Wednesday, August 8, 2012
Wartawan juga ada Tanggungjawab Mendidik!
1. Sejak keputusan perlawanan akhir badminton lelaki perseorangan Olimpik 2012 di mana Dato' Lee Chong Wei telah berjaya memenangi pingat perak, saya memerhati dan mendengar berita-berita yang disampaikan di akhbar-akhbar cetak, radio dan TV.
2. Kita boleh cukup kecewa dengan tajuk hadapan Harian Metro yang mengaitkan kegagalan LCW dengan terlepasnya beliau dengan habuan wang yang dijanjikan. Malah, cukup banyak portal-portal berita yang menggunakan istilah 'gagal membawa pulang emas' atau 'hanya membawa pulang perak'. Bagi seorang atlet Malaysia yang telah berjaya ke peringkat akhir satu kejohanan dunia, saya kira amat tidak wajar kata-kata seumpama ini digunakan dalam usaha kita memotivasikan rakyat untuk terus ke hadapan. Kenapa tidak "LCW berjaya membawa pulang perak?" Bukankah itu lebih positif bunyinya?
3. Manusia yang berjaya mesti mempunyai motivasi yang tinggi. Jika kegagalan yang berlaku dilihat sebagai sesuatu yang negatif, selalunya motivasi tidak sekuat motivasi yang hadir daripada melihat kegagalan dari sudut yang positif. Faktor luar cukup memberikan kesan yang besar. Seorang ayah yang asyik marah dan berang dengan keputusan yang kurang baik anaknya, selalunya akan melahirkan anak yang 'kurang' berjaya berbanding dengan seorang ayah yang sentiasa positif, terus memberikan semangat walaupun keputusan kurang baik. Kalaupun anak yang ditekan dengan negatif itu berjaya, kualiti kejayaannya tidak akan sama dengan kejayaan anak yang sentiasa diberikan sokongan. Inilah yang disebut dengan 'positive reinforcement' berbanding dengan 'negative reinforcement'
4. Media cukup memainkan peranan yang penting dalam mendidik rakyat yang menonton, mendengar dan membaca berita-berita mereka. Pardigma pemikiran rakyat sangat kuat dibentuk oleh faktor ini. Rosaknya disiplin dan akhlak wartawan, editor, penerbit dan semua yang terlibat dalam menyiarkan berita, maka mudah kita merosakkan minda masyarakat. Kita mahu rakyat bersikap positif dan bermotivasi, maka media antara yang utama perlu tinggi dengan motivasi yang betul.
5. Kita belum lagi berbicara tentang sikap petugas media yang mementingkan populariti syarikat mereka, tidak langsung ambil peduli jika berita mereka menjatuhkan aib individu-individu dan kumpulan tertentu. Sepasang lelaki dan perempuan yang ditangkap berkhalwat diambil gambar dan video mereka, dijajakan nama mereka sana sini. Apa agaknya nasib mereka jika mereka membuat keputusan untuk berubah? Bagaimana agaknya persepsi masyarakat selepas itu? Mereka belum pun dibicarakan, tapi sudah dihukum sebegitu rupa? Ini bukan cara Islam berhukum! Kisah seorang lelaki yang miskin mencuri barangan runcit bernilai RM 50 diletakkan di berita hadapan. Natijahnya? Rakyat akan lebih membantu orang miskin atau rakyat lebih menghina mereka?
6. Lebih menyedihkan lagi, kita sering membaca berita-berita gosip yang tidak langsung membangunkan rakyat. Artis itu berkahwin dengan ahli politik ini, kahwin di mana, makan di mana malah ada satu berita yang pernah saya baca, sampai artis potong rambut pun nak disiarkan dalam akhbar. Musibah apakah ini? Rakyat lebih kenal dengan artis-artis dalam dan luar negara berbanding para nabi, ulama' dan pemimpin sendiri. Salah siapa?
7. Tidaklah perlu saya ulang kebencian saya terhadap media yang menyalahi syara' dalam melaporkan berita. Kes hubungan seks ahli politik yang belum lagi reda, hingga disiarkan gambar-gambar walaupun dimalapkan dilakukan tanpa segan silu. Jahil ilmu disertai dengan ketaksuban untuk memenangkan satu parti politik menyebabkan mereka menjadi hamba Allah yang telah mengingkari hukum yang telah ditetapkannya. Maka, bagaimanakah mungkin rakyat celik syara' dapat dilahirkan?
8. Kita boleh memuji usaha melawan anasir-anasir negatif yang berlaku dengan tumbuhnya pelbagai rangkaian media yang menyediakan mesej-mesej yang mendidik seperti IKIM.fm dan TV Al-Hijrah. Kesan positif telah kita nampak, namun usaha demi usaha perlu diperkemaskan. Keseriusan media sebegini masih lagi sukar mendapat tempat di hati anak-anak muda yang lebih suka media yang saya sebut di atas. Tidak ada cara yang lebih efektif, melainkan anasir-anasir negatif ini ditiadakan. Dan ini hanya dapat diperbetulkan dengan kuasa pada pemerintah yang bertaqwa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment