Saturday, September 1, 2012

Menulis dan Da'wah

Kita punya ruang untuk menulis yang baik-baik; kita boleh menilai kembali apa yang kita tulis sebelum menyiarkannya kepada umum.


Berbeza dengan bertutur, dalam banyak keadaan jika kita sudah biasa bercakap perkara yang kurang elok, ia mudah terbit dan lebih sukar dikawal.


Cuma, orang yang suka bercakap buruk, lebih mudah menulis yang buruk. Tulisan juga satu refleksi kepada diri si penulis.


Saya boleh faham kita manusia yang lemah, jika kita marah atau tidak berpuas hati, mudah kita menuturkan bahasa yang kurang baik. Tapi, kita perlu sentiasa ingat bahawa anjuran Islam adalah bersabar dan masih lagi menggunakan bahasa yang molek mewakili kemarahan kita.



Mencarut samada ia ditulis dengan nyata atau dengan apa segala bentuk simbol sekalipun bagi mewakili kata-kata itu, bagi saya ia perlu dielakkan. Berkongsi poster, kata-kata, laman sesawang, lawak jenaka yang punya banyak kata-kata carutan juga wajar dielakkan. Apatah lagi jika ia datang dari kita sendiri.


Jika mesej yang nak disampaikan untuk menyatakan kebenaran, maka kebenarannya akan makin kurang kualitinya kerana carutan itu.
Jika mesejnya untuk bergurau dan berjenaka, maka bagi saya, hilang nilainya malah boleh menimbulkan kekecewaan apatah lagi jika yang menyebarkan itu teman-teman yang baik orangnya.


Semoga penulisan yang baik, akan membentuk cara bertutur yang lebih baik. Kalaupun, kita masih ada kelemahan dalam kita bertutur, lazimilah menulis yang baik. Ini bukan hipokrit tapi satu jalan mendidik diri menjadi insan lebih baik!

No comments:

Post a Comment