Saturday, September 1, 2012
Pengantin, Da'ie, Tabarruj dan Bersanding
1. Sejak kami pulang ke tanah air 'for good', antara acara penting yang kami penuhi jadual adalah menghadiri walimah-walimah teman-teman dan sanak saudara. Banyak walimah yang kami hadiri adalah di kalangan teman-teman yang biasa dengan usrah dan tarbiah. Mereka jelas akan banyak perkara-perkara terlarang yang biasa berlaku dalam adat kenduri Melayu.
2. Saya dan isteri cukup bertuah. Kedua-dua keluarga sebelah kami, memang tidak pernah mengadakan persandingan, majlis renjis dan pakaian yang longgar dan tudung yang labuh sesuatu yang kebiasaan. Maka, kami tidak langsung perlu pening kepala memikirkan perihal ini kerana kemahuan kami sudahpun menjadi budaya dalam keluarga. Alhamdulillah.
3. Dalam kami berurusan dengan adik-adik dan teman-teman yang bakal berkahwin, ramai yang cukup resah-gelisah kerana budaya Melayu seumpama ini cukup dekat dengan hati keluarga mereka. Nasihat kami, cubalah sedaya-upaya, berbincanglah dengan baik dengan keluarga, tapi janganlah sehingga menjejaskan ukhuwah sesama ahli keluarga.
4. Kedengaran rintihan-rintihan teman-teman dan adik-adik yang membisik ke telinga kami apabila bertandang ke walimah mereka:
"Akak, saya tak sukalah make up ni. Berat bulu mata. Rimas"
"Aku dah cakap tak nak orang nyanyi. Ada pula perempuan yang menyanyi"
"Saya tak tau nak buat macam mana. Mak Cik nak jugak saya bersanding dan renjis-renjis ni. Berkeras dia"
"Time merenjis tadi, dato' tu nak bersalam pulak. Tak tau nak buat macam mana"
Kami senyum. Kami tahu mereka sedih dan resah. Yang penting kami tahu, mereka tidak suka apa yang berlaku. Tak mengapa, cukuplah dengan kebencian di hati, setelah mereka berusaha sebaiknya untuk mengadakan majlis yang tidak membatasi syara'.
5. Semua orang inginkan sebuah perkahwinan yang diberkati Allah; isteri atau suami yang soleh dan solehah, anak yang taat, kehidupan yang bahagia, penuh dengan mawaddah dan sakinah. Keputusan untuk mendapatkan keluarga yang barakah, perlu dimulakan dengan memilih pasangan yang baik. Majlis perkahwinan juga perlu menepati syara' dalam mencapai matlamat ini.
6. Namun, tidak semua dapat mendapatkan semua itu. Nasihat kami, berusahalah sebaiknya. Berbincanglah secara baik dengan ibu, bapa, mak cik dan nenek masing-masing. Jika akhirnya, masih tidak direalisasikan harapan itu, tidak mengapalah. Janganlah berkeras sehingga bergaduh dan tidak mahu bersemuka dengan ahli keluarga. Janganlah hingga bermasam muka pada hari yang istimewa itu. Yang paling penting, harapan untuk menjadikan keluarga kita, keluarga yang terus mendapat rahmat Allah, adalah dengan membawa keluarga ke arahnya pada hari-hari seterusnya. Banyak lagi yang perlu kita Islamkan dalam kehidupan kita. Semoga Allah mengampunkan dosa di atas kesilapan dalam majlis kita.
7. Saya membayangkan masalah seumpama ini dapat lebih diperbaiki pada masa hadapan, apabila yang muda-muda ini mula menerima menantu dalam keluarga. Buktikanlah bahawa kerisauan kita dahulu, tidak berlaku dalam perkahwinan anak-anak kita. Apa yang mungkin generasi kini perlu risau adalah bagaimana anasir-anasir barat yang tidak baik yang makin menyerap masuk ke dalam majlis perkahwinan anak muda masa kini. Budaya ini kesukaan orang-orang muda, sedangkan budaya yang saya sebut di atas adalah budaya orang-orang lama.
8. Kerja da'wah dan islah tidak pernah padam. Semoga kita terus istiqamah dan iltizam. Selamat pengantin baru buat teman-teman sekalian. Semoga rahmah Allah memayungi kehidupan kalian hingga akhir hayat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment