Tuesday, July 31, 2012

Kerana Banjir Aku Jadi Lebih Manusia


1. Tengah hari tadi, saya bersama-sama isteri, anak, ibu mertua dan adik ipar saya telah berkunjung ke hospital di Ampang menziarahi bapa saudara isteri saya. Pulang dari hospital kira-kira jam 130 petang, kelihatan hujan sudah mula turun. Perjalanan kami ke Jaya Jusco untuk membeli sedikit barang memang agak perlahan kerana hujan yang tidak henti-henti. Begitu juga apabila bergerak pulang ke rumah. Kepenatan, saya tertidur sebentar apabila tiba di rumah.


2. Tiba-tiba saya menerima satu SMS dari teman saya jika saya berkelapangan untuk membantu mangsa banjir di Hulu Klang. Ya Allah, banjir rupanya. Disampaikan kepada saya bahawa tempat yang akan kami bantu ini telah mengalami banjir hingga paras pinggang. Tanpa berlengah saya pun membuat keputusan untuk sama-sama turun membantu.


3. Saya mengambil masa yang agak lama untuk tiba walaupun sebenarnya tidak jauh dari rumah. Kesesakan jalan raya di samping ketidak biasaan saya dengan jalan-jalan di Hulu Klang. Tiba saya di tempat kejadian, kelihatan ramai yang sedang membersihkan rumah masing-masing. Lumpur mengotori jalan malah lantai rumah-rumah yang terlibat.


4. Dengan ves khas sukarelawan Selangorku, saya memulakan langkah ke rumah yang dikatakan paling teruk terkena bencana itu. Allahu Akbar. Memang benar air masuk ke rumah sampai ke paras pinggang, jelas kelihatan pada tanda lumpur di dinding rumah. Lantai berlumpur, perabot-perabot basah, banyak barangan elekrik yang tidak dapat diselamatkan. Tuan rumah memberitahu saya bahawa dia tiada di rumah semasa kejadian.




5. Maghrib menjelang masuk, saya dan teman-teman pun berjalan ke surau berdekatan. Kelihatan trak bomba telah tiba membantu memancutkan air deras untuk membersihkan lumpur-lumpur yang mengotori kawasan perumahan berkenaan. Tiba di surau, solat berjamaah baru sahaja selesai. Sambil membersihkan diri daripada kekotoran dan berwudhu' kedengaran pengumuman berkenaan dengan banjir berkenaan. Jama'ah surau dimaklumkan bahawa jiran kita telah dilanda musibah petang tadi. Kecewanya saya, kemudian pengumuman itu disusuli dengan kuliyah maghrib.


6. Kami berjalan pulang ke tempat kejadian dengan perasaan agak keliru. Mengapakah jamaah surau tidak boleh menangguhkan sahaja kuliyah berkenaan dan turun sama-sama membantu jiran mereka? 'Ah, aku tak perlu serabutkan fikiranku dengan hal ini sekarang, baik kufokuskan tenaga aku membantu saudaraku yang cukup memerlulkan bantu', saya bermonolog.


7. Bantuan kuteruskan dari rumah ke rumah. Membersihkan lantai dari lumpur, memindahkan perabot, membuang sampah dan apa sahaja yang diperlukan oleh tuan rumah. Kelihatan beberapa muslimat pelbagai usia yang juga turun membantu. Makanan yang sudah dibungkus serta air diedarkan kepada mangsa-mangsa banjir. Kami tamat kerja-kerja kami sekitar jam 11 malam. Sukarelawan dijamu dengan sedikit juadah sebagai pengubat letih.


8. Ada beberapa cerita menarik yang berlaku sepanjang pengalaman yang cukup bermakna ini. Ketika saya dan beberapa teman membantu rumah yang pertama, tiba-tiba datang seorang perempuan Cina ke rumah berkenaan untuk memberikan makanan kepada tuan rumah (sepasang suami isteri) yang baru sahaja dibeli beliau. Perempuan Cina itu rupanya jiran kepada tuan rumah yang sedang kami bantu. Hampir menitis air mata saya melihatkan mahabbah yang ditunjukkan oleh perempuan Cina itu. Allah.


9. Dari jauh, kelihatan sebuah rumah tiba-tiba menaikkan 2 bendera Barisan Nasional dan diletakkan di pagar hadapan. Kemudian tuan rumah menutup pintu pagar itu. Saya agak terpinga-pinga maka saya pun bertanya kepada seorang abang yang hadir di situ. Maka tahulah saya. Kerana sukarelawan yang hadir ini datang atas 'banner' Selangorku yang kini di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, maka tuan rumah tersebut yang saya yakin merupakan penyokong atau mungkin pendokong Barisan Nasional itu tidak mahu mendapatkan bantuan dari kami. 'Sampai begini sekali ye?', bisik saya kepada abang berkenaan.


10. Tidak jauh dari rumah itu, ada sebuah rumah yang lebih besar yang penuh dengan bendera BN sehingga ada beberapa tiang bendera itu diletakkan melintang di hadapan pagar rumah. Beberapa individu berbaju merah, semuanya berumur lingkungan 40 ke 50-an sedang membantu sebuah rumah juga. Tiada sebarang provokasi atau pergaduhan yang berlaku. Cuma saya senyum sendiri melihat gelagat manusia sedemikian. Fanatik kepartian di tanah airku memang sampai sebegini rupanya. Ingatkan cerita-cerita yang saya dengar sebelum ini hanya rekaan semata-mata =)


11. Letih memang letih tapi saya puas, saya senang hati. Pengalaman seperti ini tidak akan saya hilangkan dari diari hidup saya. Saat-saat manis masih terbayang-bayang di minda walaupun jami sudahpun menunjukkan pukul 2 pagi.


Sisi pandang Saya


1. Sebagai seorang doktor, saya pernah melalui zaman mahasiswa. Saya sebagaimana ramai mahasiswa-mahasiswa yang lain, tidak melepaskan peluang untuk menghadirkan diri dalam usrah-usrah, tamrin-tamrin dan ratusan program yang lain yang mana berobjektifkan membina manusia untuk menjadi lebih baik. Saya berprinsip bahawa menjadi doktor yang cemerlang tidak hanya lulus peperiksaan kedoktorran dengan cemerlang tapi perlu juga dilengkapkan dengan skil-skil lain seperti perhubungan antara manusia, keyakinan, ilmu-ilmu agama dan banyak lagi


2. Menghadirkan diri dalam program-program seperti membantu mangsa banjir adalah salah satu daripada cara kita mengaplikasikan ilmu yang telah kita pelajari daripada pelbagai program yang telah dihadiri. Zaman pelajar penuh dengan idea tapi miskin dengan praktikaliti. Di sinilah kita diuji dengan keikhlasan dan pengorbanan, bagaimana kita mahu mengaplikasikan sifat menyayangi saudara kita melebihi diri kita, sifat tekun atau itqan dalam membantu saudara kita yang dilanda musibah dan sebagainya.


3. Saya sebagaimana yang saya sebut dalam cerita di atas, agak kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh komiti surau. Bagi saya, inilah satu contoh daripada kegagalan memahami dan menghayati fiqh awlawiyyat atau fiqh keutamaan. Kita pastinya tidak menafikan akan kepentingan ilmu dalam membina hamba Allah yang lebih cemerlang, namun di saat-saat saudara kita malah jiran kita memerlukan bantuan, bagaimana mungkin kita tidak menghulurkan bantuan. Jiran yang datang membantu pasti akan mengubati keresahan hati merapati musibah yang melanda. Kami orang luar, tidak tinggal di situ, pasti kesannya berbeza jika jiran sendiri yang datang membantu.






4. Dalam situasi ini, saya teringat dengan kisah seorang 'abid atau ahli ibadah yang terkenal iaitu Fudhail bin Iyadh. Beliau merupakan seorang perompak yang telah memeluk Islam dan banyak menumpukan masa beribadah kepada Allah. Kehebatan ibadah beliau sehingga beliau digelar 'Abidul Haramaiin' iaitu ahli ibadah dua Tanah Haram. Satu ketika, seorang ulama' terkenal Abdullah bin Al-Mubarak telah menghantar satu syair buat Fudhail menegur akan tindakan beliau terus beribadah dalam keadaan ramai umat Islam yang sedang berjihad di medan perang. Begini syairnya :

Wahai para ahli ibadah di al-Haramain kalau kamu menyaksikan kami,
Maka kamu akan mengetahui bahawa sesungguhnya kamu bermain-main dalam ibadah.
Kalau orang-orang membasahi pipinya dengan air mata yang mengalir deras,
Maka dengan pengorbanan kami, kami mengalirkan darah yang lebih deras.
Kalau kuda-kuda orang kepenatan dalam perkara yang batil,
Maka sesungguhnya kuda-kuda kami penat dalam melakukan penyerbuan dan peperangan dipagi hari.
Bau wangi-wangian menjadi milikmu,
Sedangkan bau wangi-wangian kami, adalah dari debu-debu jalanan dan debu-debu itu lebih wangi.

Telah datang kepada kami sabda Nabi kami.
Sabda yang benar, jujur dan tidak bohong.
Tidak sama debu kuda-kuda Allah di hidung seseorang dan asap api yang menyala-nyala.
Inilah kitab Allah yang berbicara kepada kami.
Bahawa orang yang mati syahid tidak diragukan lagi, tidak sama dengan orang yang mati biasa.

5. Tidaklah saya menyamakan Fudhail dengan jama'ah masjid itu, cukuplah ia sebagai satu hikmah yang saya pelajari daripada apa yang saya saksikan dengan mata dan dengar dengan telinga saya sendiri. Semoga Allah memberikan barakah kepada hamba-hambaNya yang bekerja untuk agama-Nya.


6. Jelas, Malaysia sebuah negara yang dirahmati dengan kepelbagaian kaum yang memberikan kita peluang untuk berkenalan, berukhuwah, berkasih sayang dan berda'wah. Saya cukup terkilan dengan pelbagai kenyataan terutamanya ahli politik yang tidak sudah-sudah berbaur perkauman. Tidak cukup dengan itu, ada masalah yang timbul ditimpakan kepada bangsa atau agama lain sebagai punca. Saya pernah bersekolah di sebuah sekolah campur di mana saya telah melihat akan kekuatan hubungan antara kaum, dan pada hari ini, saya telah melihat bagaimana kekuatan yang datang daripada sifat kasih-sayang antara kaum yang berbilang. Subhanallah!


7. Kita pasti pernah dengar dengan kisah 2 imam surau dengan 2 jama'ah yang berbeza atas sebab perbezaan fahaman politik. Ada kes penafian kenaikan pangkat kerana menyokong parti politik yang berbeza. Walaupun duduk setaman, hanya jiran-jiran yang sama fahaman politik sahaja yang dijemput ke kenduri perkahwinan. Kisah-kisah ini bukan dongengan! Jelas, fanatisme kepada fahaman politik telah mengaburi intelektual kita! Kita lupa Rasulullah cukup menekankan tanggungjawab terhadap jiran dan kita lalai bahawa bersikap asabiyah sehingga menafikan haq saudara kita adalah berdosa. Dan inilah antara sebab mengapa agaknya ada yang menolak ditolong hanya kerana perbezaan fahaman politik. Berat nanang ni!


8. Bagi saya, inilah antara perkara yang perlu orang muda ubah. Adalah sesuatu yang tidak menjadi masalah malah wajib bagi seseorang untuk berpegang satu-satu fahaman politik. Boleh baca satu artikel dari Al Fadhil Ustaz Hasrizal Abdul Jamil buat yang masih ingin terus berdiri atas pagar. Namun, berpegang kepada satu fahaman politik tidak ,membolehkan kita bersikap 'double standard' kepada saudara, sahabat mahupun jiran kita yang mempunyai fahaman politik yang berbeza. Sebagai contoh, saya sebagai doktor tidak boleh memilih kasih dalam merawat pesakit saya, tidak boleh sama sekali memberikan rawatan yang lebih baik kepada pesakit yang sama fahaman politik dengan saya dan memberikan rawatan sambil lewa kepada orang lain. Ini namanya tidak profesional!


9. Ingatlah kisah baju besi Saidina Ali bin Abu Talib Karamallahu Wajhah. Diceritakan oleh Syarieh (Hakim Zaman Saidina Ali di Kufah):

Apabila bergerak tentera Saidina Ali ke peperangan dengan Muawiyah di Siffin, terjatuh baju perisainya. Apabila beliau pulang dari peperangan tersebut ke Kufah, didapati bahawa baju besi tersebut berada di tangan seorang Yahudi yang menjual baju besi tersebut di pasar Kufah.

Maka berkata Saidina Ali kepada Yahudi tersebut : “Wahai orang yahudi, ini baju perisai saya, tidak pernah saya menjualnya atau menghadiahkannya”.

Berkata Yahudi itu: “Ini baju perisai ku dan ia berada di tangan ku”.

Berkata Saidina Ali: “Kita bawa perkara ini kepada hakim”.

Maka perkara ini dibawa kepada hakim Syarieh, maka duduklah Saidina Ali sebelah hakim dan duduklah orang yahudi tersebut di depan hakim tersebut.

Berkata Syarieh: “Katakanlah wahai Amirul Mukminin”.

Berkata Saidina Ali: “Ya. Bahawa baju besi yang ada di tangan Yahudi ini adalah baju besi ku dan tidak pernah ku menjual atau menghadiahkannya kepada sesiapa”.

Syarieh: “Ada buktikah wahai Amirul Mukminin?”

Saidina Ali: “Ada. ‘Qunbar’(hamba Saidina Ali), Hasan dan Husain adalah saksi bahawa baju besi itu memang milik ku”.

Syarieh: “Kesaksian anak tidak diterima pakai bagi bapanya”.

Saidina Ali: “Lelaki daripada ahli syurga tidak boleh dijadikan saksi? Aku pernah mendengar Nabi Muhammad bersabda bahawa Hasan dan Husain adalah ketua kepada para pemuda di syurga”.

Berkata si Yahudi itu: “Amirul Mukminin telah membawa saya berjumpa dengan hakim, dan hakim tersbut memutuskan hukuman ke atasnya!!! Maka sesungguhnya ini adalah kebenaran. Aku naik saksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Dan sesungguhnya baju besi ini memang baju besi mu (Ali). Pada ketika itu, saya sedang menaiki unta dan kamu sedang menuju siffin, maka terjatuh baju besi kamu pada belah malam. Maka saya ambil baju besi tersebut”.

Berkata Yahudi itu lagi: “Sekiranya saya katakannya, maka ianya milik kamu”.

10. Dalam kisah di atas, jelas sifat profesionalisme hakim yang mengadili kes tersebut. Walaupun yang hadir itu adalah Khalifah sendiri dan dia ditentang oleh seorang yahudi, hakim masih bersifat adil. Beliau menilai tanpa dikaburi oleh agama mahupun status manusia yang diadilinya. Seorang 'boss' dalam membuat keputusan siapa yang layak dinaikan jawatan sepatutnya dilempar jauh-jauh perbezaan fahaman politik. Sewajarnya kompetensi pekerja diberikan keutamaan! Dengan sikap inilah, kita tidak pernah sunyi mendengar kisah orang-orang yang naik jawatan tapi tidak layak!


11. Saya dengan ini mengajak teman-teman dan adik-adik untuk sentiasa mencari peluang untuk turun ke medan 'amal. Zaman mahasiswa kita dihidangkan dengan teori-teori dan idea-idea. Dan sewajarnya segala bentuk teori ini perlu dipraktikkan. Sungguh, dengan hanya pengalaman beberapa jam ini, saya sudah boleh merasa bagaimana sebenarnya banyak teori-teori yang dipelajari cukup berbeza dalam amalinya. Maka saya ulang ungkapan saya dalam artikel sebelum ini : Orang yang turun ke medan 'amal lebih mengetahui daripada orang yang 'mengkritik'. Kita sudah cukup ramai yang mengeluh mendengar berita musibah banjir di TV dan radio, kita sudah cukup ramai yang hanya mengkritik agar sistem perparitan diperbaiki, kita sudah cukup ramai yang menyumbang sedikit buat mangsa-mangsa, tapi yang kita tidak cukup adalah manusia yang terjun ke medan!


12. Akhir kata, pengalaman hari ini telah menurunkan sikap ego yang ada dalam diri saya. Dikurniakan Allah kelebihan mental hingga berjaya belajar ke luar negara. Tidak cukup dengan itu, status sebagai seorang doktor mendapat keistimewaan di mata masyarakat. Melihat sikap teman-teman yang bersungguh-sungguh memartabatkan Islam di atas bumi Allah walaupun mereka tidaklah berada atau punya kerja yang profesional malah pasti tidak belajar tinggi. Pengalaman hari ini adalah satu teguran daripada Allah, sesungguhnya darjat hamba di sisiNya adalah berdasarkan 'amal dan iman bukan status diri kita di mata masyarakat. Allahu rabbi.


Abu Hafiy
Ditulis pada 2 Mei 2012

No comments:

Post a Comment