Sunday, August 5, 2012

Cerita-cerita Lee Chong Wei




1. Saya mungkin sedikit sedih kerana jamaah surau malam ini menyusut. Tidaklah saya terkejut kerana ia sudah dijangkakan. Lagi sedih bila tahu LCW kalah. Lebih memilukan lagi apabila beliau telah memohon maaf kepada kesemua rakyat Malaysia atas kekalahan itu.

2. Saya tidak boleh menafikan bahawa pertandingan seumpama ini berkemampuan malah telah terbukti menyatukan rakyat Malaysia. Yang tua mahupun muda, penyokong parti BN mahupun PR, lelaki mahupun perempuan, Melayu, Cina mahupun India. Suasana seperti ini menginatkan saya semangat kesepaduan yang ditunjukkan oleh rakyat Ireland apabila adanya perlawanan-perlawanan genting melibatkan Ireland terutamanya ragbi, Gaelig football dan hurling. Kesepaduan yang hebat ini perlu digunakan sebaiknya oleh para du'at bukan melarikan diri daripadanya.

3. Saya tidaklah bersetuju kita mengherdik sahabat-sahabat kita yang meletakkan keutamaan kepada perlawanan itu berbanding solat tarawih. Sebaiknya, kita mengajak dengan baik ke masjid sebelumnya. Ucaplah alhamdulillah kerana kita diberi kekuatan untuk menewaskan nafsu kita. Mungkin, antara solusi praktikal yang boleh dilaksanakan oleh ahli jawatankuasa masjid dan surau adalah mengadakan jemaah tarawih kedua untuk memberi laluan kepada yang tidak sempat tarawih. Mungkin yang akan kata, mengapa perlu memberi kelebihan kepada golongan ini? maka jawapan saya 'bukankah lebih baik daripada membiarkan ummah terus tidak solat?' Berjemaah itu lebih memberikan semangat! Solusi alternatif itu lebih baik daripada tiada apa-apa.

4. Mungkin yang tidak ke masjid atau surau itu, telah merancang untuk berjemaah di rumah, bilik TV, restoran mahupun hotel-hotel. Mungkinkah mereka juga insan-insan yang terus menyelak helaian al-quran daripada kita yang pulang dari masjid terus bersandaran menghadap TV dan mengunyah moreh. Mungkin juga mereka yang tidak ke masjid dan surau itu mampu bangun berqiyamullail malam ini. Banyak betul mungkinnya. Supaya kita lebih mudah membina jambatan dengan golongan ini. Walaupun logik akalnya, yang imannya kuat yakni yang telah memberikan keutamaan pada surau dan masjid itu pasti lebih mungkin untuk melakukan kemungkinan-kemungkinan ini. Tapi siapa tahu?

5. Ada banyak perkara yang positif sebenarnya kita boleh pelajari daripada perlawanan seumpama ini. Pastinya kesihatan yang baik serta kesungguhan berlatih faktor penting mereka sampai ke peringkat dunia. Sukan satu imej kepada kekuatan fizikal yang tampaknya masih kurang di kalangan umat Islam sendiri. Sikap merendah diri LCW perlu diberikan pujian. Kita mungkin kecewa kerana beliau tewas, entah bagaimana perasaan Dato' LCW apabila 'telah mengecewakan' 28 juta rakyat Malaysia. Pasti sukar!

6. Ummah masih jauh untuk berpadu kerana da'wah. Ummah masih lemah untuk berpadu untuk saudara-saudara kita yang setiap hari diratah sang durjana. Ummah masih mentah untuk berpadu kerana menegakkan syariah di bumi Allah. Ya, kerja-kerja Islam masih banyak. Sabar itu sangat perlu. Ummah perlukan insan-insan pencita da'wah, yang punya ketabahan tinggi, sabar menggunung, penuh kekreatifan untuk menyebarkan agamaNya dan terus bergerak mengharungi onak dan duri.

Optimis! optimis! optimis!

No comments:

Post a Comment