Tuesday, September 11, 2012

Nota buat Ibu Bapa : Jangan Bunuh Anak Anda!


1. Kami sering kali ditanya, "Eh, mahu pula Hafiy duduk belakang sorang-sorang dalam car seat ye?". Kami sudah biasa dengan budaya yang kami belajar semasa bermastautin di Ireland. Kami mahu anak kami selamat. Jika kami perlu memakai tali pinggang keledar, mengapa pula boleh dibiarkan anak tidak dijaga keselematan mereka?


2. Kami memang cukup tertekan bila melihat anak-anak dibiarkan mengeluarkan tangan melalui tingkap kereta. Apa agaknya akan terjadi jika tiba-tiba kereta itu mengalami kemalangan? Anak-anak mungkin boleh terpelanting keluar. Terhentak kepala kepada bumbung kereta dan sebagainya. Apatah lagi jika anak-anak dibiarkan berdiri dalam kereta, mengeluarkan kepala di bahagian bumbung kereta. Pernah kami melihat seorang bapa meletakkan anaknya di atas ribanya ketika memandu di Lebuhraya PLUS. Gila!


3. Di Ireland, memasang tempat duduk anak adalah wajib. Mana-mana pemandu yang membawa anak tanpa tempat duduk khas boleh disaman. Malah, pada hari pertama bayi dibawa pulang ke rumah dari hospital, tempat duduk bayi akan dipastikan ada oleh jururawat sebelum menaiki kereta. Betapa mereka cukup mementingkan keselamatan rakyat, dari yang tua hingga yang bayi baru usia sehari!


4. Kami mempunyai pengalaman yang tidak mungkin kami dapat lupakan sampai bila-bila. Ketika perjalanan ke Limerick sehari sebelum Aidiladha tahun 2010, kami sekeluarga telah mengalami kemalangan. Ia bukan kemalangan biasa, tapi kereta yang saya pandu telah terpusing dan terbalik. Hancur cermin dan kemek habis badan kereta. Kami bertiga tergantung dengan tali pinggang masing-masing. Hafiy pada ketika itu baru mencecah 1 tahun dan beliau ketika itu duduk dalam kerusi khasnya. Isteri saya duduk di tempat duduk belakang tapi masih mengenakan tali pinggang keledar. Alhamdulillah kami selamat, tiada langsung kecederaan fizikal dan yang pastinya tali pinggang yang kami pakai adalah penyelamat utama.




5. Kami kadang-kadang ada kesukaran untuk memastikan Hafiy duduk di kerusinya. Bila moodnya tidak baik, dia akan meronta-ronta ingin keluar, menangis, meraung, meminta-minta dibukakan tali keledarnya. Ada masa kami mengalah kerana pening dengan suara tangisan yang sangat kuat tapi selalunya, kami hanya biarkan sahaja permintaan dia dan cuba untuk mengalih perhatian kepada perkara lain.


6. Apa yang kami selalu buat adalah memuji dia setiap kali duduk dalam kerusinya, "Hafiy good boy. Good boy duduk belakang". Hinggakan dia sendiri yang akan meminta duduk di belakang dan mengatakan perkara yang sama. Bila dia sendiri meminta duduk di kerusinya, kami selalu akan kata "Well done Hafiy. Good boy. Anak soleh". Kami dapati cara ini cukup berkesan untuk memotivasikan dia untuk duduk dengan baik dalam kerusinya.


7. Apa yang penting di sini adalah keselamatan anak-anak kita. Kita tidak tahu apa yang boleh terjadi. Jika ditakdirkan kita menghadapi kemalangan, memakai tali pinggang merupakan salah satu cara yang sangat efektif dalam menghindari dan meminimumkan kecederaan fizikal.


Semoga ada manfaat buat semua.

No comments:

Post a Comment