Monday, September 24, 2012

Hujjah, Akhlak, Syi'ah dan Al-Arqam


1. Pernahkah anda terfikir bagaimana boleh ribuan muslim terpengaruh untuk bersama kumpulan Al-Arqam walaupun sungguh jelas kesesatannya? Walaupun pengasasnya sudah lama pergi, kumpulan mereka masih lagi aktif, bertukar nama, menjelajah ke serata dunia. Lagi pelik, ada juga manusia yang boleh menerima ajaran yang terlalu 'obvious' kesesatannya seperti ajaran Ayah Pin. Bagaimana pula dengan yang telah mengimani Syi'ah walaupun cukup jelas penghinaan mereka kepada isteri Rasulullah, cercaan kepada para sahabat dan layanan mereka terhadap ahlul sunnah wal jama'ah? Ya, memang pelik. Mengapa agaknya ia berlaku?


2. Saya tidaklah arif tentang ajaran-ajaran ini tapi cukup sekadar dengar-dengar cerita, kuliyah-kuliyah dan perbincangan-perbincangan ilmiah. Didapati bahawa antara metodologi yang cukup efektif dalam mengkaderkan pejuang Al-Arqam adalah melalui akhlak Asha'ari Muhammad yang diceritakan sanggup makan setalam dan menghabiskan sisa-sisa makanan ahli dan mad'unya. Beliau juga dikatakan cukup mengambil perhatian jika ada 'orang baru' yang menghadiri kuliyahnya, dilayannya dengan sungguh baik, menziarahi rumah mereka dan meminta untuk tidur di rumah itu walaupun kondisinya tidak baik. Kesannya, ramai yang cukup teruja dengan akhlak beliau sehingga akhirnya ramai yang bersama dengan Al-Arqam.


3. Kumpulan ini juga dikenali sebagai jemaah ekonomi. Memang agak jelas kekuatan ekonomi yang dibawa mereka. Mereka yang hidup pada era 80 dan 90-an pasti sedar akan kebanjiran kedai-kedai mereka. Mereka juga mempelopori arena nasyid yang cukup mengesankan masyarakat ketika itu. Setelah pengharaman Al-Arqam, mereka menukar nama kepada Rufaqa', jaringan perniagaanya agak kuat di Rawang. Kini, nama Global Ikhwan digunakan. Saya difahamkan, mereka sudah ada ladang kurma dan tamar di Arab Saudi. Kekuatan penggeraknya dalam beramal, memapankan ekonomi Islam pastinya menarik perhatian orang awam. Ya, kadang-kadang cukup dengan akhlak dan sifat kesungguhan pada mereka, manusia tertipu walaupun terang lagi bersuluh aqidahnya tersasar jauh.




4. Saya pernah terbaca satu perbincangan atau mungkin lebih tepat lagi perbalahan, yang berlaku antara seorang penganut Syi'ah dengan beberapa penganut Sunni di facebook. Ketahuilah, ramai yang bersama Syi'ah itu kerana terkesan dengan hujah-hujah yang dibawa. Jika boleh saya katakan, berdasarkan perbincangan yang berlaku (saya hanya menjadi pemerhati), jelas penganut Syiah itu telah menang dengan besar sekali. Sahabat-sahabat lain mahu berhujah tapi cukup miskin dengan ilmu, tambahan pula dengan cacian dan makian kerana tidak dapat menerima keberadaan Syi'ah di situ. Ingat pada kata-kata Saiyidina Ali 'Kebatilan yang tersusun akan mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun'. Percayalah, jika hujah-hujah ini dibentangkan kepada yang jahil, tanpa ada usaha untuk mendapatkan penerangan daripada ilmuan yang lain, ramai akan terpengaruh walaupun cukup jelas, terang benderang kemaksiatan dan kejahatan mereka.


5. Saya biasa dengan teman-teman dan adik-adik yang cukup suka dengan tarbiah dan da'wah. Malangnya, ramai terlalu selesa dengan 'perubahan pada diri mereka'. Mereka malas berfikir. Mereka tidak mahu 'membuang masa' mengkritik dan mempersoalkan ilmu yang mereka terima. Akhirnya terbentuklah kader-kader da'wah yang cukup hebat amal fardinya, kuat jihad mereka menyampaikan Islam tapi terlalu selesa dengan fikrah yang banyak lompongnya. Kebangkitan umat untuk menegakkan kembali Islam di dunia kini sedang rancak berlaku, pelbagai kumpulan Islam terbentuk dengan tujuan itu. Bagi saya, apa-apa sahaja medium yang kita pilih, biarlah ada hujah dan ilmu yang sahih di sebaliknya. Janganlah jadikan diri kita ahli 'Al-Arqam' versi tidak sesat.


6. Kita biasa dengar kuliyah-kuliyah berkenaan kewajipan mentaati pemimpin walaupun kemaksiatan cukup jelas pada mereka, yang disampaikan oleh golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai salafi, tapi dilabel sebagai ultrasalafi atau salafi literalis oleh kumpulan lain demi menjaga nama baik salafi. Golongan ini menyerap dalam Ulama' Muda UMNO di Malaysia. Jika dihayati kuliyah mereka, tanpa ilmu di dada dan usaha mendapatkan penjelasan daripada ulama' lain di luar kelompok ini, saya yakin, hujah mereka cukup meyakinkan. Kefasihan mereka menghafal ayat al-quran dan hadith cukup mengkagumkan. Ditambah pula dengan intonasi dan semangat mereka berkulyah, cukup mengujakan. Pulang dari kuliyah, habis dibid'ahkan amalan-amalan orang lain, direndah-rendahkan ulama' yang tidak sependapat dengan mereka dan digelarkan syi'ah dan khawarij kepada kumpulan-kumpulan Islam yang lain.


7. Di zaman moden, di mana ilmu boleh didapatkan dari pelbagai punca, cabarannya yang cukup besar. Mendapatkan ilmu memerlukan akhlak yang benar. Rasulullah telah memaklumkan kepada kita akan ada dua kelompok ulama' pada akhir zaman, yang baik dan yang jahat. Selidikilah latar belakang mereka, di mana mereka menuntut ilmu, siapa guru mereka, kumpulan mana mereka bersama, siapa kawan-kawan dan teman-teman mereka. Ilmu yang diterima, sebaiknya diminta pandangan kedua, ketiga daripada ulama' lain. Mempersoalkan dan mencabar ilmu yang kita terima adalah sesuatu yang baik agar kita lebih faham. Carilah ulama' atau asatizah yang juga beramal dengan ilmu mereka, mereka tidak hanya berkuliyah dan berceramah tapi juga turun ke medan mempraktikkan ilmu mereka. Janganlah sesekali berdebat ilmu di ruang-ruang online dan laman sosial, ini bukan tempatnya, terlalu banyak kekurangan padanya yang boleh menyebabkan salah faham. Anda mahu cari kebenaran, keluarlah dari bilik dingin anda!


Ya, usaha mencari kebenaran tidak boleh hanya menekan klik di tetikus anda, atau sekadar memandu 5 minit ke masjid berdekatan. Pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit itu sesuatu yang wajib.

Syurga Allah itu bukankah mahal harganya?

No comments:

Post a Comment