Wednesday, August 29, 2012

Datangkan Adab dalam Ilmu dan Amal!


1. Saya suka tengok kebangkitan semangat ingin kenal agama yang makin membuak-buak. Tapi saya takut dengan perbincangan ilmu tanpa akhlak. Bila kita dah mendengar kuliyah, membaca buku dan pelbagai punca ilmu yang ada, pastinya akan terbentuk satu pemikiran yang akan diterjemahkan dalam bicara dan amal kita. Cuma, satu perlu kita ingat, mungkin ada pandangan lain dalam perihal berkenaan, maka kita perlu bersedia untuk menerima pandangan lain.


2. Saya perasan ramai yang ingin menjawab segala persoalan-persoalan agama yang diajukan kawan-kawan, rasa ingin terlibat dalam perbincangan. Cuma, kadang-kadang kita sekadar 'search' di google atau mendengar sebahagian ceramah, menyebabkan ilmu yang cukup cetek itu boleh membawa kepada perbincangan yang cukup lemah dan rapuh. Kita tak ambil ijazah syariah, bahasa arab kita masih tunggang terbalik, tiada ilmu usul fiqh dan sebagainya, sekadar usrah seminggu sekali, selalu mengikuti kuliyah-kuliyah di youtube, membaca buku, tiba-tiba mendabik dada membincangkan perkara-perkara besar; tahaluf siyasi, hudud dan kepimpinan bukan Islam. Kita akan ikut apa yang kita suka, tapi ada kemungkinan apa yang kita suka itu ada kesilapan padanya kerana kurang pada ilmu kita.


3. Dalam bidang perubatan, ada ratusan kepakaran, ada pakar jantung, pakar bedah, pakar kanak-kanak, pakar sakit puan, pakar bius. Seorang pakar jantung perlu menghormati ilmu pakar kanak-kanak. Ilmu kanak-kanak pakar jantung itu pasti tidaklah sebaik pakar kanak-kanak kerana mungkin kali terakhir bekerja dalam bidang tersebut adalah semasa beliau menjalani housemanship. Beliau sedar akan kekurangan yang ada pada dirinya dan menerima kelebihan ilmu orang lain. Jika datang seorang pesakit yang membawa satu keratan study bidang kardiologi kepadanya, dengan tujuan untuk membantah keputusan beliau, pastinya akan timbul rasa kurang senang dan marah kerana tiadanya hormat pada kepakaran beliau. Begitulah juga dengan bidang agama. Bukankah kita perlu ada sikap menghormati kepakaran-kepakaran ulama' kita?


4. Ada ulama' yang berpandangan boleh bersepakat dengan bukan Islam untuk mencapai keadilan politik tapi ada juga yang tidak bersetuju. Tapi tidaklah sampai yang tidak bersetuju mencanang-canangkan ketidak setujuannya sehingga yang berkhilaf dengannya itu nampak jahat, tidak benar dan sebagainya yang kurang baik. Janganlah dibiarkan orang tidak ahli terus berbincang dan membuat kesimpulan sendiri tanpa panduan ulama' yang sahih ilmunya. Berbincang dan bertengkar di facebook cukup meresahkan hati saya. Adab berkhilaf tampaknya makin susut, maka banyak pertelingkahan kita sebenarnya pertelingkahan yang sia-sia.




5. Lihatlah bagaimana orang umum berbincang tentang hudud. Secara peribadi, saya suka apabila isu ini timbul walaupun ada yang kata ia mampu untuk menurunkan populariti parti Islam untuk menang di kala ada perkara yang lebih utama perlu dibincangkan. Tetapi engan ilmu yang cetek, bicara kita bicara yang lemah. Hanya kerana kita suka satu pandangan ulama' besar tentangnya, ia tidak sesekali bermakna pandangan ulama' lain tidak benar. Itulah kelemahan kita, kerana kita doktor bukan ustaz, kita jurutera bukan ulama'.


6. Jangan sesekali kita lupa pada adab berijtihad, adab bermesyuarat, adab memberikan kesetiaan kepada kepimpinan dan banyak lagi. Seseorang atau sekumpulan ulama' yang berijtihad atas sesuatu perkara, selagi mana ia tidak bercanggah dengan syara' dan ia dilakukan demi agama, kalaupun ada keburukan daripada ijtihad berkenaan, tiada dosa pada mereka insyaAllah. Sesuatu ijtihad yang diputuskan dengan kaedah yang menuruti syara' tidak boleh membatalkan ijtihad yang lain. Apabila kepimpinan telah membuat keputusan, walaupun kita tidak bersetuju dengannya, kita masih wajib memberi ketaatan padanya selagi mana ia tidak melanggari syara'. Ini antara adab-adab asas yang sepatutnya menyerapi hati-hati muslim, apatah lagi para du'at.


7. Ambillah pengajaran daripada adab berikhtilaf imam-imam mujtahid kita. Contoh ini di buktikan sendiri oleh Imam Syafie ketika beliau menziarahi anak muridnya Imam Ahmad Bin Hambal, ketika Imam Syafie mengimamkan solat subuh, beliau meningalkan bacaan doa qunut di sebabkan menghormati mazhab hambali yang tidak mengamalkan doa qunut pada setiap solat subuh. Hebat bukan? Kita yang ilmu sekelumit, bertengkar siang malam mengapa qunut patut atau tidak patut ada.


8. Pada zaman Rasulullah lagi perbezaan pendapat telah berlaku di kalangan sahabat dan ternyata Nabi Muhammad tidak menyalahkan mana-mana pihak- kedua-duanya betul. Ini berlaku dalam rombongan para sahabat ke Bani Quraizah. Rasulullah berpesan agar ahli rombongan itu menunaikan solat Asar di tempat Bani Quraizah. Namun perjalanan itu jauh. Jika mereka tiba di sana, waktu Asar telah habis. Di sini para sahabat berpecah kepada dua pendapat. Satu kumpulan menunaikan solat Asar di pertengahan jalan kerana waktu Asar akan habis apabila tiba di sana (seolah-olah mereka menentang perintah Rasulullah supaya solat Asar di sana). Satu kumpulan lagi tetap menunaikan solat Asar di sana walupun ketika itu telah masuk waktu Maghrib (seolah-olah mereka pula menentang perintah Tuhan bahawa solat Asar mestilah dibuat dalam waktu Asar). Ternyata kedua-dua pihak betul kerana Rasulullah tidak menyalahkan mana-mana pihak. Sekiranya ada kesalahan, pasti Rasulullah akan membetulkannya, tapi baginda tidak berbuat demikian. Ini memberi panduan kepada kita yang Rasulullah memang ada mengisyaratkan untuk umat Islam selepas zamannya bahawa perbezaan pendapat itu tidaklah menjadi satu kesalahan.


Timbulnya penulisan ini, tidak sesekali untuk menghalang teman-teman terus berbincang dan menyatakan pendirian dalam sesuatu perkara, sekadar mengingatkan agar berhati-hati dalam berbicara dan beramal. Adab bukannya bertujuan menyusahkan kita, tapi untuk membimbing, menjaga dan memberikan garis panduan. Disiplin itu penting!

Tuesday, August 28, 2012

Nak Ekspresi Diri? : Stop and Think First!


Mengimbau kembali cara mengekspresikan isi hati kepada umum, terutamanya di laman-laman sosial. Ada beberapa perkara yg perlu dielakkan


1. Kurangkan bercerita kebaikan diri, lebihkan cerita kehebatan orang lain.


2. Jika ingin menegur atau tidak puas hati pada satu individu, lebih molek disampaikan rasa hati itu terus kpd yg berkenaan tanpa diumumkan. Jika dipublisitikan, apatah lagi bnyk kesamaran yg boleh membawa banyak interpretasi yg negatif, amat wajar dielakkan






3. Jika ingin berhubung atas perkara yg tidak mahu orang lain faham sepenuhnya, lebih baik diprivatekan sahaja. Berbisik antara 2 individu dalam satu kumpulan manusia sesuatu yg kita tak suka, begitu juga dalam hal ini.


4. Janganlah sesekali mencarut atau berkongsi apa2 material yg punya kata carutan, walaupun dengan tujuan berjenaka. Fikir sebelum menaip.


5. Nilai niat sebab menulis - memang untuk berkongsi ilmu dan berpesan kepada kebenaran dan kesabaran atau untuk menunjuk-nunjuk, memerli, menjatuhkan maruah?


6. Berkongsilah perkara yg bermanfaat buat org lain. Jika ada org lain yg beramal dengan perkongsian kita, ia bakal menjadi saham buat kita. Walaupun dlm kehidupan kita di alam realiti, masih bnyk perkara yg tidak baik kita lakukan, kita harapkan dengan perkongsian yg baik ini membantu membaiki diri kita. Ini bukan hipokrit! Melainkan niat kita memang untuk menipu siapa diri kita.

Kawen!!


1. 27 Julai 2012 cukuplah 5 tahun kami berumah tangga. Irfan Hafiy tiba dalam keluarga kami 24 Oktober 2009 setelah 2 tahun lebih kami berbulan madu. Kini, insan ke-4 dalam keluarga muda ini, sedang kami tunggu.




2. Sungguh kami gembira mendapat berita dan jemputan walimatul urus teman-teman dan adik-adik; apatah lagi tahun ini kami boleh menghadirkan diri dengan masa yg ada.


3. Buat yang belum berjumpa bakal teman hidup, letakkan nasihat Rasulullah sebagai panduan utama, lebihkan agama daripada yg lain. Percayalah, dengan kekuatan agama akan melahirkan akhlak yang mulia; faktor utama kekuatan sesebuah rumah tangga.


4. Agama tidak boleh hanya ditakrifkan dengan melaksanakan perkara-perkara fardi seperti cukup solat, baik bacaan al quran, menutup aurat dan sebagainya, lebih-lebih lagi yang mencari itu seorang jejaka yg biasa dengan kerja-kerja da'wah. Ketahuilah, 2/3 al quran membicarakan hal da'wah dan perjuangan, maka memperisterikan seorang muslimah yang cinta dan sayang pada jalan da'wah itu sangat penting.





5. Sejak lebih 2 tahun lalu, saya dan isteri membantu menemukan beberapa hati. Ada antara mereka sudahpun berkahwin dan ada yang bakal melaksanakan pernikahan dalam masa terdekat. Ada yang sudah bercahaya mata dan ada yang sedang menghitung hari menunggu hari yg istimewa.


6. Bagi kami, kerja ini memberikan pengalaman yang tak mungkin kami boleh lupakan, terlalu banyak perkara yang dipelajari. Menguruskan hati memerlukan kesabaran yang tinggi serta sifat kebapaan dan keibuan perlu diterapkan dengan baik.


7. Kami dapat mengenali setiap hati yang kami dekati dengan baik sekali; mempelajari dan meneladani kebaikan mereka, apatah lagi cerita yang tak ramai yang tahu. Alhamdulillah. Ia menjadi inspirasi untuk kami membentuk keluarga yg lebih baik.






8. Urusan pembinaan keluarga yang baik merupakan antara bukti keberjayaan tarbiah; maka segala masalah asas yang timbul banyak berpunca kepada kekurang jelasan fikrah islamiyah. Mempunyai ilmu yang benar, kefahaman dan keterlibatan dalam kerja da'wah dengan baik adalah sangat penting.


9. Sebagaimana yang telah difirmankan Allah dalam kalamNya, isteri/suami dan anak-anak itu mampu menjadi penghalang kpd kerja-kerja perjuangan; maka mencari pasangan yang baik serta penerusan kepada didikan dalam keluarga oleh suami dan isteri, sesuatu yang crucial.


Semoga semua pasangan yang telah dan akan diijabkabulkan dalam masa terdekat akan menghasilkan keluarga yang kaya dengan mahabbah, sakinah dan rahmah, insyaAllah. Kalaupun kita orang biasa-biasa sahaja semasa baru berkahwin, moga kita menjadi insan-insan yang lebih sayang agama Allah dan bersama memperjuangkan agama Allah melalui didikan dalam keluarga.


=D

Monday, August 13, 2012

Olimpik : Nak Ubah ikut Acuan Kita?



1. Dalam keghairahan kita mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kejohanan Olimpik atas tugas yang cukup memberansangkan, kegembiraaan kita melihat bagaimana ratusan muslim telah mengambil oportuniti yang luar biasa ini untuk menjalankan kerja-kerja da'wah sehingga berjaya mengislamkan ramai pengunjung Olimpik, kita perlu juga perlu melihat akan perkara-perkara yang perlu diperbaiki demi pembinaan jati diri muslim.


2. Saya suka mengingatkan bahawa 1/4 penduduk dunia adalah muslim. Bukankah dengan jumlah yang ramai itu, maka sepatutnya 1/4 atlet sepatutnya muslim? Maka, bukankah patut kita bertanya mengapa tidak begitu? Pentingkah untuk mencapai angka berkenaan? Apa signifikasinya?


3. Antara sebab biasa yang diberikan mengapa tidak ramai muslim di sana adalah kerana suasana dan budaya yang telah diterapkan dalam sukan anjuran Barat, mengkhususkan kepada pakaian yang tidak boleh kita nafikan, memang jauh dari apa yang telah digariskan syara'. Tapi, kita juga tidak boleh sama-sekali menolak bahawa antara faktor besar tidak ramai umat kita di sana adalah kerana kelemahan kita dari sudut fizikal yang menyebabkan kita tidak layak berada di sana. Bukankah banyak sukan yang dipertandingkan membolehkan kita menutup aurat dengan baik?





4. Perlu untuk kita sedar bahawa kehadiran wanita muslim yang bertudung cukup menarik perhatian ramai. Ia bukan sekadar satu penghormatan pihak penganjur kepada syariat Islam, tapi juga satu bentuk da'wah yang agak berkesan. Sayangnya, dalam banyak situasi, keterampilan muslim itu tidak dapat diperkukuhkan lagi dengan kemenangan. Ya, kita masih antara yang tercorot.


5. Lumrah dunia, satu pandangan yang kuat akan menarik perhatian dan mampu merubah satu-satu prinsip atau undang-undang. Benarlah, hak asasi manusia itu patut dihormati walaupun kita minoriti, tapi jika dipersembahkan dengan kekuatan, ia pasti lebih mampu memberikan kesan. Memencilkan diri apatah lagi memboikot kejohanan seumpama ini tidak mungkin membantu menyelesaikan masalah yang ada. Keluhan kita akan berterusan sampai bila-bila.


6. Mungkin apa yang boleh kita lakukan adalah negara-negara Muslim memberi fokus kepada sukan yang membolehkan mereka membawa identiti Islam melalui pemakaian. Fokus bererti mereka perlu menjadi kuasa utama untuk memenangi sukan-sukan berkenaan, bukan sekadar menyertainya. Dengan kelebihan tersebut, maka akan mudahlah kita bersuara, malah kita akan lebih mudah diserapkan dalam jawatankuasa-jawatankuasa khusus sukan berkenaan di mana suara kita akan lebih mudah didengari.


7. Kita melaung marah mengapa Olimpik diadakan dalam bulan Ramadan. Kita berspekulasi bahawa ada unsur-unsur illuminati yang diserapkan. Kita keluh kesah menonton ribuan manusia yang pakaiannya mencolok mata. Sebelum kita terus marah melulu, kita perlu tanya siapa kita pada pandangan mereka, kita ada kuasa dan kekuatan? Percayalah, tanpa kekuatan dan kuasa, kita tidak mungkin dapat berbuat banyak perubahan. Maka, itulah yang perlu kita buru. Bukan sekadar untuk menangkis anasir barat yang tidak Islamik, tetapi untuk membuktikan bahawa Islam adalah rahmat kepada keseluruhan manusia.


8. Mungkin ada yang berpandangan, mengapa tidak adakan kejohanan khas untuk muslim sebagai alternatif. Boleh tapi kualiti kita perlu baik dan at par dengan apa yang telah berlaku dalam kejohanan sedia ada. Jangan pula nanti pemenang acara pecutan 100 meter kejohanan itu masanya lebih teruk daripada masa tercorot pusingan kelayakan. Kesannya, dunia akan memandang rendah kepada kita. Saya lebih cenderung untuk membawa Islam kepada kejohanan sedia ada melihatkan kepada kejayaan demi kejayaan yang telah dibawa oleh atlet-atlet muslim yang bertanding.


9. Saya dibesarkan tanpa banyak dorongan bersukan, maka sehingga kini sukan tidak begitu menarik perhatian saya. Saya suka menonton sukan, walaupun tidaklah sehingga saya kenal nama-nama atlet atau begitu familiar dengan peraturan pertandingan. Tapi, melihat kepada keperluan yang makin mendesak, saya berpandangan menjadi kewajipan untuk saya merangka perancangan yang rapi agar anak-anak saya mampu membuat perubahan. Kita nak mengubah dunia, maka perlu untuk turun ke medan mengubahnya, bukan sekadar mengkritik dan mencadangkan. Ye dak?

Wednesday, August 8, 2012

Wartawan juga ada Tanggungjawab Mendidik!





1. Sejak keputusan perlawanan akhir badminton lelaki perseorangan Olimpik 2012 di mana Dato' Lee Chong Wei telah berjaya memenangi pingat perak, saya memerhati dan mendengar berita-berita yang disampaikan di akhbar-akhbar cetak, radio dan TV.

2. Kita boleh cukup kecewa dengan tajuk hadapan Harian Metro yang mengaitkan kegagalan LCW dengan terlepasnya beliau dengan habuan wang yang dijanjikan. Malah, cukup banyak portal-portal berita yang menggunakan istilah 'gagal membawa pulang emas' atau 'hanya membawa pulang perak'. Bagi seorang atlet Malaysia yang telah berjaya ke peringkat akhir satu kejohanan dunia, saya kira amat tidak wajar kata-kata seumpama ini digunakan dalam usaha kita memotivasikan rakyat untuk terus ke hadapan. Kenapa tidak "LCW berjaya membawa pulang perak?" Bukankah itu lebih positif bunyinya?

3. Manusia yang berjaya mesti mempunyai motivasi yang tinggi. Jika kegagalan yang berlaku dilihat sebagai sesuatu yang negatif, selalunya motivasi tidak sekuat motivasi yang hadir daripada melihat kegagalan dari sudut yang positif. Faktor luar cukup memberikan kesan yang besar. Seorang ayah yang asyik marah dan berang dengan keputusan yang kurang baik anaknya, selalunya akan melahirkan anak yang 'kurang' berjaya berbanding dengan seorang ayah yang sentiasa positif, terus memberikan semangat walaupun keputusan kurang baik. Kalaupun anak yang ditekan dengan negatif itu berjaya, kualiti kejayaannya tidak akan sama dengan kejayaan anak yang sentiasa diberikan sokongan. Inilah yang disebut dengan 'positive reinforcement' berbanding dengan 'negative reinforcement'

4. Media cukup memainkan peranan yang penting dalam mendidik rakyat yang menonton, mendengar dan membaca berita-berita mereka. Pardigma pemikiran rakyat sangat kuat dibentuk oleh faktor ini. Rosaknya disiplin dan akhlak wartawan, editor, penerbit dan semua yang terlibat dalam menyiarkan berita, maka mudah kita merosakkan minda masyarakat. Kita mahu rakyat bersikap positif dan bermotivasi, maka media antara yang utama perlu tinggi dengan motivasi yang betul.

5. Kita belum lagi berbicara tentang sikap petugas media yang mementingkan populariti syarikat mereka, tidak langsung ambil peduli jika berita mereka menjatuhkan aib individu-individu dan kumpulan tertentu. Sepasang lelaki dan perempuan yang ditangkap berkhalwat diambil gambar dan video mereka, dijajakan nama mereka sana sini. Apa agaknya nasib mereka jika mereka membuat keputusan untuk berubah? Bagaimana agaknya persepsi masyarakat selepas itu? Mereka belum pun dibicarakan, tapi sudah dihukum sebegitu rupa? Ini bukan cara Islam berhukum! Kisah seorang lelaki yang miskin mencuri barangan runcit bernilai RM 50 diletakkan di berita hadapan. Natijahnya? Rakyat akan lebih membantu orang miskin atau rakyat lebih menghina mereka?

6. Lebih menyedihkan lagi, kita sering membaca berita-berita gosip yang tidak langsung membangunkan rakyat. Artis itu berkahwin dengan ahli politik ini, kahwin di mana, makan di mana malah ada satu berita yang pernah saya baca, sampai artis potong rambut pun nak disiarkan dalam akhbar. Musibah apakah ini? Rakyat lebih kenal dengan artis-artis dalam dan luar negara berbanding para nabi, ulama' dan pemimpin sendiri. Salah siapa?

7. Tidaklah perlu saya ulang kebencian saya terhadap media yang menyalahi syara' dalam melaporkan berita. Kes hubungan seks ahli politik yang belum lagi reda, hingga disiarkan gambar-gambar walaupun dimalapkan dilakukan tanpa segan silu. Jahil ilmu disertai dengan ketaksuban untuk memenangkan satu parti politik menyebabkan mereka menjadi hamba Allah yang telah mengingkari hukum yang telah ditetapkannya. Maka, bagaimanakah mungkin rakyat celik syara' dapat dilahirkan?

8. Kita boleh memuji usaha melawan anasir-anasir negatif yang berlaku dengan tumbuhnya pelbagai rangkaian media yang menyediakan mesej-mesej yang mendidik seperti IKIM.fm dan TV Al-Hijrah. Kesan positif telah kita nampak, namun usaha demi usaha perlu diperkemaskan. Keseriusan media sebegini masih lagi sukar mendapat tempat di hati anak-anak muda yang lebih suka media yang saya sebut di atas. Tidak ada cara yang lebih efektif, melainkan anasir-anasir negatif ini ditiadakan. Dan ini hanya dapat diperbetulkan dengan kuasa pada pemerintah yang bertaqwa.

Sunday, August 5, 2012

Cerita-cerita Lee Chong Wei




1. Saya mungkin sedikit sedih kerana jamaah surau malam ini menyusut. Tidaklah saya terkejut kerana ia sudah dijangkakan. Lagi sedih bila tahu LCW kalah. Lebih memilukan lagi apabila beliau telah memohon maaf kepada kesemua rakyat Malaysia atas kekalahan itu.

2. Saya tidak boleh menafikan bahawa pertandingan seumpama ini berkemampuan malah telah terbukti menyatukan rakyat Malaysia. Yang tua mahupun muda, penyokong parti BN mahupun PR, lelaki mahupun perempuan, Melayu, Cina mahupun India. Suasana seperti ini menginatkan saya semangat kesepaduan yang ditunjukkan oleh rakyat Ireland apabila adanya perlawanan-perlawanan genting melibatkan Ireland terutamanya ragbi, Gaelig football dan hurling. Kesepaduan yang hebat ini perlu digunakan sebaiknya oleh para du'at bukan melarikan diri daripadanya.

3. Saya tidaklah bersetuju kita mengherdik sahabat-sahabat kita yang meletakkan keutamaan kepada perlawanan itu berbanding solat tarawih. Sebaiknya, kita mengajak dengan baik ke masjid sebelumnya. Ucaplah alhamdulillah kerana kita diberi kekuatan untuk menewaskan nafsu kita. Mungkin, antara solusi praktikal yang boleh dilaksanakan oleh ahli jawatankuasa masjid dan surau adalah mengadakan jemaah tarawih kedua untuk memberi laluan kepada yang tidak sempat tarawih. Mungkin yang akan kata, mengapa perlu memberi kelebihan kepada golongan ini? maka jawapan saya 'bukankah lebih baik daripada membiarkan ummah terus tidak solat?' Berjemaah itu lebih memberikan semangat! Solusi alternatif itu lebih baik daripada tiada apa-apa.

4. Mungkin yang tidak ke masjid atau surau itu, telah merancang untuk berjemaah di rumah, bilik TV, restoran mahupun hotel-hotel. Mungkinkah mereka juga insan-insan yang terus menyelak helaian al-quran daripada kita yang pulang dari masjid terus bersandaran menghadap TV dan mengunyah moreh. Mungkin juga mereka yang tidak ke masjid dan surau itu mampu bangun berqiyamullail malam ini. Banyak betul mungkinnya. Supaya kita lebih mudah membina jambatan dengan golongan ini. Walaupun logik akalnya, yang imannya kuat yakni yang telah memberikan keutamaan pada surau dan masjid itu pasti lebih mungkin untuk melakukan kemungkinan-kemungkinan ini. Tapi siapa tahu?

5. Ada banyak perkara yang positif sebenarnya kita boleh pelajari daripada perlawanan seumpama ini. Pastinya kesihatan yang baik serta kesungguhan berlatih faktor penting mereka sampai ke peringkat dunia. Sukan satu imej kepada kekuatan fizikal yang tampaknya masih kurang di kalangan umat Islam sendiri. Sikap merendah diri LCW perlu diberikan pujian. Kita mungkin kecewa kerana beliau tewas, entah bagaimana perasaan Dato' LCW apabila 'telah mengecewakan' 28 juta rakyat Malaysia. Pasti sukar!

6. Ummah masih jauh untuk berpadu kerana da'wah. Ummah masih lemah untuk berpadu untuk saudara-saudara kita yang setiap hari diratah sang durjana. Ummah masih mentah untuk berpadu kerana menegakkan syariah di bumi Allah. Ya, kerja-kerja Islam masih banyak. Sabar itu sangat perlu. Ummah perlukan insan-insan pencita da'wah, yang punya ketabahan tinggi, sabar menggunung, penuh kekreatifan untuk menyebarkan agamaNya dan terus bergerak mengharungi onak dan duri.

Optimis! optimis! optimis!