Monday, August 13, 2012

Olimpik : Nak Ubah ikut Acuan Kita?



1. Dalam keghairahan kita mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kejohanan Olimpik atas tugas yang cukup memberansangkan, kegembiraaan kita melihat bagaimana ratusan muslim telah mengambil oportuniti yang luar biasa ini untuk menjalankan kerja-kerja da'wah sehingga berjaya mengislamkan ramai pengunjung Olimpik, kita perlu juga perlu melihat akan perkara-perkara yang perlu diperbaiki demi pembinaan jati diri muslim.


2. Saya suka mengingatkan bahawa 1/4 penduduk dunia adalah muslim. Bukankah dengan jumlah yang ramai itu, maka sepatutnya 1/4 atlet sepatutnya muslim? Maka, bukankah patut kita bertanya mengapa tidak begitu? Pentingkah untuk mencapai angka berkenaan? Apa signifikasinya?


3. Antara sebab biasa yang diberikan mengapa tidak ramai muslim di sana adalah kerana suasana dan budaya yang telah diterapkan dalam sukan anjuran Barat, mengkhususkan kepada pakaian yang tidak boleh kita nafikan, memang jauh dari apa yang telah digariskan syara'. Tapi, kita juga tidak boleh sama-sekali menolak bahawa antara faktor besar tidak ramai umat kita di sana adalah kerana kelemahan kita dari sudut fizikal yang menyebabkan kita tidak layak berada di sana. Bukankah banyak sukan yang dipertandingkan membolehkan kita menutup aurat dengan baik?





4. Perlu untuk kita sedar bahawa kehadiran wanita muslim yang bertudung cukup menarik perhatian ramai. Ia bukan sekadar satu penghormatan pihak penganjur kepada syariat Islam, tapi juga satu bentuk da'wah yang agak berkesan. Sayangnya, dalam banyak situasi, keterampilan muslim itu tidak dapat diperkukuhkan lagi dengan kemenangan. Ya, kita masih antara yang tercorot.


5. Lumrah dunia, satu pandangan yang kuat akan menarik perhatian dan mampu merubah satu-satu prinsip atau undang-undang. Benarlah, hak asasi manusia itu patut dihormati walaupun kita minoriti, tapi jika dipersembahkan dengan kekuatan, ia pasti lebih mampu memberikan kesan. Memencilkan diri apatah lagi memboikot kejohanan seumpama ini tidak mungkin membantu menyelesaikan masalah yang ada. Keluhan kita akan berterusan sampai bila-bila.


6. Mungkin apa yang boleh kita lakukan adalah negara-negara Muslim memberi fokus kepada sukan yang membolehkan mereka membawa identiti Islam melalui pemakaian. Fokus bererti mereka perlu menjadi kuasa utama untuk memenangi sukan-sukan berkenaan, bukan sekadar menyertainya. Dengan kelebihan tersebut, maka akan mudahlah kita bersuara, malah kita akan lebih mudah diserapkan dalam jawatankuasa-jawatankuasa khusus sukan berkenaan di mana suara kita akan lebih mudah didengari.


7. Kita melaung marah mengapa Olimpik diadakan dalam bulan Ramadan. Kita berspekulasi bahawa ada unsur-unsur illuminati yang diserapkan. Kita keluh kesah menonton ribuan manusia yang pakaiannya mencolok mata. Sebelum kita terus marah melulu, kita perlu tanya siapa kita pada pandangan mereka, kita ada kuasa dan kekuatan? Percayalah, tanpa kekuatan dan kuasa, kita tidak mungkin dapat berbuat banyak perubahan. Maka, itulah yang perlu kita buru. Bukan sekadar untuk menangkis anasir barat yang tidak Islamik, tetapi untuk membuktikan bahawa Islam adalah rahmat kepada keseluruhan manusia.


8. Mungkin ada yang berpandangan, mengapa tidak adakan kejohanan khas untuk muslim sebagai alternatif. Boleh tapi kualiti kita perlu baik dan at par dengan apa yang telah berlaku dalam kejohanan sedia ada. Jangan pula nanti pemenang acara pecutan 100 meter kejohanan itu masanya lebih teruk daripada masa tercorot pusingan kelayakan. Kesannya, dunia akan memandang rendah kepada kita. Saya lebih cenderung untuk membawa Islam kepada kejohanan sedia ada melihatkan kepada kejayaan demi kejayaan yang telah dibawa oleh atlet-atlet muslim yang bertanding.


9. Saya dibesarkan tanpa banyak dorongan bersukan, maka sehingga kini sukan tidak begitu menarik perhatian saya. Saya suka menonton sukan, walaupun tidaklah sehingga saya kenal nama-nama atlet atau begitu familiar dengan peraturan pertandingan. Tapi, melihat kepada keperluan yang makin mendesak, saya berpandangan menjadi kewajipan untuk saya merangka perancangan yang rapi agar anak-anak saya mampu membuat perubahan. Kita nak mengubah dunia, maka perlu untuk turun ke medan mengubahnya, bukan sekadar mengkritik dan mencadangkan. Ye dak?

No comments:

Post a Comment