Sunday, September 2, 2012

Gelisah Hati Bersedekah


1. Saya tidak pasti bagaimanakah sebenarnya perasaan orang lain apabila didatangi kepada kalian peminta sedekah. Kita mungkin tengah makan, datang seorang pak cik tua berpakaian lusuh, katanya belum makan, beliau mungkin bukan orang tempatan. Atau mungkin seorang kanak-kanak yang berlegar di koridor rumah-rumah kedai, menjual minyak angin. Atau seorang perempuan tua yang meminta sedekah di persimpangan jalan yang berlampu isyarat, sambil memegang beberapa pek tisu di tangan sebagai hadiah kepada sedekah kita.


2. Kita sudah biasa dengan berita dan cerita sindiket sedekah. Anak-anak kecil dipergunakan untuk meminta sedekah. Kita juga kurang senang dengan kehadiran orang asing ke negara kita yang kini kelihatan meminta sedekah di merata-rata tempat. Peminta sedekah bagi ramai orang umpama 'pengotor' suasana aman dan moden yang kita kecapi kini. Suasana seperti ini menyebabkan rasa ingin bersedekah itu memudar.




3. Hidup di Ireland selama hampir 9 tahun, tidak sepi daripada isu ini. Walaupun kerajaan Ireland merupakan sebuah negara kebajikan, di mana rakyat mereka yang miskin dan tidak punya pendapatan mendapat wang benefit, tetapi budaya meminta sedekah masih ada. Ramai di kalangan mereka adalah orang luar dari Timur Eropah, mereka menjual majalah dan surat khabar di persimpangan jalan, ada kalanya berjalan rumah ke rumah meminta sedekah. Ada juga yang melakukan persembangan jalanan sebagai 'bayaran balik' kepada sumbangan yang diberikan.


4. Apa yang mungkin menarik perhatian saya adalah budaya meminta sumbangan juga berlaku, mereka mungkin dari Asthma Society atau Autistic Support Group, yang kelihatan di luar pasaraya atau di jalan-jalan utama pusat bandar. Mereka kelihatan kemas dan profesional, senyuman sentiasa di muka. Satu peristiwa yang pernah berlaku pada sahabat saya, pernah salah seorang peminta sumbangan memberikan satu pandangan yang cukup memedihkan hati


"We don't really expect the coloured people to contribute, they usually just walk pass us"


Tergamam! Budaya memberi kita teruk hingga sedemikian persepsi masyarakat Ireland terhadap kita.


5. Ketika gempa bumi yang besar berlaku di Pakistan kira-kira 8 tahun yang lalu, seorang doktor pakar pembedahan plastik yang juga merupakan seorang warganegara Pakistan telah mengemudi satu program kutipan derma secara besar-besar di bahagian selatan Ireland, berpusat di Cork. Dengan promosi yang cukup hebat, 11 kontena berupa sumbangan baju, tilam, bantal, selimut dan sebagainya telah berjaya dihantar ke Pakistan. Saya terlibat dalam sukarelawan memindahkan barang-barang sumbangan ke dalam kontena, biasa dengan barang-barang 'second hand' yang didermakan. Namun, apa yang cukup menyentuh hati saya adalah apabial menerima benyak sumbangan barangan yang baru dibeli. Boleh saya katakan bahawa semua sumbangan ini datang daripada orang putih Ireland sendiri :')


6. Saya pernah berkesempatan menunaikan umrah 2 kali, kali pertama bersama keluarga pada tahun 1999 dan kali kedua berdua dengan kawan saya Abdullah Hidayat pada tahun 2005. Cukup ramai peminta sedekah di sana. Mereka meminta secara berkumpulan, berasal dari negara luar kebanyakannya. Jika dihulurkan 1 riyal kepada seorang, 10 lagi akan menerkam kita. Jika seorang diberi 5 riyal, yang mendapat 1 riyal akan marah kepada kita kerana dapat kurang. Saya tak pasti bagaimana suasananya sekarang. Yang pastinya, ramai yang takut bersedekah kerana suasana ini.


7. Ada orang kata, tidak perlulah kita berfikir panjang apabila bersedekah. Hulurkanlah sedekah itu, jika mereka menipu kita seperti sindiket peminta sedekah, mereka yang akan bertanggungjawab nanti, samada dengan penguasa di dunia mahupun di hadapan Allah nanti. Yang penting, hati kita ikhlas untuk memberikan sumbangan. Namun, ada juga suara yang berkata, jika mereka ingin memberikan sumbangan, biar ia jelas ke mana dan benar-benar ada manfaat yang besar. Maka, agensi kebajikan berdaftar yang memang sudah terbukti terlibat dalam kerja-kerja kebajikan atau menyampaikan terus kepada rumah-rumah anak yatim lebih menjadi pilihan.


8. Saya terlalu sensitif apabila didatangi peminta sedekah. Saya datang dari keluarga yang senang dan berkahwin dengan keluarga yang senang. Kami punya rumah yang besar dan selesa, kereta yang selesa, makan makanan yang lazat malah berlebihan sehingga terpaksa dibuang, mampu memilik banyak barang-barang luxury seperti Samsung SII, Ipad, baju berjenama dan sebagainya. Hati saya selalu berkata mungkin dia sudah tidak makan 2 hari, mungkin dia hanya tidur di kaki-kaki lima, mungkin dia perlu membeli anak kecilnya susu, dan banyak mungkin-mungkin yang lain. Hati menjadi sayu.


9. Sejujurnya, saya tidak punya jawapan apa sikap terbaik yang perlu saya ambil. Setakat hari ini, jika ada wang dalam kocek saya, dihulurkan apa yang ada. Wang kecil dipilih-pilih memikirkan diri ini juga memerlukan wang untuk hidup. Cukup merasakan akhlak bersedekah masih tidak sebati dalam diri. Namun, jauh di sudut hati, ada juga rasa tidak senang bersedekah, takut ditipu, geram dengan kemungkinan mereka malas bekerja dan sebagainya.


Ya, saya masih mencari jawapan. Kalian mahu bantu saya?

No comments:

Post a Comment