Monday, September 10, 2012

Politik Khutbah


Mood memandu ke masjid agak terjejas dek kerana bacaan khutbah yang disiarkan oleh IKIM.fm, secara langsung dari Masjid Negara.


Khutbah diberi tajuk 'Kewajipan Memberi Kesetiaan Kepada Kepimpinan'


Saya tidak dapat mengikuti sepenuhnya khutbah untuk saya berikan kritikan sepenuhnya terhadapnya, namun saya cukup kecewa tajuk ini kemudiaannya dikaitkan dengan insiden menghina gambar pemimpin dan isu menukar bendera. Sesiapa yang punya pautan yang merakamkan khutbah hari ini, cukup saya alu-alukan untuk dikongsi dengan saya.


Perlu dibezakan antara kesetiaan ie ketaatan dengan menghormati pemimpin. Seorang pemimpin yang tidak mentaati Allah dan Rasul tidak wajar ditaati, seperti yang dinukilkan dalam firman Allah dalam surah An Nisa' ayat 59. Sebagaimana kita diajar, selagi mana suruhan ibu bapa tidak menyalahi suruhan Allah dan Rasul, selagi itu ia perlu ditaati, begitu juga dengan pemimpin.




Golongan salafi literalis yang menyerap masuk ke dalam UMNO membawa fahaman kesetiaan itu wajib walaupun kemaksiatan dan kemungkaran itu jelas, membawa ajaran yang membahayakan, kerana ia mampu meruntuhkan integriti kepimpinan orang muslim. Kehebatan mereka memetik hadith itu dan ini dengan baik mudah menarik perhatian umum yang jahil ilmu. Munasabahkah Islam mendidik kita agar membiarkan sahaja pemimpin melakukan dosa dan maksiat tanpa tentangan secara terbuka dalam keadaan kemaksiatan mereka itu memberi banyak kesan yang negatif kepada rakyat yang diperintah? Rakyat perlu sentiasa mencabar ilmu yang dipelajari dan mendapatkan ilmu daripada ulama' yang sahih ilmunya supaya tidak terjerat dengan pandangan-pandangan yang membahayakan.


Isu menunjukkan punggung kepada gambar Najib adalah isu menghormati pemimpin. Seluruh rakyat Malaysia tidak kira fahaman politik wajib menolak perlakuan ini. Hanya kerana kita berbeza pandangan atau kerana benci kita kepada kezalimannya, tidaklah memberi tiket kepada kita untuk melakukan perkara sedemikian rupa. Tidaklah mungkin bilangan undi kepada PR akan naik kerana sikap sebegini. Anda tidak suka kerajaan sekarang, bertindaklah mengikut acuan demokrasi yg ada.


Khatib juga ada menyebut soal patriotisme. Patriotisme adalah semangat cintakan negara. Seorang yang patriotik tidak semestinya bersama dan menyokong parti pemerintah. Mereka adalah golongan yang sayang kepada negara, mahukan yang terbaik untuk negara, sanggup berkorban jiwa dan raga kepada keharmonian negara, sanggup mempertaruhkan nyawa dan harta demi kesejahteraan negara, mereka tidak terlibat dengan korupsi sehingga merugikan negara, mereka amanah dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dan banyak lagi. Di sinilah definisi patriotisme diputar belitkan oleh ramai pihak hingga golongan yang dianggap patriotik masih ramai sebenarnya sedang menghancurkan semangat itu.


Saya tiada masalah untuk khutbah digunakan untuk berbicara soal siyasah ie politik kerana kita pastinya mahu mendidik ummah Islam adalah ad-deen iaitu cara hidup, bukan sekadar berlegar tentang solat, zakat, haji dan puasa. Namun, ia tidak sepatutnya digunakan untuk kepentingan mana-mana pihak, apatah lagi kupasannya menyempang dari apa yang berlaku. Dan prinsip ini saya tujukan buat semua pihak samada UMNO, PAS mahupun PKR. Yang salah adalah salah, yang betul adalah betul. Bicaralah yang benar, supaya ummah akan boleh menilai keadaan dengan ilmu yang sahih.


Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment