al-Arqam, mereka menukar nama kepada Rufaqa', jaringan perniagaanya agak kuat di Rawang. Kini, nama Global Ikhwan digunakan. Saya difahamkan, mereka sudah ada ladang kurma dan tamar di Arab Saudi. Kekuatan penggeraknya dalam beramal, memapankan ekonomi Islam pastinya menarik perhatian orang awam. Ya, kadang-kadang cukup dengan akhlak dan sifat kesungguhan pada mereka, manusia tertipu walaupun terang lagi bersuluh aqidahnya tersasar jauh.




4. Saya pernah terbaca satu perbincangan atau mungkin lebih tepat lagi perbalahan, yang berlaku antara seorang penganut Syi'ah dengan beberapa penganut Sunni di facebook. Ketahuilah, ramai yang bersama Syi'ah itu kerana terkesan dengan hujah-hujah yang dibawa. Jika boleh saya katakan, berdasarkan perbincangan yang berlaku (saya hanya menjadi pemerhati), jelas penganut Syiah itu telah menang dengan besar sekali. Sahabat-sahabat lain mahu berhujah tapi cukup miskin dengan ilmu, tambahan pula dengan cacian dan makian kerana tidak dapat menerima keberadaan Syi'ah di situ. Ingat pada kata-kata Saiyidina Ali 'Kebatilan yang tersusun akan mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun'. Percayalah, jika hujah-hujah ini dibentangkan kepada yang jahil, tanpa ada usaha untuk mendapatkan penerangan daripada ilmuan yang lain, ramai akan terpengaruh walaupun cukup jelas, terang benderang kemaksiatan dan kejahatan mereka.


5. Saya biasa dengan teman-teman dan adik-adik yang cukup suka dengan tarbiah dan da'wah. Malangnya, ramai terlalu selesa dengan 'perubahan pada diri mereka'. Mereka malas berfikir. Mereka tidak mahu 'membuang masa' mengkritik dan mempersoalkan ilmu yang mereka terima. Akhirnya terbentuklah kader-kader da'wah yang cukup hebat amal fardinya, kuat jihad mereka menyampaikan Islam tapi terlalu selesa dengan fikrah yang banyak lompongnya. Kebangkitan umat untuk menegakkan kembali Islam di dunia kini sedang rancak berlaku, pelbagai kumpulan Islam terbentuk dengan tujuan itu. Bagi saya, apa-apa sahaja medium yang kita pilih, biarlah ada hujah dan ilmu yang sahih di sebaliknya. Janganlah jadikan diri kita ahli 'Al-Arqam' versi tidak sesat.


6. Kita biasa dengar kuliyah-kuliyah berkenaan kewajipan mentaati pemimpin walaupun kemaksiatan cukup jelas pada mereka, yang disampaikan oleh golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai salafi, tapi dilabel sebagai ultrasalafi atau salafi literalis oleh kumpulan lain demi menjaga nama baik salafi. Golongan ini menyerap dalam Ulama' Muda UMNO di Malaysia. Jika dihayati kuliyah mereka, tanpa ilmu di dada dan usaha mendapatkan penjelasan daripada ulama' lain di luar kelompok ini, saya yakin, hujah mereka cukup meyakinkan. Kefasihan mereka menghafal ayat al-quran dan hadith cukup mengkagumkan. Ditambah pula dengan intonasi dan semangat mereka berkulyah, cukup mengujakan. Pulang dari kuliyah, habis dibid'ahkan amalan-amalan orang lain, direndah-rendahkan ulama' yang tidak sependapat dengan mereka dan digelarkan syi'ah dan khawarij kepada kumpulan-kumpulan Islam yang lain.


7. Di zaman moden, di mana ilmu boleh didapatkan dari pelbagai punca, cabarannya yang cukup besar. Mendapatkan ilmu memerlukan akhlak yang benar. Rasulullah telah memaklumkan kepada kita akan ada dua kelompok ulama' pada akhir zaman, yang baik dan yang jahat. Selidikilah latar belakang mereka, di mana mereka menuntut ilmu, siapa guru mereka, kumpulan mana mereka bersama, siapa kawan-kawan dan teman-teman mereka. Ilmu yang diterima, sebaiknya diminta pandangan kedua, ketiga daripada ulama' lain. Mempersoalkan dan mencabar ilmu yang kita terima adalah sesuatu yang baik agar kita lebih faham. Carilah ulama' atau asatizah yang juga beramal dengan ilmu mereka, mereka tidak hanya berkuliyah dan berceramah tapi juga turun ke medan mempraktikkan ilmu mereka. Janganlah sesekali berdebat ilmu di ruang-ruang online dan laman sosial, ini bukan tempatnya, terlalu banyak kekurangan padanya yang boleh menyebabkan salah faham. Anda mahu cari kebenaran, keluarlah dari bilik dingin anda!


Ya, usaha mencari kebenaran tidak boleh hanya menekan klik di tetikus anda, atau sekadar memandu 5 minit ke masjid berdekatan. Pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit itu sesuatu yang wajib.

Syurga Allah itu bukankah mahal harganya?

Penangan Telefon Pintar!


1. Jam dah menunjukkan pukul 125 pagi. Entah mengapa mata belum mengantuk. Penat memang penat. Baru selesai majlis kesyukuran di rumah mertuaku. Ada gulai kambing, ayam masak merah, ikan bakar. ulam, laksa, bubur lambuk, pulut kuning, mee hailam dan pelbagai jenis kuih. Saudara mara dan jiran tetangga memehuni rumah. Alhamdulillah.


2. Semasa majlis bacaan tahlil tadi, aku perasan seorang anak muda yang leka dengan telefon pintarnya. Walaupun ketika imam membaca doa, beliau lebih fokus dengan gajetnya itu, tangannya diangkat tapi telefon ada dalam tapak tangan. Pasti dia lupa, pada ketika itu dia sedang meminta pada Allah apa yang dibacakan imam. Leka. Lalai. Aku tersenyum. Hebat sungguh kuasa telefon pintar ini, kataku kepada diri ini.


3. Aku pernah duduk di sebelah anak muda ketika imam sedang berkhutbah aidilfitri sebulan yang lalu. Fokus betul anak muda ini, habis dibuka facebook, dibaca semula mesej-mesej whatsapp, dibuka berulang-ulang kali gambar-gambar di instagtram. Berapa ramai yang khayal dengan telefon pintarnya di dalam masjid atau surau, menunggu untuk solat berjemaah, hingga ke saat akhir iqamat dilaungkan dan kembali kepada telefonnya setelah selesai memberi salam.


4. Berapa ramai yang hilang fokus dari mesyuarat, khayal dengan facebook mahupun games. Hilang tumpuan dalam bilik kuliyah. Efisyensi kerja menurun kerana masa banyak pada telefon. Lebih parah, ketika memandu, terutamanya apabila tiba di lampu merah, dicapainya telefon untuk melayari faceebook. Ini bukan ilusi atau fantasi, tapi realiti yang juga telah menjangkiti diriku dan orang-orang terdekat.


5. Apabila diminta membantu kerja-kerja rumah, seribu satu alasan diberikan, tapi golongan muda kini, malah golongan yang sudah berusia, sanggup menghabiskan masa berjam-jam di hadapan laptop, iPad ataupun Samsung Galaxy III. Anak-anak seawal 2 tahun, telah pandai bermain dengan gajet seumpama ini hingga tidak terurus kehidupan seharian mereka. Mereka menjadi cepat marah dan demanding, dan makin kurang terlibat dengan aktiviti-aktiviti fizikal. Di sebalik kehebatan mereka bermain Angry Bird di usia muda, wujud seribu satu kerisauan di hati ibu bapa generasi kini.




6. Ibu dan bapa di era ini ramai yang bekerja, dek kerana keperluan kewangan yang meninggi dan tuntutan masyarakat. Bila ada masa lapang, mereka mungkin dapat duduk-duduk bersama di ruang tamu atau mungkin keluar makan bersama-sama. Namun, berpidah tempat atau berlainan aktiviti tidak banyak mengubah. Masing-masing ada iPhone, iPad, Samsung Galaxy, HTC atau blackberry di tangan. Biasa tengok kan? Atau saya patut kata, dah berlaku pada kita kan?


7. Walau harga telefon tersebut ribuan ringgit dan kerja kita hanya di warung, atau seorang cashier atau tukang cuci, masyarakat kini memampukan diri mereka memiliki telefon pintar. Pengaruh kawan. Tak mahu ketinggalan. Makan maggi tak mengapa. Berhutang pun tak rasa apa-apa. Hebat bukan?


8. Kerisauan pada saya, adalah saya sudah meletakkan keutamaan atau mungkin sudah
ketagihan pada peralatan ini dan segala bentuk program yang ada padanya. Akhirnya, hubungan saya dengan manusia lain terjejas, kerja saya tidak produktif dan efektif dan hubungan dengan Allah makin renggang. Astaghfirullahal adzim.


9. Saya perlu memikirkan dengan serius apa yang perlu saya buat. Mungkin saya perlu tinggalkan telefon di rumah apabila pergi bersolat. Mungkin saya perlu 'off'kan telefon saya apabila bersama keluarga. Mungkin saya perlu disiplinkan diri saya untuk menyiapkan satu-satu kerja hingga selesai, tidak beralasan nak berehat sebentar di tengah-tengah kerja; kerap kali sekejap itu menjadi berjam-jam lamanya. Susah. Sukar. Tapi demi kesejahteraan diri, keluarga dan ummah, saya perlu ubah.

Kalian bagaimana?

Tuesday, September 18, 2012

Pasal Kawen Lagi!!


1. Saya baru membaca satu artikel tulisan Nomy Nozwir di Malaysian Insider bertarikh 16 September 2012. Artikel fokus kepada tingginya wang perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga, terutamanya kepada si lelaki.


2. Saya dan isteri diijab kabulkan pada 27 Julai 2007, iaitu lebih 5 tahun yang lalu. Ketika itu saya baru berusia 24 tahun dan isteri saya berusia 23 tahun. Kami dipertemukan melalui orang tengah pada bulan April tahun yang sama, bertunang secara adat pada awal bulan Jun dan sah menjadi suami isteri pada hujung bulan Julai. Kahwin 'express' orang kata =)


3. Perkahwinan kami sederhana. Asalnya, wang hantaran saya hanya RM 4,000 tapi abah telah menambah dengan wangnya sebanyak RM 3,000. Hadiah buat isteri saya, katanya. Majlis perkahwinan sebelah isteri diadakan di dewan sebuah sekolah rendah, jemputan hampir 3000 orang kerana ramainya kenalan ayah, mak dan kami sendiri. Jurugambar abang ipar saya sendiri, tiada apa-apa persembahan, tiada pelamin, tiada majlis bersanding, baju kahwin sekadar baju melayu dan baju kurung biasa. Majlis fokus kepada menjamu tetamu-tetamu yang hadir.


4. Begitu juga dengan majlis sebelah keluarga saya, diadakan di rumah, baju biasa-biasa saja, pelamin sekadar untuk sesi fotografi, tiada fotografer khas, tiada apa-apa persembahan. Yang penting kawan-kawan dan sanak saudara dapat makan dan beramah mesra. Yang menyediakan makanan adalah jiran tetangga yang biasa berpakat membantu memasak di taman perumahan kami. Tetamu mencecah 3000 orang juga. Kos makanan per kepala kurang dari RM 7 pada ketika itu.


5. Saya biasa menghadiri majlis yang lebih ringkas, dan saya juga biasa menghadiri majlis yang cukup 'extravaganza'. Pengantinnya baju ribuan ringgit, pelamin yang gah, majlis diadakan di dewan besar dan cantik hiasannya, ada fotografer khas yang juga merakam video, ada persembahan nyanyian dan tarian, para tetamu diberikan hadiah yang istimewa dan banyak lagi.




6. Apa yang saya perhatikan, ramai anak muda yang mudah terpengaruh dengan 'kekayaan' orang lain, apa sahaja yang orang lain buat, mahu juga diadakan dalam majlisnya. Apatah lagi bila menyelak helaian majalah, dengan gambar-gambar artis dan selebriti mendirikan rumah tangga. Akibatnya, wang habis dibelanjakan untuk mendapatkan majlis yang 'extravaganza' tanpa memikirkan kesan pada masa depan.


7. Ada juga ibu bapa yang terlalu meletakkan wang hantaran yang tinggi, berdasarkan kelayakan akademik dan kerjaya sebagaimana yang dinyatakan dalam artikel berkenaan. Saya kurang pasti sebab di sebalik tindakan ini. Cuma dalam banyak kes, jelas membebankan anak muda untuk mendirikan rumah tangga.


8. Ada satu kisah menarik yang pernah berlaku kepada kawan kepada kawan saya. Dia seorang juruterbang, ingin mencari calon isteri yang baik. Beliau telah merisik seorang anak gadis, apabila ditanya apa pekerjaannya, dia hanya menjawab 'driver'. Tanpa berfikir panjang, ibu bapa gadis berkenaan telah menolak pinangannya. Hari-hari seterusnya, beliau telah meminang gadis lain yang tinggal tidak jauh dari rumah tadi, ibu bapa gadis itu hanya bertanya tentang bagaimana amalan agamanya. Kerana baik dan solehnya juruterbang ini, pinangannya diterima. Tersungguh gembiranya keluarga ini apabila tahu kerjaya bakal menantu mereka.


9. Rasulullah mengajar kita agar meletakkan agama sebagai perkara pertama dalam memilih pasangan demi kesejahteraan kita di akhirat. Apabila materialisme menjadi perkara tunjang, masakan tidak banyak masalah yang berlaku dalam perkahwinan. Tidaklah saya mengatakan kekayaan itu tidak penting, tapi berlebihan pada adanya akan ada mudarat yang mendatang.


10. Buat teman-teman perempuan yang belum berkahwin, bersederhanalah. Jangan susahkan bakal suami dan bakal keluarga mertua kalian. Biarkan orang lain bersenang, janganlah mudah terpengaruh. Biarkan sahaja kata-kata orang berlalu pergi bagai angin. Buat ibu bapa, menjadi kewajipan bagi kalian untuk memudahkan urusan perkahwinan anak-anak. Mereka bukan bahan dagangan. Mereka bukan untuk dicari keuntungan. Uruskanlah mereka kerana mahukan umat Muhammad disatukan, menambah bilangan zuriat dan demi redha serta rahmat Allah.


11. Buat bakal-bakal suami, bekerjalah bersungguh-sungguh. Jika benar-benar mahu berkahwin, janganlah dibuang wang kepada perkara-perkara yang sia-sia. Biarlah orang berIphone, berbaju Polo dan berkereta Honda. Jika kita belum mampu, tinggalkanlah dahulu. Carilah bakal isteri yang sekufu. Jika kerja kita sekadar kerani biasa, janganlah dituju doktor anak dato'. Memang tidak salah, tapi banyak cabaran besar bakal menanti. Fikir panjang, carilah bantuan, banyakkan berdoa dan bersolat hajat dan istigharah. Moga perkahwinan yang dituju kekal dan bahagia hingga ke syurga.


12. Majlis agama Islam juga perlu memperhebatkan dan meningkatkan lagi kualiti kursus kahwin. Ilmu cukup penting dalam perkahwinan. Biar tegas dan disiplin sedikit, biar lebih panjang durasinya, apa-apa sahaja yang perlu dan mustahak dalam menyediakan bakal suami dan isteri yang baik dan soleh, demi kemaslahatan ummah. Keutuhan keluarga faktor besar kesejahteraan masyarakat dan negara.

Monday, September 17, 2012

Cerita Si Buta


Kira-kira pukul 9 pagi tadi, aku mendengar siaran radio IKIM.fm yang membicarakan tentang harapan rakyat kepada belanjawan negara yang bakal dibentangkan PM tidak lama lagi.


Salah seorang pemanggil yang dikenali sebagai Haji Muhammad, dengan sopan dan kedengaran penuh ikhlas pada suaranya memohon agar dinaikkan elaun untuk golongan kurang upaya yang bekerja. Kemudian dimaklumkan bahawa dia seorang yang buta, kini sedang bekerja sebagai guru al-quran.


Sedihnya, dia hanya memperoleh elaun sebanyak RM 300 sebulan, bermakna dia hanya mendapat RM 10 sehari. Dalam suasana kenaikan harga barang, RM 300 pastinya cukup sedikit untuk menampung segala keperluan harian.


Kemudian, ada seorang pemanggil dari Klang yang tiba-tiba menangis, tidak menahan kesedihan mendengar cerita itu, tidak boleh membayangkan bagaimana seorang guru al-quran buta dibiarkan menjalani hidup sedemikian.




Aku juga tidak dapat menahan sebak. Bagaimana agaknya mungkin aku boleh hidup dengan wang sebanyak itu? Makanku berlebihan, pakaianku berjenama, aku hidup senang kerana keluarga dan mertuaku juga orang mampu. Ceritanya kedengaran sungguh mustahil. Allahu rabbi.


Buat insan-insan yang berkuasa di singgahsana, sesungguhnya tanggungjawab dan amanah kalian cukup berat. Sebelah kaki kalian sudahpun berada di dalam neraka, hanya kesungguhan dan ketaqwaan yang mampu menyelamatkan kalian agar dapat menikmati syurga Allah. Jika kalian menipu, menggadaikan hak rakyat, menjadikan rasuah sebagai jalan menjadi kaya-raya, pecah amanah dan mengkayakan keluarga kalian dengan kuasa yang ada, ingatlah Allah itu Maha Adil. Jika kalian tidak dibalas di dunia, mahkamah akhirat masih ada.


Buat teman-teman yang berada, mampu hidup senang dengan gaji ribuan ringgit, ingatlah bukan keseluruhan gaji kita adalah milik kita. Orang yang tidak berkemampuan juga ada haq atas kekayaan kita. Janganlah dipandang hina orang miskin dan peminta sedekah. Bersegeralah menyumbang untuk kesejahteraan saudara-saudara kita. Tidak mungkin sumbangan kita itu sia-sia walaupun sedikit nilainya. Allah pasti akan mengiranya dan mungkin kerana nilai kecil sedekah itu, kita layak menjadi penghuni syurga.


Selamat beramal