Monday, September 17, 2012
Cerita Si Buta
Kira-kira pukul 9 pagi tadi, aku mendengar siaran radio IKIM.fm yang membicarakan tentang harapan rakyat kepada belanjawan negara yang bakal dibentangkan PM tidak lama lagi.
Salah seorang pemanggil yang dikenali sebagai Haji Muhammad, dengan sopan dan kedengaran penuh ikhlas pada suaranya memohon agar dinaikkan elaun untuk golongan kurang upaya yang bekerja. Kemudian dimaklumkan bahawa dia seorang yang buta, kini sedang bekerja sebagai guru al-quran.
Sedihnya, dia hanya memperoleh elaun sebanyak RM 300 sebulan, bermakna dia hanya mendapat RM 10 sehari. Dalam suasana kenaikan harga barang, RM 300 pastinya cukup sedikit untuk menampung segala keperluan harian.
Kemudian, ada seorang pemanggil dari Klang yang tiba-tiba menangis, tidak menahan kesedihan mendengar cerita itu, tidak boleh membayangkan bagaimana seorang guru al-quran buta dibiarkan menjalani hidup sedemikian.
Aku juga tidak dapat menahan sebak. Bagaimana agaknya mungkin aku boleh hidup dengan wang sebanyak itu? Makanku berlebihan, pakaianku berjenama, aku hidup senang kerana keluarga dan mertuaku juga orang mampu. Ceritanya kedengaran sungguh mustahil. Allahu rabbi.
Buat insan-insan yang berkuasa di singgahsana, sesungguhnya tanggungjawab dan amanah kalian cukup berat. Sebelah kaki kalian sudahpun berada di dalam neraka, hanya kesungguhan dan ketaqwaan yang mampu menyelamatkan kalian agar dapat menikmati syurga Allah. Jika kalian menipu, menggadaikan hak rakyat, menjadikan rasuah sebagai jalan menjadi kaya-raya, pecah amanah dan mengkayakan keluarga kalian dengan kuasa yang ada, ingatlah Allah itu Maha Adil. Jika kalian tidak dibalas di dunia, mahkamah akhirat masih ada.
Buat teman-teman yang berada, mampu hidup senang dengan gaji ribuan ringgit, ingatlah bukan keseluruhan gaji kita adalah milik kita. Orang yang tidak berkemampuan juga ada haq atas kekayaan kita. Janganlah dipandang hina orang miskin dan peminta sedekah. Bersegeralah menyumbang untuk kesejahteraan saudara-saudara kita. Tidak mungkin sumbangan kita itu sia-sia walaupun sedikit nilainya. Allah pasti akan mengiranya dan mungkin kerana nilai kecil sedekah itu, kita layak menjadi penghuni syurga.
Selamat beramal
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment