Thursday, September 13, 2012
K-Fiqh 2012 : Apa Lagi Nak Dikata?
1. Bayangkan kita telah berbulan-bulan merancang satu program besar, ratusan telah mendaftar, para penceramah telah bersiap-sedia, para peserta telah menempah tiket bas, keretapi dan kapal terbang untuk bersama-sama dengan majlis ini, makanan sudah ditempah, katerer telah bersiap sedia dengan bahan-bahan, tiba-tiba 2 hari sebelum majlis berlangsung, anda dimaklumkan tempat majlis tersebut telah dibatalkan permohonannya. Apa agaknya yang anda rasa? Apa label yang sesuai untuk insan-insan yang membatalkan majlis ini?
2. Apa yang berlaku kepada penganjuran Konvensyen Fiqh Ummah 2012 yang bakal membicarakan fiqh politik semasa adalah sesuatu yang cukup mendukacitakan. Pihak pentadbiran UIAM membatalkan permohonan pihak penganjur untuk diadakan program berkenaan di Auditorium Utama, beberapa jam yang lalu dalam keadaan program akan berlangsung lagi 2 hari. Maka, tinggal lagi sehari tinggal untuk pihak penganjur mencari tempat alternatif berserta kerja-kerja teknikal termasuk makanan yang perlu diselesaikan dalam masa yang cukup singkat.
3. Tiada label yang lebih tepat boleh diberikan kepada pihak yang membatalkan melainkan 'zalim'. Zalim bererti meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Saya zalim kepada diri saya jika saya sengaja lewat ke kerja, menyebabkan saya tidak mungkin lagi dipercayai untuk melaksanakan kerja saya, malahan ia juga satu kezaliman kepada rakan sekerja saya yang mungkin terpaksa menanggung beban kerja saya. Maka, bukankah zalim apabila notis pembatalan hanya diberikan 2 hari sebelum program sedangkan ia diluluskan sebelum ini? Dan alasan yang diberikan adalah kerana bersalahan dengan AUKU. Jika benar ingin membatalkannya, mengapa tidak diputuskan awal-awal lagi supaya pihak penganjur boleh mencari tempat lain?
4. Cendikiawan Islam yang berhimpun di bawah MURSHID tidak bernaung di bawah mana-mana parti politik, menganjurkan program seumpama ini bertujuan untuk mendidik ummah apa itu politik Islam. Harapannya rakyat akan lebih matang dalam berpolitik dalam suasana politik kini yang cerca merba dan penuh dengan kekotoran dan fitnah. Ironinya, ini juga harapan Kerajaan. Dan entah bagaimana, entah apa yang merasuk pemikiran dan akal pihak tertentu, akhirnya keputusan yang cukup tempang dan penuh kezaliman ini, diputuskan.
5. Sebuah kerajaan Islam yang berteraskan Al-Quran dan Al-Hadith, meletakkan Allah sebagai matlamat akan sedaya upaya menggalakkan dan menyuburkan da'wah dalam negaranya. Mereka akan membelanjakan banyak wang ke arah pendidikan rakyat, kerana hanya dengan ilmu yang sahih, akan wujud dan kuat keimanan rakyatnya kepada Allah. Mereka akan berkorban jiwa dan raga untuk memastikan rakyat yang dipimpin layak menjadi ahli syurga. Mereka tidak mungkin sekali-kali menghalang dan menyusahkan da'wah atau memlih-milih da'wah yang hanya serasi dan akan memberi kepentingan politik dan kuasa kepada mereka. Dalam isu ini, jelas da'wah dihalang dan disusahkan.
6. Apa yang menarik perhatian saya adalah respons Saudara Mohd Riduan Khairi, Biro Penerbitan ILMU (NGO bagi Ulama' Muda UMNO) yang mengatakan bahawa adalah lebih baik mengajar membuat kek dan berniaga daripada melaksanakan program yang dikatakan mengajar ilmu politik bukan ala Sunnah. Saya tidaklah menuduh bahawa ILMU adalah dalang di sebalik keputusan ini tapi akhlak yang dintunjukkan oleh Saudara Riduan cukup menjelekkan dan menunjukkan rasa gembiranya mereka atas keputusan ini. Ada yang mengatakan bahawa keputusan mungkin ada kaitan dengan kehadiran Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Majlis Aidilfitri di UIAM pagi tadi. Saya tidak mahu menuduh, tapi saya yakin bahawa keputusan ini adalah bersangkut paut dengan kepimpinan parti kerajaan yang masih terus-menerus menggunakan 'politic of fear' terhadap mana-mana aktiviti yang dirasakan akan memberikan keuntungan kepada lawan.
7. Apa-apapun, keputusan ini terus mencalari kredibiliti UIAM sebagai sebuah institut pengajian tinggi awam. Kita pernah tahu bahawa pihak UIAM pernah membatalkan penggunaan masjid UIAM untuk ceramah Ustaz Azhar Idrus beberapa ketika yang lalu sehingga pihak penganjur terpaksa memindahkannya kepada satu dewan kuliyah yang sangat kecil saiznya. Jelas betapa tidak profesionalismenya mereka. Maka, janganlah ternganga dan berduka jika anak muda dan generasi masa depan lebih teruk akhlaknya, apa tidaknya jika program hiburan dibiarkan dan digalakkan, tapi program ilmiah disekat dan disusahkan. Mereka yang merosakkan kemudian mereka juga mengeluh mencari punca. Bodoh!
8. Jika kepimpinan seumpama ini terus-menerus dan telah terbukti menghalang kerja-kerja menyampaikan ilmu Allah, maka bagaimanakah kita masih boleh mengatakan mereka masih layak dibiarkan mengemudi tanah tumpah ini? Tepuk dada, tanya iman.
Semoga pihak penganjur dipermudahkan urusan dan bertemu tempat alternatif esok hari.
Wallahua'lam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sungguh tidak profesional, rendah integriti dan etika dlm muamalat mereka, amat memalukan! - SAADAH
ReplyDeleteSangat-sangat memalukan...hmm kalu anjur KPOP buleh pulak..Nak minta copy artikel ini.. mohon diluluskan.
ReplyDeletesila-sila
ReplyDelete