Tuesday, September 18, 2012
Pasal Kawen Lagi!!
1. Saya baru membaca satu artikel tulisan Nomy Nozwir di Malaysian Insider bertarikh 16 September 2012. Artikel fokus kepada tingginya wang perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga, terutamanya kepada si lelaki.
2. Saya dan isteri diijab kabulkan pada 27 Julai 2007, iaitu lebih 5 tahun yang lalu. Ketika itu saya baru berusia 24 tahun dan isteri saya berusia 23 tahun. Kami dipertemukan melalui orang tengah pada bulan April tahun yang sama, bertunang secara adat pada awal bulan Jun dan sah menjadi suami isteri pada hujung bulan Julai. Kahwin 'express' orang kata =)
3. Perkahwinan kami sederhana. Asalnya, wang hantaran saya hanya RM 4,000 tapi abah telah menambah dengan wangnya sebanyak RM 3,000. Hadiah buat isteri saya, katanya. Majlis perkahwinan sebelah isteri diadakan di dewan sebuah sekolah rendah, jemputan hampir 3000 orang kerana ramainya kenalan ayah, mak dan kami sendiri. Jurugambar abang ipar saya sendiri, tiada apa-apa persembahan, tiada pelamin, tiada majlis bersanding, baju kahwin sekadar baju melayu dan baju kurung biasa. Majlis fokus kepada menjamu tetamu-tetamu yang hadir.
4. Begitu juga dengan majlis sebelah keluarga saya, diadakan di rumah, baju biasa-biasa saja, pelamin sekadar untuk sesi fotografi, tiada fotografer khas, tiada apa-apa persembahan. Yang penting kawan-kawan dan sanak saudara dapat makan dan beramah mesra. Yang menyediakan makanan adalah jiran tetangga yang biasa berpakat membantu memasak di taman perumahan kami. Tetamu mencecah 3000 orang juga. Kos makanan per kepala kurang dari RM 7 pada ketika itu.
5. Saya biasa menghadiri majlis yang lebih ringkas, dan saya juga biasa menghadiri majlis yang cukup 'extravaganza'. Pengantinnya baju ribuan ringgit, pelamin yang gah, majlis diadakan di dewan besar dan cantik hiasannya, ada fotografer khas yang juga merakam video, ada persembahan nyanyian dan tarian, para tetamu diberikan hadiah yang istimewa dan banyak lagi.
6. Apa yang saya perhatikan, ramai anak muda yang mudah terpengaruh dengan 'kekayaan' orang lain, apa sahaja yang orang lain buat, mahu juga diadakan dalam majlisnya. Apatah lagi bila menyelak helaian majalah, dengan gambar-gambar artis dan selebriti mendirikan rumah tangga. Akibatnya, wang habis dibelanjakan untuk mendapatkan majlis yang 'extravaganza' tanpa memikirkan kesan pada masa depan.
7. Ada juga ibu bapa yang terlalu meletakkan wang hantaran yang tinggi, berdasarkan kelayakan akademik dan kerjaya sebagaimana yang dinyatakan dalam artikel berkenaan. Saya kurang pasti sebab di sebalik tindakan ini. Cuma dalam banyak kes, jelas membebankan anak muda untuk mendirikan rumah tangga.
8. Ada satu kisah menarik yang pernah berlaku kepada kawan kepada kawan saya. Dia seorang juruterbang, ingin mencari calon isteri yang baik. Beliau telah merisik seorang anak gadis, apabila ditanya apa pekerjaannya, dia hanya menjawab 'driver'. Tanpa berfikir panjang, ibu bapa gadis berkenaan telah menolak pinangannya. Hari-hari seterusnya, beliau telah meminang gadis lain yang tinggal tidak jauh dari rumah tadi, ibu bapa gadis itu hanya bertanya tentang bagaimana amalan agamanya. Kerana baik dan solehnya juruterbang ini, pinangannya diterima. Tersungguh gembiranya keluarga ini apabila tahu kerjaya bakal menantu mereka.
9. Rasulullah mengajar kita agar meletakkan agama sebagai perkara pertama dalam memilih pasangan demi kesejahteraan kita di akhirat. Apabila materialisme menjadi perkara tunjang, masakan tidak banyak masalah yang berlaku dalam perkahwinan. Tidaklah saya mengatakan kekayaan itu tidak penting, tapi berlebihan pada adanya akan ada mudarat yang mendatang.
10. Buat teman-teman perempuan yang belum berkahwin, bersederhanalah. Jangan susahkan bakal suami dan bakal keluarga mertua kalian. Biarkan orang lain bersenang, janganlah mudah terpengaruh. Biarkan sahaja kata-kata orang berlalu pergi bagai angin. Buat ibu bapa, menjadi kewajipan bagi kalian untuk memudahkan urusan perkahwinan anak-anak. Mereka bukan bahan dagangan. Mereka bukan untuk dicari keuntungan. Uruskanlah mereka kerana mahukan umat Muhammad disatukan, menambah bilangan zuriat dan demi redha serta rahmat Allah.
11. Buat bakal-bakal suami, bekerjalah bersungguh-sungguh. Jika benar-benar mahu berkahwin, janganlah dibuang wang kepada perkara-perkara yang sia-sia. Biarlah orang berIphone, berbaju Polo dan berkereta Honda. Jika kita belum mampu, tinggalkanlah dahulu. Carilah bakal isteri yang sekufu. Jika kerja kita sekadar kerani biasa, janganlah dituju doktor anak dato'. Memang tidak salah, tapi banyak cabaran besar bakal menanti. Fikir panjang, carilah bantuan, banyakkan berdoa dan bersolat hajat dan istigharah. Moga perkahwinan yang dituju kekal dan bahagia hingga ke syurga.
12. Majlis agama Islam juga perlu memperhebatkan dan meningkatkan lagi kualiti kursus kahwin. Ilmu cukup penting dalam perkahwinan. Biar tegas dan disiplin sedikit, biar lebih panjang durasinya, apa-apa sahaja yang perlu dan mustahak dalam menyediakan bakal suami dan isteri yang baik dan soleh, demi kemaslahatan ummah. Keutuhan keluarga faktor besar kesejahteraan masyarakat dan negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment