Monday, September 24, 2012

Penangan Telefon Pintar!


1. Jam dah menunjukkan pukul 125 pagi. Entah mengapa mata belum mengantuk. Penat memang penat. Baru selesai majlis kesyukuran di rumah mertuaku. Ada gulai kambing, ayam masak merah, ikan bakar. ulam, laksa, bubur lambuk, pulut kuning, mee hailam dan pelbagai jenis kuih. Saudara mara dan jiran tetangga memehuni rumah. Alhamdulillah.


2. Semasa majlis bacaan tahlil tadi, aku perasan seorang anak muda yang leka dengan telefon pintarnya. Walaupun ketika imam membaca doa, beliau lebih fokus dengan gajetnya itu, tangannya diangkat tapi telefon ada dalam tapak tangan. Pasti dia lupa, pada ketika itu dia sedang meminta pada Allah apa yang dibacakan imam. Leka. Lalai. Aku tersenyum. Hebat sungguh kuasa telefon pintar ini, kataku kepada diri ini.


3. Aku pernah duduk di sebelah anak muda ketika imam sedang berkhutbah aidilfitri sebulan yang lalu. Fokus betul anak muda ini, habis dibuka facebook, dibaca semula mesej-mesej whatsapp, dibuka berulang-ulang kali gambar-gambar di instagtram. Berapa ramai yang khayal dengan telefon pintarnya di dalam masjid atau surau, menunggu untuk solat berjemaah, hingga ke saat akhir iqamat dilaungkan dan kembali kepada telefonnya setelah selesai memberi salam.


4. Berapa ramai yang hilang fokus dari mesyuarat, khayal dengan facebook mahupun games. Hilang tumpuan dalam bilik kuliyah. Efisyensi kerja menurun kerana masa banyak pada telefon. Lebih parah, ketika memandu, terutamanya apabila tiba di lampu merah, dicapainya telefon untuk melayari faceebook. Ini bukan ilusi atau fantasi, tapi realiti yang juga telah menjangkiti diriku dan orang-orang terdekat.


5. Apabila diminta membantu kerja-kerja rumah, seribu satu alasan diberikan, tapi golongan muda kini, malah golongan yang sudah berusia, sanggup menghabiskan masa berjam-jam di hadapan laptop, iPad ataupun Samsung Galaxy III. Anak-anak seawal 2 tahun, telah pandai bermain dengan gajet seumpama ini hingga tidak terurus kehidupan seharian mereka. Mereka menjadi cepat marah dan demanding, dan makin kurang terlibat dengan aktiviti-aktiviti fizikal. Di sebalik kehebatan mereka bermain Angry Bird di usia muda, wujud seribu satu kerisauan di hati ibu bapa generasi kini.




6. Ibu dan bapa di era ini ramai yang bekerja, dek kerana keperluan kewangan yang meninggi dan tuntutan masyarakat. Bila ada masa lapang, mereka mungkin dapat duduk-duduk bersama di ruang tamu atau mungkin keluar makan bersama-sama. Namun, berpidah tempat atau berlainan aktiviti tidak banyak mengubah. Masing-masing ada iPhone, iPad, Samsung Galaxy, HTC atau blackberry di tangan. Biasa tengok kan? Atau saya patut kata, dah berlaku pada kita kan?


7. Walau harga telefon tersebut ribuan ringgit dan kerja kita hanya di warung, atau seorang cashier atau tukang cuci, masyarakat kini memampukan diri mereka memiliki telefon pintar. Pengaruh kawan. Tak mahu ketinggalan. Makan maggi tak mengapa. Berhutang pun tak rasa apa-apa. Hebat bukan?


8. Kerisauan pada saya, adalah saya sudah meletakkan keutamaan atau mungkin sudah
ketagihan pada peralatan ini dan segala bentuk program yang ada padanya. Akhirnya, hubungan saya dengan manusia lain terjejas, kerja saya tidak produktif dan efektif dan hubungan dengan Allah makin renggang. Astaghfirullahal adzim.


9. Saya perlu memikirkan dengan serius apa yang perlu saya buat. Mungkin saya perlu tinggalkan telefon di rumah apabila pergi bersolat. Mungkin saya perlu 'off'kan telefon saya apabila bersama keluarga. Mungkin saya perlu disiplinkan diri saya untuk menyiapkan satu-satu kerja hingga selesai, tidak beralasan nak berehat sebentar di tengah-tengah kerja; kerap kali sekejap itu menjadi berjam-jam lamanya. Susah. Sukar. Tapi demi kesejahteraan diri, keluarga dan ummah, saya perlu ubah.

Kalian bagaimana?

1 comment:

  1. Thumb ups...saya pun dijangkiti virus yg sama tp masih diperingkat boleh diselamatkan kot.. :)

    ReplyDelete