Wednesday, August 29, 2012

Datangkan Adab dalam Ilmu dan Amal!


1. Saya suka tengok kebangkitan semangat ingin kenal agama yang makin membuak-buak. Tapi saya takut dengan perbincangan ilmu tanpa akhlak. Bila kita dah mendengar kuliyah, membaca buku dan pelbagai punca ilmu yang ada, pastinya akan terbentuk satu pemikiran yang akan diterjemahkan dalam bicara dan amal kita. Cuma, satu perlu kita ingat, mungkin ada pandangan lain dalam perihal berkenaan, maka kita perlu bersedia untuk menerima pandangan lain.


2. Saya perasan ramai yang ingin menjawab segala persoalan-persoalan agama yang diajukan kawan-kawan, rasa ingin terlibat dalam perbincangan. Cuma, kadang-kadang kita sekadar 'search' di google atau mendengar sebahagian ceramah, menyebabkan ilmu yang cukup cetek itu boleh membawa kepada perbincangan yang cukup lemah dan rapuh. Kita tak ambil ijazah syariah, bahasa arab kita masih tunggang terbalik, tiada ilmu usul fiqh dan sebagainya, sekadar usrah seminggu sekali, selalu mengikuti kuliyah-kuliyah di youtube, membaca buku, tiba-tiba mendabik dada membincangkan perkara-perkara besar; tahaluf siyasi, hudud dan kepimpinan bukan Islam. Kita akan ikut apa yang kita suka, tapi ada kemungkinan apa yang kita suka itu ada kesilapan padanya kerana kurang pada ilmu kita.


3. Dalam bidang perubatan, ada ratusan kepakaran, ada pakar jantung, pakar bedah, pakar kanak-kanak, pakar sakit puan, pakar bius. Seorang pakar jantung perlu menghormati ilmu pakar kanak-kanak. Ilmu kanak-kanak pakar jantung itu pasti tidaklah sebaik pakar kanak-kanak kerana mungkin kali terakhir bekerja dalam bidang tersebut adalah semasa beliau menjalani housemanship. Beliau sedar akan kekurangan yang ada pada dirinya dan menerima kelebihan ilmu orang lain. Jika datang seorang pesakit yang membawa satu keratan study bidang kardiologi kepadanya, dengan tujuan untuk membantah keputusan beliau, pastinya akan timbul rasa kurang senang dan marah kerana tiadanya hormat pada kepakaran beliau. Begitulah juga dengan bidang agama. Bukankah kita perlu ada sikap menghormati kepakaran-kepakaran ulama' kita?


4. Ada ulama' yang berpandangan boleh bersepakat dengan bukan Islam untuk mencapai keadilan politik tapi ada juga yang tidak bersetuju. Tapi tidaklah sampai yang tidak bersetuju mencanang-canangkan ketidak setujuannya sehingga yang berkhilaf dengannya itu nampak jahat, tidak benar dan sebagainya yang kurang baik. Janganlah dibiarkan orang tidak ahli terus berbincang dan membuat kesimpulan sendiri tanpa panduan ulama' yang sahih ilmunya. Berbincang dan bertengkar di facebook cukup meresahkan hati saya. Adab berkhilaf tampaknya makin susut, maka banyak pertelingkahan kita sebenarnya pertelingkahan yang sia-sia.




5. Lihatlah bagaimana orang umum berbincang tentang hudud. Secara peribadi, saya suka apabila isu ini timbul walaupun ada yang kata ia mampu untuk menurunkan populariti parti Islam untuk menang di kala ada perkara yang lebih utama perlu dibincangkan. Tetapi engan ilmu yang cetek, bicara kita bicara yang lemah. Hanya kerana kita suka satu pandangan ulama' besar tentangnya, ia tidak sesekali bermakna pandangan ulama' lain tidak benar. Itulah kelemahan kita, kerana kita doktor bukan ustaz, kita jurutera bukan ulama'.


6. Jangan sesekali kita lupa pada adab berijtihad, adab bermesyuarat, adab memberikan kesetiaan kepada kepimpinan dan banyak lagi. Seseorang atau sekumpulan ulama' yang berijtihad atas sesuatu perkara, selagi mana ia tidak bercanggah dengan syara' dan ia dilakukan demi agama, kalaupun ada keburukan daripada ijtihad berkenaan, tiada dosa pada mereka insyaAllah. Sesuatu ijtihad yang diputuskan dengan kaedah yang menuruti syara' tidak boleh membatalkan ijtihad yang lain. Apabila kepimpinan telah membuat keputusan, walaupun kita tidak bersetuju dengannya, kita masih wajib memberi ketaatan padanya selagi mana ia tidak melanggari syara'. Ini antara adab-adab asas yang sepatutnya menyerapi hati-hati muslim, apatah lagi para du'at.


7. Ambillah pengajaran daripada adab berikhtilaf imam-imam mujtahid kita. Contoh ini di buktikan sendiri oleh Imam Syafie ketika beliau menziarahi anak muridnya Imam Ahmad Bin Hambal, ketika Imam Syafie mengimamkan solat subuh, beliau meningalkan bacaan doa qunut di sebabkan menghormati mazhab hambali yang tidak mengamalkan doa qunut pada setiap solat subuh. Hebat bukan? Kita yang ilmu sekelumit, bertengkar siang malam mengapa qunut patut atau tidak patut ada.


8. Pada zaman Rasulullah lagi perbezaan pendapat telah berlaku di kalangan sahabat dan ternyata Nabi Muhammad tidak menyalahkan mana-mana pihak- kedua-duanya betul. Ini berlaku dalam rombongan para sahabat ke Bani Quraizah. Rasulullah berpesan agar ahli rombongan itu menunaikan solat Asar di tempat Bani Quraizah. Namun perjalanan itu jauh. Jika mereka tiba di sana, waktu Asar telah habis. Di sini para sahabat berpecah kepada dua pendapat. Satu kumpulan menunaikan solat Asar di pertengahan jalan kerana waktu Asar akan habis apabila tiba di sana (seolah-olah mereka menentang perintah Rasulullah supaya solat Asar di sana). Satu kumpulan lagi tetap menunaikan solat Asar di sana walupun ketika itu telah masuk waktu Maghrib (seolah-olah mereka pula menentang perintah Tuhan bahawa solat Asar mestilah dibuat dalam waktu Asar). Ternyata kedua-dua pihak betul kerana Rasulullah tidak menyalahkan mana-mana pihak. Sekiranya ada kesalahan, pasti Rasulullah akan membetulkannya, tapi baginda tidak berbuat demikian. Ini memberi panduan kepada kita yang Rasulullah memang ada mengisyaratkan untuk umat Islam selepas zamannya bahawa perbezaan pendapat itu tidaklah menjadi satu kesalahan.


Timbulnya penulisan ini, tidak sesekali untuk menghalang teman-teman terus berbincang dan menyatakan pendirian dalam sesuatu perkara, sekadar mengingatkan agar berhati-hati dalam berbicara dan beramal. Adab bukannya bertujuan menyusahkan kita, tapi untuk membimbing, menjaga dan memberikan garis panduan. Disiplin itu penting!

1 comment: